bil.64/2001
----------------------------
Moral pelajar - Tanggungjawab
ibu bapa lebih berat.
Saiz kelas dan kurikulum
pendidikan tidak memberi pengaruh yang besar dalam menentukan
sikap dan moral seseorang pelajar. Walau banyak mana sekalipun
perubahan yang dilakukan dalam dasar pendidikan negara, sikap
seseorang pelajar sebenarnya banyak dipengaruhi oleh keluarga
dan masyarakat sekeliling.
Menurut Timbalan Pengetua
Maktab Perguruan Islam (MPI) Mohd Yasin Sulaiman, guru sebenarnya
telah berjaya mengajar nilai-nilai baik kepada para pelajar
di sekolah berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan.
Namun penghayatan dan pengukuhan perlulah daripada ibu bapa
kerana dari segi masa dan hubungan, mereka adalah insan yang
paling dekat dengan pelajar, katanya.
``Hubungan guru dan pelajar
hanya beberapa jam sahaja berbanding ibu bapa terutama waktu
cuti sekolah,'' katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Mohd.
Yasin menambah, selain guru agama, guru lain juga memainkan
peranan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa para
pelajar.
Sebagai contoh katanya, guru mata pelajaran Sejarah, selain
mengajar subjek tersebut turut mengajar pelajar tentang jati
diri. Justeru itu katanya, adalah tidak tepat jika ada pihak
mengatakan bahawa guru tidak menekankan nilai-nilai murni
kepada murid-murid.
``Hendak mengubah sikap
dan mengamalkan ini perlulah kerjasama daripada semua pihak
tetapi yang penting adalah peranan ibu bapa itu sendiri,''
katanya. Menurutnya lagi, peranan guru agama juga kini semakin
luas selain terpaksa mengajar sehingga 30 jam seminggu mereka
juga terpaksa mengajar kemahiran menulis jawi dan khat.
``Walaupun perkara ini
tiada kaitan dengan agama tetapi ia berkait rapat dengan kefahaman
pelajar terutama dalam mata pelajaran yang membabitkan al-Quran
dan Muqaddam,'' katanya. Beliau berkata, dalam teori pendidikan
terdapat beberapa bidang yang menghubungkan guru dan pelajar.
Antaranya menurut beliau ialah kognitif yang berkaitan mental.
``Ini bidang yang disifatkan mudah iaitu guru mengajar dan
apa yang diajar dikeluarkan dalam peperiksaan,'' katanya.
Namun bidang afektif iaitu sikap pelajar, yang menjadi isu
kini, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada guru-guru.
``Bidang ini memperuntukkan guru mengajar nilai-nilai yang
baik seperti jangan bercakap bohong dan sebagainya tetapi
perkara inilah yang meletakkan guru dalam dilema kerana masyarakat
meletakkannya sebagai tanggungjawab penuh seorang guru,''
katanya.
Berita Harian, 19 September,
2001
|