bil.66/2001
----------------------------
Strategi Mengajar
Sains Sekolah Rendah
Oleh: Prof. Madya Dr. Salihan Siais, Timbalan Pengarah,
Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Putra Malaysia
Kertas kerja yang dibentangkan
semasa Konvensyen Pendidikan Sains dan Matematik Sekolah Rendah
Luar bandar, Negeri Sembilan Darul Khusus
PENDAHULUAN
Sebagai pendahuluannya,
mari kita renung dan teliti dua ungkapan yang berkaitan dengan
tugas sebagai seorang guru diberikan seperti berikut:
``Mengajar atau menjadi
guru merupakan satu tugas yang sangat mulia, murni dan menguntungkan.
ia merupakan satu tugas yang boleh dan menjamin ke arah membawa
seorang itu masuk syurga.....''
``Tiada seorang guru yang
paling unggul, berkesan dalam mengajar, dan mempunyai sikap
yang luhur di permukaan bumi ini, melainkan Nabi Muhammad
s.s.w. Dalam semua aspek pengajaran, baik dari segi bahan,
teknik penyampaian, sikap mahupun sifat-sifatnya boleh dijadikan
teladan oleh semua ummah di dunia ini untuk menghasilkan pengajaran
berkesan.''
Maksud Mengajar
mengajar sebenarnya bermaksud
menyampaikan ilmu pengetahuan maklumat, memberi galakan, membimbing,
memberi dan meningkatkan kemahiran, meningkatkan keyakinan,
menanam nilai-nilai murni dan luhur kepada para pelajar yang
belum mengetahui.
Ia bukan sekadar menyampaikan
maklumat atau bahan pengajaran dalam sebuah kelas. lebih mendukacitakan
lagi jika proses mengajar dianggap sekadar menyampai maklumat
dan menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dalam
kurikulum.
Proses mengajar mempunyai
konsep yang sangat luas, ia bertujuan untuk menjadikan seseorang
individu itu lebih bertanggungjawab dan mampu menjana fikirannya
untuk terus bahagia dan berjaya mengatasi cabaran yang akan
dihadapai. Ini hanya akan dicapai sekiranya proses pengajaran
dan pembelajaran yang dilakukan mencapai tahap pengajaran
berkesan.
Siapa itu Guru?
Orang yang mengajar dikenali
sebagai guru. Perkataan guru adalah hasil gabungan dua suku
kata iaitu `Gur' dan `Ru'.
Dalam bahasa jawa, Gu diambil
daripada perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala
Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani
atau dicontohi. Oleh itu, GURU bermaksud seorang yang boleh
ditiru perkataannya, perbuatannya, tingkah lakunya, pakaiannya,
amalannya dan boleh dipercayai bermaksud keamanahan yang dipertanggungjawabkan
kepadanya untuk dilakukan dengan jujur.
Peranan dan Tugas Mengajar
Setiap guru seharusnya
mengetahui peranan dan tugas mereka secara terperinci jika
mereka ingin berusaha melakukan dan menghasilkan pengajaran
yang berkesan.
Di antara tugas seorang
guru ialah
a. menyampaikan ilmu pengetahuan
b. menyampaikan maklumat
c. menyampai dan
d. memberi kemahiran serta
e. memupuk nilai-nilai
murni dan luhur sebagaimana yang telah disebutkan di atas.
Manakala peranan guru pula
ialah sebagai pembimbing, pendidik, pembaharu, contoh dan
teladan, pencari dan penyelidik, penasihat dan kaunselor,
pencipta dan pereka, pencerita dan pelakon, penggalak dan
perangsang, pengilham cita-cita, pengurus dan perancang, penilai,
pemerhati, rakan dan kawan pelajar, doktor dan pengubat, penguat
kuasa, pemberi petunjuk orang yang berwibawa dan sebagainya.
Jelas menunjukkan bahawa
menjadi seorang guru merupakan satu tugas dan peranan yang
agak berat.
Sebenarnya, jika anda anggap
tugas itu berat, maka beratlah ia. Jika anda terima ia sebagai
satu cabaran dengan cara yang positif, maka mudahlah ia.
Pengajaran Sains Berkesan
Pengajaran berkesan ialah
proses mengajar yang menghasilkan proses pembelajaran yang
berkesan di kalangan pelajar yang menghasilkan proses pengajaran
tersebut.
Ia dapat mengubah tingkah
laku, membina dan mengembangkan aspek rohani, minda serta
jasad pelajar.
Dalam bahasa yang mudah,
pelajar berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati
bahan yang diajar, meningkat kemahiran dalam aspek kognitif
dan manipulasi mereka serta dapat melakukan aktiviti yang
berkaitan dengan proses pengajaran yang telah dijalani. Selanjutnya,
pelajar lulus cemerlang dalam peperiksaan yang dijalani.
Pada asasnya, pengajaran
berkesan bergantung kepada:
a. Kepakaran guru terhadap
bahan pengajaran,
b. Keperluan bahan pengajaran
c. Pedagogi dan strategi
atau kaedah pengajaran
d. Kemahiran berkomunikasi.
Di samping itu, terdapat
pelbagai faktor lain yang boleh menyumbangkan ke arah pengajaran
guru berkesan. Ini termasuklah:
1. Matlamat dan sasaran
pengajaran guru setiap hari.
2. Matlamat dan sasaran
pencapaian akademik sekolah
3. Sikap guru dan sikap
pentadbir sekolah
4. Kemahiran guru dan kemahiran
pentadbir sekolah.
5. Motivasi guru dan motivasi
pentadbir sekolah.
6. Misi dan visi guru dan
misi dan visi pentadbir sekolah.
7. Etika guru dan etika
pentadbir sekolah.
8. Keadaan dan suasana
persekitaran sekolah.
9. Kemahiran berkomunikasi
guru dan pentadbir sekolah.
10. Pemikiran guru dan
pemikiran pentadbir sekolah.
11. Keikhlasan guru dan
pentadbir sekolah ketika melakukan pekerjaan juga turut mempunyai
saham yang penting ke arah keberkesanan pengajaran guru berkesan.
Di samping faktor yang
disebutkan di atas tadi, faktor pelajar juga boleh mempengaruhi
dan menyumbangkan ke arah pengajaran guru berkesan.
Jika terdapat seorang guru
yang mengajar dengan cara yang berkesan dalam sebuah kelas
tetapi pelajar yang mengikuti pengajarannya tidak tahu peranan
mereka sebagai pelajar yang berkesan, maka usaha tersebut
akhirnya akan sia-sia sahaja.
Persoalannya sekarang,
bagaimanakah dan apakah usaha yang perlu dilakukan dan dilaksanakan
agar kita dapat mewujudkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri
seperti disebutkan di atas?.... Bincanglah secara kumpulan
dengan rakan-rakan guru.
Syarat Utama mengajar
Sains Berkesan
Terdapat beberapa syarat
utama yang perlu diketahui oleh seorang guru untuk menghasilkan
pengajaran sains berkesan,. Syarat tersebut ialah:`
1. Mengetahui peranan,
tanggungjawab dan tugas mereka sebagai seorang pengajar.
2. Mempunyai rasa empati
yang tinggi terhadap pelajarnya.
3. Bersifat amanah, ikhlas
dan jujur terhadap tugas yang diberikan.
4. Mempunyai sikap ingin
membantu dan menolong orang lain.
5. Mempunyai sikap mengambil
berat terhadap orang lain.
6. Mempunyai sikap bertimbang
rasa dan jujur.
7. Menyedari dan mengetahui
harapan para pelajar di bawah bimbingannya.
8. Berusaha mendapat kepercayaan
yang tinggi terhadap dirinya di kalangan para pelajarnya.
9. Berusaha mewujudkan
suasana yang menarik dan memberangsangkan dengan pelajar.
10. Berusaha mewujudkan
suasana dan hubungan yang akrab dengan pelajar.
11. Berusaha mewujudkan
suasana yang menarik di kalangan pelajar.
12. Mewujudkan hubungan
yang mesra dengan semua pelajar.
13. Mempunyai hubungan
yang rapor dan rapat dengan pelajar.
14. Mempunyai sikap suka
mendengar.
15. mempunyai sikap humor
ketika bersama pelajar.
16. Mempunyai daya penarik
yang menakjubkan.
17. Mempunyai fikiran yang
terbuka dan positif.
18. mempunyai kemahiran
dalam bidang yang diajar.
19. Mempunyai kepakaran
dam bidang teknik mengajar.
20. Mempunyai kepakaran
berkomunikasi.
21. Mempunyai pengetahuan
tentang kemanusiaan.
22. Mempunyai pegangan
hidup semua orang boleh berjaya jika diberi bimbingan yang
mencukupi.
23. Sentiasa berusaha meningkatkan
kepakaran dan kemahiran yang berkaitan tugasannya.
24. Mempunyai kepercayaan
dan pegangan hidup bahawa kejayaan boleh dicapai setelah berusaha.
25. Selalu berdoa untuk
diri dan pelajarnya.
26. Sentiasa bertawakal
kepada Allah.
Kaedah Mengajar Sains
Di Sekolah Rendah Berkesan
Seorang pengajar boleh
menggunakan beberapa kaedah mengajar sama ada secara berasingan
atau gabungan pelbagai kaedah semasa mengajar. pemilihan kaedah
atau gabungan kaedah yang dilaksanakan bergantung kepada pelajar
yang diajar, bahan pembelajaran dan kemudahan media yang tersedia.
Ia juga bergantung kepada
kefahaman, kebolehan dan kemahiran pengajar mengenai kaedah
yang akan digunakan.
Berikut diberikan penerangan
ringkas di antara kaedah-kaedah mengajar yang boleh dipilih
dan digunakan, iaitu:
1. Kaedah heuristik
Dalam kaedah ini, pelajar
dibimbing untuk membuat penemuan sendiri bahan-bahan pembelajaran
dan menggunakan konsep dalam latihan. peranan guru menjadi
pembimbing, penasihat, pakar rujuk dan penilai.
2. Kaedah induktif.
kaedah ini menggunakan
pendekatan bermula daripada bahan pengajaran yang konkrit
dan abstrak, khusus kepada umum dan daripada contoh kepada
hukum am. kebenaran universal dibuktikan daripada ciri-ciri
satu kes dan beberapa kes lain yang serupa.
3. kaedah deduktif.
ia berlawanan dengan kaedah
induktif iaitu pelajar bermula daripada aspek umum kepada
khusus, abstrak kepada konkrit dan formula kepada contoh.
4. kaedah Dogmatik
Bahan pembelajaran dibentangkan
mengikut hukum, prinsip dan formula. latihan diberi untuk
pelajar menggunakan hukum, prinsip atau formula itu dalam
situasi yang berperingkat.
5. Kaedah projek.
pelajar dikehendaki menyiapkan
projek khas yang dipilih mengikut bimbingan dan panduan pengajar.
Peranan guru ditambah sebagai penasihat, pakar rujuk dan penilai.
6. Kaedah amali.
Pelajar menjalankan aktiviti
pembelajaran atau eksperimen atau kajian mengikut arahan yang
diberi dengan menggunakan bahan-bahan yang disediakan oleh
guru. peranan guru sebagai pembimbing, penunjuk ajar, penasihat,
pakar rujuk dan penilai.
7. Kaedah Lawatan.
Pengajar mengatur supaya
pelajar melawat ke tempat tertentu (di luar bilik darjah)
dengan bahan pembelajaran boleh didapati dan dikaji dengan
mudah.
8. Kaedah Sintesis.
pelajar bermula daripada
apa yang diketahui kepada apa yang belum diketahui. berdasarkan
data yang ada, pelajar merumus kesimpulan.
9. Kaedah Topik
Pengajar membentangkan
isi pelajaran mengikut topik sehingga lengkap, sekali gus
menghubungkaitkan dengan topik-topik berkaitan.
10. Kaedah Simulasi
Kaedah berlakon. Dalam
kaedah ini, pengajar menetapkan peranan dan situasi untuk
pelajar terlibat dalam aktiviti pembelajaran sebagai individu
lain. Dengan cara ini, pelajar berpengalaman menjalankan peranan
bukan sebagai pelajar sahaja, bahkan ia dapat mengalami sendiri
peranan yang mereka boleh mainkan.Keberkesanannya bergantung
kepada kebolehan dan kefahaman peranan yang dimainkan itu.
11. Kaedah Cerita
Pengajar membentangkan
bahan pembelajaran dalam bentuk cerita yang boleh meningkatkan
minat dan motivasi pelajar.
12. Kaedah perbincangan
Pengajar membimbing pelajar
untuk menjalankan perbincangan sama ada dalam kumpulan besar
atau pun kumpulan kecil selepas ditugaskan membuat rujukan
atau kajian.
13. Kaedah Modular
Bahan pembelajaran didedahkan
mengikut pelbagai teknik dan cara. Sepanjang proses pengajaran
kaedah ini, pelajar dikehendaki menjalankan pelbagai aktiviti
seperti membuat latihan , menyelesaikan masalah dan menjawab
soalan mengenai bahan itu. Pada akhir pembelajaran pelajar
mengambil ujian untuk menentukan tahap kefahaman dan penguasaan.
14. Kaedah soal jawab
Pengajar mengemukakan soalan
untuk dijawab oleh pelajar di mana jawapan itu dibina sebagai
isi pelajaran yang lengkap.
Semua kaedah yang disebutkan
di atas , dikemukakan bertujuan mempelbagaikan kaedah pengajaran
guru dan seterusnya untuk meningkatkan kemahiran sains di
kalangan pelajar dalam aspek-aspek sains berikut:
1. Melakukan eksperimen
2. Mengawal pemboleh ubah
bagi sesuatu eksperimen
3. Membuat pemerhatian/pengamatan
4. Mengenal pasti perubahan
5. Mengenal pasti perbezaan
6. Mengenal pasti kesamaan
7. Membuat perbandingan
8. Mencatat data
9. Mengolah/memproses data
10. Meramal berdasarkan
data
11. Mengingat kembali fakta
12. Membuat kesimpulan
13. Mentafsir data dan
maklumat
14. Membuat hipotesis
15. Membuat inferens
16. Membuat laporan (berkomunikasi)
17. Menggunakan konsep
18. Memberi alasan/sebab
19. Melukis rajah
20. Melabel rajah
21. Mengguna peralatan/bahan
sains dengan betul
22. Menyimpan peralatan/bahan
sains dengan betul
23. Membersihkan peralatan/bahan
sains dengan betul
Sebagaimana yang telah
ditetapkan dalam kurikulum sains untuk menghadap UPSR Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Langkah-langkah pengajaran
Sains Berkesan:
Secara ringkas, langkah
yang perlu dilaksanakan oleh setiap guru untuk memastikan
ia menghasilkan pengajaran yang berkesan ialah:
a. Persediaan pengajaran
b. menyatakan tajuk pengajaran
c. Menyatakan objektif
pengajaran-pembelajaran, apakah yang diperolehi selepas pengajaran-pembelajaran
d. melakukan aktiviti pengenalan
pengajaran (induksi set?)
e. mempersembahkan bahan
pengajaran
f. membuat kesimpulan pengajaran
g. Mengadakan aktiviti
pengukuhan
Persediaan Pengajaran
1. Sediakan tajuk pengajaran
2. sediakan bahan pengajaran
secara terperinci, terutamanya mengenai:
a. Apakah konsep penting
dalam tajuk
b. Apakah isi-si penting
c. Apakah kata kunci yang
perlu diingat oleh pelajar berkaitan tajuk
d. Rajah dan alat bantu
ajar (transparensi/carta rajah)
e. Gambar-gambar yang boleh
ditunjukkan
f. Contoh yang berkaitan
g. Kesimpulan yang disampaikan
3. Fikir, sediakan dan
susun urutan kaedah persembahan, terutamanya tentang:
a. Induksi set
b. Kaedah interaksi
c. Soalan yang perlu dikemukakan
sepanjang persembahan
|