bil.68/2001
----------------------------
KELESUAN
INTELEKTUAL MASYARAKAT MALAYSIA
Sebutan
intelektual dalam bahasa kita ditujukan terhadap kaum cerdik
pandai yang berjaya mencapai satu tahap pendidikan yang jika
dibandingkan dengan masyarakat terbanyak, ia adalah lebih
tinggi dari tingkatan yang biasa. Sebenarnya sebutan intelektual
suatu waktu dahulu diperluaskan kepada sesiapa sahaja yang
menerima pendidikan tinggi di negara ini tanpa mengira apakah
mereka perihatin dengan masyarakat dan budayanya di mana dia
tinggal dan membesar. Apakah mereka memberikan suatu sumbangan
yang berbentuk abstrak seperti pemikiran untuk kemajuan masyarakat
dan negaranya tidak pernah pula dipersoalkan.
Kata
intelektual dalam bahasa Inggeris merujuk kepada sejenis peribadi
yang tersendiri yang telah mengalami kecerdasan dan kehalusan
budi lewat pendidikan yang diterima nya. “Seseorang mungkin
lebih tinggi kedudukan kesarjanaannya dan tersangat arif di
dalam sesuatu bidang, tetapi selama mana seseorang itu tidak
mempunyai minat dan peka terhadap
rangsangan-rangsangan budayanya dia belum berhak dinobatkan
sebagai seorang intelektual. Dalam masyarakat Inggeris, mereka
akan tercengang apabila mendengar kata intelektual ditujukan
kepada seseorang yang sama sekali tidak menaruh perhatian
terhadap perkembangan budaya bangsanya sendiri.”(Subagio
Sastrowardojo, Bakat Alam Dan Intelektualisme, Pustaka
Jaya,hlm.73). Apa yang dapat dibuat kesimpulan di sini ialah
seseorang intelek bukanlah bergantung kepada ijazah BA,MA
atau PhDnya yang berjela, tetapi ia bergantung kepada adanya
sumbangan pemikiran dan menaruh rasa perihatin terhadap masalah
bangsa dan agamanya dari segenap aspek kehidupan. Inilah intelektual
sebenar yang kita perlukan terutama dalam mengharungi era
globalisasi ini.
Melihat
kepada realiti masyarakat kita pada hari ini, kita memang
mempunyai ramai
cerdik pandai yang berbakat dalam berbagai bidang. Saban tahun
universiti-universiti tempatan mengeluarkan para siswazah
puluhan ribu banyaknya. Itu belum lagi diambil kira yang pulang
dari luar negeri dengan ijazah yang berjela-jela panjangnya.
Namun kedudukan kesarjanaan itu kian mengecil ibarat bentuk
piramid jika kita mengambil kira tahap pendidikan sehingga
ke tahap PhD atau doktor falsafah dalam sesuatu bidang. Tetapi
apakah mereka ini semua layak dipanggil kaum intelektual?
Di manakah sumbangan mereka terhadap pembangunan masyarakat
kita, sumbangan pemikiran mereka terhadap masyarakat yang
kian dilanda berbagai masalah sosial? Siapakah yang kembali
berjuang untuk membela masyarakat yang tertindas oleh gejala
tamak haloba para pemimpin politik yang korup, yang sengaja
meninggalkan masalah yang besar kepada negara apabila mereka
meletak jawatan, dengan beban hutang yang kian meningkat.
Bagaimanakah kita membantu negara mengembangkan kembali ekonomi
ke paras yang lebih normal, ekonomi negara yang kini bukan
saja tidak berkembang, tetapi menguncup seperti mana yang
dilaporkan oleh Gabenor Bank Negara ke tahap 1.3 peratus?
Inilah
di antara sekian banyak persoalan yang menghantui masyarakat
Malaysia yang begitu ramai berkelulusan IPTA dan IPTS tetapi
tidak menyumbangkan apa-apa dalam menyelesaikan masalah sosial
dan politik dalam negara ini.
Suatu
waktu dulu kaum cendekiawan kita lebih bertanggungjawab, lebih
bersikap neutral dalam menghadapi berbagai masalah khususnya
yang berkaitan dengan perkembangan politik negara. Bahkan
ada di antaranya sanggup berkorban jiwa dan raga untuk membantu
menyelesaikan masalah masyarakat dan negaranya melalui berbagai-bagai saluran seperti penulisan, politik, aktivis
masyarakat, pertubuhan, kewartawanan ,menjadi guru dan pensyarah
di pusat-pusat pengajian tinggi Di
mana sahaja mereka
berada, mereka tetap tidak melupakan masyarakat bawahan yang
tidak secerdik mereka. Tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh AlHadi,Abd.Rahim
Kajai,Burhanuddin Helmi, Zulkifli Muhammad ,Ishak Haji Mohamad
dan sekian banyak nama yang tidak dapat disebutkan di sini
sentiasa berkerja keras dalam membantu membangunkan masyarakat
dan negaranya. Tetapi ke manakah perginya kaum cerdik pandai
kita sekarang ini?
Pada
dekad tujuh puluhan pula kita mendengar ramai para intelektual
yang lahir dalam masyarakat kita, tidak kiralah sama ada mereka
itu dari bidang apa yang diceburi. Di antaranya ada yang masih
hidup sehingga kini. Pada dekad ini golongan sasterawan
adalah paling ramai bermunculan dan menggelarkan diri mereka
sebagai kaum intelektual atau para cendekiawan. Setakat mana
sumbangan mereka tidaklah pula dipertikaikan. Di sini lahirlah nama-nama seperti Usman Awang,Kassim
Ahmad, Baharudin Zainal,Fidaus Abdullah dan sebagainya yang mewarnai bidang kesusasteraan. Di bidang
kewartawanan terdengar nama A.Samad Ismail,Malungun dan sebagainya.
Di bidang akademik nama Engku Aziz tidak pernah luput hingga
kini. Nama Tun Abd.Razak terserlah dalam bidang politik, di
samping Singa UMNO, Datuk Harun dan lain-lain.
Tetapi
pada dekad-dekad terakhir ini sehinggalah ke abad dua puluh
satu kita telah kehilangan kaum intelektual itu. Mereka sudah
hilang dari pentas cendekiawan. Masyarakat tidak dapat lagi
menerima kaum intelektual yang bergelumang dengan kemewahan,
tetapi rakyat marhaen
tersepit dan terjepit hidupnya akibat dari berbagai tekanan
dari soal ekonomi, peribadi,
kebebasan bersuara hinggalah kepada kebebasan berpolitik.
Di
sinilah kita melihat kaum intelektual terutama yang beraliran
sekularisme sudah kehilangan peranannya dalam membentuk arah
dan hala tuju masyarakat Malaysia. Masyarakat tidak lagi menghormati
para cendekiawan yang mementingkan diri sendiri, membina kekayaan
peribadi dan sebagainya tanpa mengambil peduli anggota masyarakatnya
yang kurang bernasib baik itu.
Sikap
masyarakat juga turut memainkan peranan dalam era kelesuan
intelektual ini. Masyarakat umum tidak lagi menghormati kaum
cendekiawan. Masyarakat terbanyak juga sudah dilanda dengan
fahaman materialisme yang mereka peroleh hasil pendidikan
sekular. Apa yang masyarakat kita fikirkan sekarang ialah
rumah besar, jawatan tinggi dan kereta besar dan berjenama
sebagai lambang status sosial mereka. Mereka yang berkelulusan
tinggi juga turut terpesona dengan angin materialisme ini.
Kaum cendekiawan yang dahulunya aktif dalam akademik dan pemikiran
telah pula menceburkan diri dalam bidang politik, dan mereka
pula tidak lagi perihatin kepada masalah masyarakat massa.
Kini kaum
intelektual yang masih belum jumud adalah kaum intelektual-ulama
yang berjuang untuk memperbaiki masyarakat massa. Kaum cerdik
pandai ini terus berjuang bersama masyarakat terbanyak untuk
menuntut keadilan hak, kebebasan bersuara dan sebagainya seperti
mana halnya yang terdapat dalam hak-hak asasi manusia yang
dipersetujui oleh sekelian bangsa.
“Perlu
dijelaskan, bahawa maksud peranan intelektual bukan bererti
pimpinan intelektual.
Konsep bahawa intelektuallah yang mengubah masyarakat, bahawa
intelektuallah dengan sendirinya menjadi pemimpin, saya kata
tidak tepat. Sejarah perubahan sesuatu masyarakat dan negara
bukan kerana pimpinan dan perjuangan intelektual, tetapi lahir
dan timbul dari masyarakat dan perjuangan rakyat itu sendiri,
kaum taninya dan kaum buruhnya. Intelektual-oleh keadaan dan
bilangannya-tidak mungkin memulakan suatu revolusi, tetapi
rakyatlah memulakannya. Hapusnya perhambaan bukan kerana perjuangan
intelektual, tetapi kerana kesedaran hamba abdi itu sendiri,
dan daripada merekalah lahir pemimpin yang memutuskan rantai
yang membelenggu mereka. Idea dan teori biasanya memang daripada
kaum intelektual, tetapi mereka bukanlah memegang peranan
utama sebagai peneroka dan pencetus tindakan. Dan apabila
ada intelektual yang mempelopori perjuangan dan memegang peranan utama, ia pastilah lahir dan timbul di
kalangan rakyat, dari tengah-tengah rakyat, kerana intelektual
itu telah mengintegrasikan dirinya dengan rakyat (Usman
Awang, Peranan Intelektual,
Institut Analisis
Sosial, hlm.12).
Demikianlah
sepatutnya seseorang kaum intelektual itu berperanan. Tetapi
peranan itu kini lesu selesu lesunya kerana dihambat oleh
pengaruh arus materialisme yang amat mencengkam minda kaum
intelektual itu sendiri.
Kita
masih menantikan mereka memainkan peranan sebagai individu
yang tercerdik dalam masyarakatnya, tetapi kita tidak dapat
menaruh harapan yang muluk-muluk terhadap mereka,apalagi yang
bersengkongkol dengan pemerintah,yang mempertahankan kezaliman
dan penindasan, korupsi, kronisme dan nepotisme yang
sudah mengakar ke dalam tubuh masyarakat kita. Intelektual
harus bebas, harus membebaskan dirinya dari sebarang cengkaman
yang membantutkan minda, agar peranannya dapat terus dimainkan
khususnya dalam mengharungi era globalisasi ini.
|