bil.69/2001
----------------------------
 

Menitis Air Mata Kerana Sekolah Ada Tiga Unit Komputer

Oleh: Zalina Yahaya

GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Condong, Machang, Kelantan, salah sebuah sekolah rendah yang memasuki senarai 24 buah sekolah terbaik dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memberitahu, sekolahnya hanya memiliki tiga buah komputer.

Dua diberikan oleh Kementerian Pendidikan dan sebuah lagi adalah pemberian murid tua sekolah tersebut.

Dengan linangan air mata (mungkin kerana sedih dengan keadaan sekolah dan juga mungkin kerana terharu dengan kejayaan sekolahnya), cikgu itu memberitahu dia tidak mampu mewujudkan kelab komputer seperti sekolah lain.

``Saya juga tidak kenal sesiapa untuk meminta bantuan dan sumbangan. Sekolah saya, sekolah kampung,'' katanya.

Situasi ini berlaku bukan sahaja kepada SK Pulai Condong, Machang, Kelantan, tetapi juga kepada kebanyakan sekolah lain terutamanya yang terletak di pedalaman dan jauh dari bandar-bandar besar.

Sekolah-sekolah di luar bandar ini kurang mendapat perhatian daripada pihak swasta dalam menghulurkan sebarang bentuk bantuan.

Keadaan ini menjadikan kebanyakan sekolah ini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan daripada Kementerian Pendidikan.

Jika bernasib baik ada ahli-ahli politik ternama melawat sekolah, maka dapatlah sekolah ini peruntukan `mengejut' seperti mengecat sekolah atau membaiki mana-mana yang sudah robek daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Jika tidak, pihak sekolah perlu bersabar menunggu bantuan tahunan daripada kerajaan.

Keadaan ini berlainan di sekolah-sekolah ternama terutamanya di bandar-bandar besar.

Dengan peruntukan sama rata yang diberikan oleh kerajaan, sekolah di bandar mungkin mempunyai makmal komputer yang berhawa dingin, taman mini berlanskap indah serta pintu pagar yang tersergam, hasil tambahan kewangan daripada pihak swasta.

Sumbangan syarikat-syarikat swasta dan juga orang persendirian boleh dikatakan datang mencurah-curah.

Sekolah-sekolah lain yang kurang bernasib baik pula mungkin sudah cukup berpuas hati dengan kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan.

Ada juga guru besar sekolah-sekolah kampung yang mengadu surat memohon sumbangan buku dan majalah lama daripada syarikat-syarikat swasta untuk diisi di perpustakaan sekolah sebagai bahan bacaan ringan, tidak pernah berbalas.

Kita tidak dapat menolak kemungkinan besar sumbangan ini adalah hasil gerakan individu dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terdiri daripada orang yang berduit dan berkedudukan tinggi.

Di samping itu, tidak dapat dinafikan juga hubungan baik guru besar dan pengetua dengan pihak luar juga memainkan peranan penting dalam mendapatkan sumbangan daripada pihak swasta.

Faktor latar belakang ibu bapa pelajar di sesebuah sekolah juga memainkan peranan penting kemajuan sesebuah sekolah kerana mereka boleh menggunakan pengaruh ibu bapa berkedudukan untuk membantu membangunkan sekolah.

Bagaimanapun, tidak semua sekolah memiliki PIBG yang `kaya', ataupun anak-anak orang berada.

Malah ada juga sekolah yang mempunyai individu berada dalam PIBGnya tetapi masih perlu berharap pada sumbangan kewangan kerajaan semata-mata untuk pembangunan sekolah.

Bagaimanapun menurut pegawai di Kementerian Pendidikan yang banyak terlibat dengan urusan tajaan pihak swasta untuk pembangunan sekolah, tidak dapat dinafikan lokasi sekolah memainkan peranan penting dalam `mengumpan' sumbangan pihak swasta.

Dalam konteks ini, sekolah-sekolah yang terletak di bandar besar boleh dikira beruntung kerana merekalah yang sentiasa menjadi pilihan kerana ia akan menjimatkan kos untuk melaksanakan sesebuah projek.

Lagipun boleh dikatakan hampir semua ibu pejabat syarikat-syarikat swasta ini terletak di bandar-bandar besar.

Selain itu, tidak dapat dinafikan, kriteria `pasaran yang berpotensi' adalah perkiraan yang paling utama dalam pemilihan sesebuah sekolah untuk diberikan bantuan.

Malah kriteria ini boleh dikatakan berada di tangga teratas sebelum sesuatu projek dilaksanakan di sesebuah sekolah.

Bagaimanapun tidak semua syarikat swasta memberi pertimbangan kepada fakta-fakta komersial.

Syarikat Puncak Niaga umpamanya memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah di luar bandar di sekitar Lembah Klang dan Selangor untuk menjalankan projek `Briged Sungai' yang merupakan projek kesedaran penjagaan alam sekitar.

Menurut salah seorang pegawainya, Puncak Niaga membelanjakan antara RM40,000 hingga RM50,000 untuk setiap fasa projeknya melibatkan empat buah sekolah.

Selain faktor-faktor komersial dan juga tanggungjawab sosial pihak swasta, tidak dinafikan satu lagi ciri penting yang diberikan keutamaan ialah dalam `mengumpan' sumbangan pihak swasta ialah kecemerlangan sesebuah sekolah.

Jika diperhatikan trend, didapati kebanyakan sekolah yang berjaya jaya `mencuri' perhatian pihak swasta ialah sekolah yang membuktikan kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran sekolah secara keseluruhan baik dari segi pelajarnya dan juga kakitangannya.

Ini penting kerana syarikat-syarikat swasta ini sudah pasti mahukan sumbangan mereka kepada sesebuah sekolah berbaloi dan dibayar dengan kejayaan sekolah tersebut.

Tidak secara langsung ia memberi kesan positif dan menaikkan nama syarikat mereka kerana turut membantu membangunkan sesebuah sekolah.

Mengambil iktibar ini, pihak sekolah sebenarnya perlu bertindak proaktif untuk `mengumpan' perhatian pihak swasta bagi menyalurkan sebarang bentuk bantuan.

Kejayaan sekolah itu pastilah tidak semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga dalam bidang kokurikulum.

Sesuai dengan dasar Kementerian Pendidikan dalam Rancangan Pembangunan Pendidikan 10 tahun yang dikemukakan baru-baru ini yang mahukan kerjasama yang lebih erat antara pihak swasta dengan sekolah demi kemajuan sekolah, pengetua dan guru besar perlu memikir dengan serius dan kreatif untuk menarik penglibatan pihak swasta ke sekolah masing-masing.

Kita tidak boleh melihat saranan ini sebagai satu manifestasi `lepas tangan' kerajaan kepada usaha membangunkan sekolah.

Saranan ini sebaliknya adalah bersifat `menang-menang' dan satu perkongsian bijak.

Cuma yang penting sekarang ialah supaya pihak sekolah sentiasa berhati-hati dan membuat pertimbangan waras dalam menerima sebarang bentuk sumbangan daripada pihak swasta.

Kita tidak mahu, pihak swasta menggunakan sekolah untuk menonjolkan diri dan mempromosi barangan yang dihasilkan.

Selain usaha kreatif dan bersungguh-sungguh pengetua atau guru besar, pihak swasta juga perlu lebih adil dan bersifat lebih simpati dalam menghulurkan bantuan.

Benar, sumbangan mereka ke sekolah-sekolah yang sudah ada nama akan menaikkan lagi nama syarikat masing-masing kerana sekolah-sekolah tersebut mudah mendapat perhatian, terutamanya media.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga perlu prihatin dengan kedaifan dan kekurangan sekolah-sekolah di luar bandar terutamanya.

Jika dengan bantuan syarikat-syarikat swasta ini mampu membawa perubahan yang membanggakan kepada sekolah-sekolah ini, pastinya, imej mereka sebagai sebuah syarikat yang memberi khidmat kepada masyarakat akan lebih mendapat perhatian.

Dan pastinya syarikat mereka akan mendapat lebih kepercayaan daripada masyarakat keseluruhan.

Dipetik dari Portal Pendidikan Utusan
PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com