bil.70/2001
----------------------------
Karenah Birokrasi...40
Peratus Guru Tolak Kenaikan Pangkat
Oleh: Marzita
Abdullah
KARENAH birokrasi di Kementerian
Pendidikan menjadi antara punca ramai guru tidak berminat
untuk dinaikkan pangkat menjadi pengetua di sekolah-sekolah.
Jawatan tertinggi di sekolah
menengah itu dikatakan semakin tidak diminati guru-guru dan
perkembangan terbaru menunjukkan kira-kira 40 peratus tawaran
untuk kenaikan pangkat itu ditolak oleh guru-guru.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) Tengku Habsah Tengku Petera berkata,
karenah pegawai-pegawai di kementerian itu seperti Pegawai
Pendidikan Daerah (PPD) dan Pengarah Pendidikan Negeri yang
terlalu `mengarah' membuatkan guru `menyampah'.
``Mereka bukan memilih kerana
gaji yang tidak lumayan tetapi terpaksa menanggung beban melayan
karenah ibu bapa yang keterlaluan dan di tambah pula dengan
karenah pegawai-pegawai atasan,'' katanya.
Menurut beliau, pengetua bukan
sahaja terpaksa menghadapi maki hamun ibu bapa malah akan
menghadapi perkara yang sama daripada pegawai-pegawai berkenaan.
Lebih merumitkan, bilangan
pegawai atasan yang banyak menyampaikan terlalu banyak dan
pelbagai arahan daripada setiap ketua.
``Kita kini berhadapan dengan
banyak ketua yang mempunyai banyak karenah dan masalah,''
katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau berkata, walaupun Kementerian
Pendidikan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji 10 peratus
bermula Januari tahun depan namun ia tidak setimpal dengan
beban yang ditanggung oleh pengetua.
``Justeru itu kebanyakan guru
yang berkhidmat menjadikan profesion tersebut sebagai batu
loncatan untuk menanti pekerjaan yang menawarkan gaji yang
lebih lumayan,'' katanya.
Selain jawatan pengetua, jawatan
sebagai guru besar juga semakin tidak diminati dan statistik
menunjukkan 25 peratus guru menolak tawaran kenaikan pangkat
itu.
``Jumlahnya walaupun tidak
sebesar mana tetapi menunjukkan bahawa jawatan penting yang
pernah dipandang mulia oleh masyarakat kini tidak diminati
oleh anak-anak muda,'' jelasnya.
Selain beban tersebut, sikap
masyarakat yang tidak menghargai pengorbanan guru-guru membuatkan
mereka merasakan profesion tersebut hanyalah sandaran sahaja.
``Jika seseorang pelajar berjaya
dalam bidang akademik, ibu bapa akan memberitahu bahawa anaknya
berjaya kerana tuisyen dan bukan hasil bimbingan gurunya,''
katanya.
Tengku Habsah menjangka profesion
berkenaan akan menghadapi masa depan yang gelap dalam tempoh
lima tahun akan datang jika sistem pendidikan negara tidak
diubah.
Katanya, sistem pemantauan
berpusat harus ditukar dengan melantik suatu badan atau majlis
di setiap negeri untuk memantau guru-guru dan sekolah-sekolah.
``Pada masa ini Kementerian
Pendidikan memantau 10,000 sekolah, adalah mustahil jika ia
dikatakan berjalan lancar,'' tegasnya.
Selain itu katanya, kementerian
juga perlu mewujudkan lebih banyak jawatan tertinggi dan bukannya
hanya jawatan pengetua dan guru besar sahaja.
``Kenaikan pangkat hanya disediakan
untuk seorang pengetua dan guru besar, itulah satu-satunya
tawaran kenaikan pangkat tertinggi dalam bidang perguruan,''
katanya.
Justeru itulah banyak golongan
lelaki tidak berminat untuk menyertai bidang tersebut kerana
ia tidak mencabar.
Beliau percaya, masyarakat
akan beralih ke sekolah-sekolah swasta jika sistem dan akta
pendidikan masih di tahap lama
|