bil.72/2001
----------------------------
KENAKALAN
REMAJA DARI PERSPEKTIF ISLAM
Oleh: Ghafani bin Awang Teh
Kenakalan remaja (Juvenile
Delinquence) adalah merujuk kepada perbuatan dan aktiviti
remaja yang berlawanan dengan norma-norma masyarakat, undang-undang
negara dan agama, seperti mencuri, merompak, merogol, berzina,
membunuh, menagih dadah, menderhaka kepada kedua ibu bapa
dan seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana remaja
dianggap belum matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah
yang mereka lakukan tidak dikenakan hukuman berat. Hukuman
yang dijatuhkan kepada mereka ialah remaja itu ditempatkan
di pusat-pusat pemulihan akhlak dan diberi pendidikan khas.
Ahli-ahli sains sosial berbeza-beza
pendapat tentang had umur remaja. Ada yang mengatakan alam
remaja di antara 10 – 18 tahun atau 13 tahun – 12 tahun. Menurut
Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik
dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun.
Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih
anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai
umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama
dan menjauhkan segala larangannya. Lingkungan baligh ialah
mencapai umur 15 tahun atau kanak-kanak lelaki sudah bermimpi
bersetubuh dan kanak-kanak perempuan pula telah keluar haid
dalam tempoh umur antara 9 hingga 15 tahun.
TEORI TABIAT MANUSIA
Pakar psikologi kaunseling
membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat
manusia. Corey (1986) menyatakan beberapa teori penting yang
menjelaskan tentang tabiat itu ialah:
Pertama: Teori Psikoanalisis
yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia
pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan
seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam
diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya.
Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi
buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik
hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa
itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.
Kedua: Teori Analisis Transaksi:
Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada
skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak
akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan
yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan
berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang
lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada
perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.
Ketiga: Teori Behaviorisma:
Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk
hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran.
Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran
dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri
yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.
Keempat: Teori Pemusatan Klien:
Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya
baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan
diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa
dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri
dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan
dan seumpamanya.
Kita dapati bahawa pandangan
teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian
dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari
aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran,
proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani.
Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran
dan kajian itu dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan
masyarakat di barat.
Sebagai contoh, walaupun pendapat
Frued dikritik hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya
adalah berkaitan dengan perasaan nafsu Ammarah yang mewakili
unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia.
Dari segi pendekatan Islam,
Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan: terdapat empat peringkat
nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:
a. Nafsu Ammarah: Nafsu yang
sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka
yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara
yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan,
ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan,
ia tidak gembira.
b. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang
mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat
masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan
yang positif.
c. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang
sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan
membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
d. Nafsu Mutmainnah: Nafsu
yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha
terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.
Pada prinsipnya nafsu itu adalah
mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan
(jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan
sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.
Seorang ahli falsafah akhlak
Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam
diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.
a. Manusia yang baik tabiatnya.
Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi
manusia yang jahat;
b. Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini
tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.
c. Manusia yang berada dipertengahan
tabiatnya. Golongan ini boleh berubah menjadi
baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran
yang diterimanya.
Konsep Diri Remaja
Kadangkala ibu bapa mengambil
sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam
remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan
yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui
bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak
menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi
dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.
Peralihan zaman alam kanak-kanak
menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja
kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya
atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep
jati diri pada dirinya. Rogers (1985) menyatakan antara perubahan
nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:
a. Perubahan pada fizikal
Bagi anak lelaki didapati mengalami
perubahan jelas pada jasmani di mana anggota badan kelihatan
mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si gadis pula mula
menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid,
buah dada membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar.
Apabila sampai pada peringkat akhir remaja simbol-simbol daya
tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga rangsangan seksual
yang mula meningkat.
b. Perubahan Emosi dan Fikiran
Di peringkat remaja, perasaan
dan fikiran anak lelaki setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak.
Pada zaman kanak-kanak skrip hidup hariannya ditentukan oleh
ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara spontan
tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah
ke alam remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan,
mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan
berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang dewasa yang
sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan
kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak
mampu dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak
berupaya. Keadaan ini menimbulkan konflik nilai dalam dirinya.
Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian, berkahayal
dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam
pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan
cara berfikir. Orang yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan
terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular, pelawak, tokoh
ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung
kepada pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh remaja
itu.
c. Narcisma
Narcisma adalah merujuk kepada
ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang
pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta dan
dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga.
Apabila anak itu mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak
kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm)
yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan
memperluaskan rakan sosial yang sesuai.
Narcisma amat kuat wujud pada
gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya bersifat
pasti di mana ia memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya
keluar dari rasa kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah
kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar pasangan di
kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu
terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja
lelaki yang sebaya dengan umurnya.
Jika narcisma ini digunakan
secara positif maka remaja akan menentukan dirinya tidak mudah
dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma di salah
gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri yang salah
atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan
memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti
menghisap dadah, mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta
rakan sejenis dan seumpamanya.
Dalam aktiviti narcisma ini
perempuan lebih mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan
lelaki kerana ia bersifat pasif.
d. Menyertai Kumpulan
Perubahan emosi dan fikiran
remaja telah mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan
rakan sosialnya. Mereka memperluaskan rakan sosial ini dengan
cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru
berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang
sama atau taraf sosial yang sama.
Adalah perkara biasa kita lihat
kelompok remaja mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan
bahasa yang anih, pakaian yang pelik, tertarik dengan aktiviti
yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja dalam kelompok
sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan
yang sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun,
jika penyertaan dalam kelompok itu disalahgunakan, maka ia
akan mengheret remaja berkenaan dalam aktiviti yang bercanggah
dengan agama dan undang-undang negara.
Pada masa remaja inilah kita
dapati ibu bapa sering mempunyai pendapat yang berbeza dengan
pandangan rakan sebaya dalam usaha memberi bimbingan dan pendidikan
terhadap si anak remaja itu.
e. Menentang Kekuasaan
Orang tua-tua kita selalu mengingatkan
bahawa masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang
mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari kongkongan ibu
bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu
bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang
pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan
gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan
mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan itu
merendahkan harga diri mereka yang memang telah sedia bergelora.
Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan menjadi
rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan
kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang
lebih tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan
apa yang orang dewasa lakukan.
Sebenarnya pencarian konsep
diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada
masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai
belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil daripada interaksi
dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan persekitaran.
Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri
kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian
dan sekaligus mengalami perubahan. Bagi kebanyakan remaja,
proses pemurnian konsep diri berjalan lancar, tetapi mereka
yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya
akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.
Faktor Kenakalan
Berdasarkan pandangan
Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca
kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:
Pertama : Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di
rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada
dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental,
fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk
kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga.
Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar
maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan
keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa
yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan
terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang
bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan
kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh
atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh
dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor Peribadi Yang
Kotor.
Peribadi yang kotor adalah
merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai
sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki,
pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya.
Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh
naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan,
hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak
kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil
dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja.
Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat
dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
Ketiga : Faktor sekolah.
Sekolah merupakan tempat
memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas
ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil
tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu
masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Keempat : Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran adalah
merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat
hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan
dan meningkatkan rangsangan seksual.
Aktiviti faktor persekitaran
yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:
i) Persembahan konsert rock
ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki
dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan
yang berunsur seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti
pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
Rawatan Kenakalan
Persoalan yang timbul kepada
ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah
terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan
di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah
menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu
manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam
diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha
meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak
mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah). Allah
telah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan
manusia dalam bentuk yang sebaiknya.”
(Surah Al-Tiin:4)
Ketika menjelaskan perkara
yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Setiap anak yang dilahirkan
adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya
untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.”
(Riwayat Bukhari)
Sejarah Rasulullah s.a.w.
membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan
belenggu nafsu kehaiwanan memberi satu pengajaran penting
tentang pembentukan akhlak manusia. Antara kaedah yang digunakan
oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan kemahiran
keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:
PERTAMA: Kaedah Pendidikan
Hati
Sebagaimana kita ketahui
bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan
sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia.
Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati.
Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan
sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia.
Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati
dalam diri menusia dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi
perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang bertindak
sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau
buruk, betul atau salah.
Penemuan Frued itu adalah
menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia
itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah
seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan.
Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati itu sesuatu yang
ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia
harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang
itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi
jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi
dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat
langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan
pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut
dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang
tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)
Ternyata bahawa pendidikan
hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan
untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan.
Allah telah memberi jaminan bahawa orang yang bersih hatinya
(surah Asy-Syams: 9-10).
Zikir-zikir yang paling
baik diamalkan ialah lafaz:
a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim
Dalam Islam. Lima zikir ini
dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh
memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati
amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan
kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua
ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati
kepada aktiviti terpuji yang lain.
KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat
Khusus
Ibadat khusus seperti
sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada
umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya
kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang
merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak
manusia. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu
boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji
dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)
Manakala dalam ayat yang lain
pula, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang
yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)
Ibadat sembahyang dianggap
senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan
keterangan berikut:
a. Rasulullah s.a.w. menerima
sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada
masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan
Malaikat Jibril;
b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan
sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan
sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang
itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya
melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.
c. Rasulullah s.a.w. telah
berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu
dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun.
Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan
enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah
anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.
d. Sembahyang adalah sebahagian
daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang
difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.
KETIGA: Kaedah Qiyamullail
Qiyamullail adalah merujuk
kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh
malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang
sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar.
Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu
melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah
peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan
orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu
jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai
penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan
penyakit dari badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Melalui penjelasan di
atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak
dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah.
Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk
taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup
melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Bukankah Aku Tuhan kamu”
Roh-roh manusia menjawab:
“Benar,(Engkau Tuhan
kami) kami menjadi saksi.”
(Surah Al-A’raf:172)
Kesan dialog perjanjian
ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah,
kerana itulah cara untuk meletakkan taraf manusia di sisi
Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah mensifatkan manusia
tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah
sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka
bumi, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi
(hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang
degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.”
(Surah Al- Anfaal: 55)
Kemahiran Keibubapaan
Al-Quran dan Hadis telah
memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan
dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam
rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu
mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan
kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:
a. Ibubapa hendaklah berlaku
adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan.
Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri
daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)
c. Ibubapa jangan menjadi kecewa
dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara
kerana perbuatan ibu bapanya.
(Surah Al-Baqarah:233)
d. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah
mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli
keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)
Berdasarkan pandangan Islam
dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan
yang perlu dikuasai oleh ibu bapa ialah:
a.
Model Ibu bapa Yang Salih
Ibu bapa yang salih adalah
merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam.
Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan
agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan:
‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan
agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang
penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga,
semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan
tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat
dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran
agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah
ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung.
Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya.
Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.’
Ibu bapa yang salih adalah
ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya
usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan
dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah menjadi perkara
yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah
ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk
menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah
membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji
seperti tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa
atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu, membuat
kebajikan dan sebagainya.
b. Mendisiplinkan Anak Dengan
Kasih Sayang
Disiplin adalah merujuk kepada
kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan
tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan.
Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan
memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan
itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan
merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan
anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas
memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati,
gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara
positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada
masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak
membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku
positif.
c.
Terima Anak Tanpa Syarat
Walau si anak jahat sekalipun,
ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya.
Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak
atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan.
Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana
hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan
anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang
benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan
sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah
kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan suasana akrab dan
mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan
perasaan kepada ibu bapa;
ii) Minta si anak memberi penerangan
dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku;
iii) Mendengar dengan penuh
minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan
gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak;
iv) Meminta anak memberi pendapat
sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan
yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan
v) Jika didapati anak telah
celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh
meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan
lagi perbuatan yang tidak diingini itu.
d.
Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak
Ketagih terhadap kerjaya
atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga
adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah
tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga
anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih
sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra
dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan
tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti
masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa
untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah,
makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama,
dan sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan
anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling
hormat antara satu sama lain.
e. Peka terhadap Pergerakan
Anak
Ibu bapa perlu bijak membaca
setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh
memberi gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak
yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:
i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;
ii. Fesyen pakaian, rambut,
kasut dan keadaan fizikalnya;
iii. Tingkah laku non-verbalnya
seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;
iv. Kemampuan anak membezakan
perkara yang baik dan buruk;
v. Siapakah lebih berpengaruh
sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan
vi. Keupayaannya untuk berdikari.
Kemahiran ini amat penting
untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas
menjadi tabiat jahat.
f.
Jangan Salah Guna Kuasa
Dalam proses pertumbuhan dan
pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa
di terima dalam keluarga.
Dalam pergaulan seharian,
kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak
kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari
siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan
menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia
bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak
terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi
alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa
menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu
bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa
kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak
berguna.
g. Kesabaran
Satu lagi kemahiran yang perlu
ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun
dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza.
Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi
dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami
kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu
tanda beriman.
Silap Memberi bimbingan Dan Kaunseling
Abu Said al-Khudri meriwayatkan
satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya.
Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang
paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang.
Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan
hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta
dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99
orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab
‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya
seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling
alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100
orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim
itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya
menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan
jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya
jahat.”
Maka berangkatlah orang itu
ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka
bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat
Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat
Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat
Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian
turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara
mengukur jarak jauh kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya
didapati orang itu mati berhampiran dengan kampung Anu. Maka
ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.
Isu penting dalam kisah
ini ialah:
a. Kesilapan memberi bimbingan
akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh
kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan
marahnya;
b. Bergaul atau tinggal di
kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak;
dan
c. Taubat orang tersebut diterima
Allah.
Hidayah Allah
Hidayah Allah adalah
juga faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak
seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya
memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal memujuk
bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah
berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya
ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah
jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)
Walau bagaimanapun kita lihat
Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat
al-Qur’an, walhal Umar sebelumnya terkenal dengan perangai
jahiliyahnya.
Manusia adalah sebaik-baik
kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan
keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi
bila jalan pemikirannya salah, maka akan salahlah perbuatannya.
Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang itu
dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah
jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak
mendapat petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah
selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah
selain daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.
Penutup
Mendidik dan membimbing
anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus
tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting
bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak
anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi.
Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak
terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat
sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan
tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu
mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya
atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat
tabiatnya. Oleh itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi
asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan
oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan
pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian
manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat
dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila
anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri
sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula
peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.
|