Memperingati
Bapa Pendidikan Moden Malaysia
Oleh: Syed
Anuar Syed Mohamad
TANGGAL 24 Disember 1965,
26 tahun lalu hari ini negara khasnya warga pendidik dan
pejuang nasionalis dikejutkan dengan berita yang amat menyedihkan
- perginya seorang pahlawan, perginya seorang pejuang dan
perginya seorang bapa pendidikan moden negara dalam usia
yang teramat muda iaitu 39 tahun mengadap Allah Yang Maha
Pengasih Lagi Penyayang.
Pemergian Allahyarham Aminuddin
Baki merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat melayu
khasnya dan dunia pendidikan negara amnya. Ketokohan dan
kegigihan perjuangannya sukar dicari ganti. Namun demikian,
obor semangat perjuangan yang dinyatakan khususnya dalam
konteks mengangkat dan meningkatkan taraf pendidikan anak-anak
Melayu akan tetap dinyalakan oleh generasi selepasnya agar
pesanan dan peringatannya terus berkobar dan menjadi iktibar
di dalam setiap sanubari pelajar Melayu agar kebimbangan
Allahyarham yang tidak rela bangsa Melayu bagai ayam di
kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan menjadi
kenyataan di bumi merdeka ini.
Tokoh yang berpegang kepada
prinsip `agama dijunjung, tamadun dipimpin' ini telah dilahirkan
dalam keluarga yang sederhana di Chemor, Perak pada 26 Januari
1926. Siapakah Aminudin Baki? Beliau dianggap seorang pejuang
kebangsaan yang tidak mementingkan diri, seorang pemimpin
yang bertanggungjawab, serius dan menunaikan beban tugas
yang begitu berat dengan penuh dedikasi, seorang arkitek
kepada perlaksanaan sistem pendidikan negara dalam zaman
beliau dan pengasas sistem pendidikan negara hari ini.
Allahyarham memainkan peranan
yang amat penting dalam mempelopori semangat kesedaran di
kalangan orang Melayu. Bertepatan sekali bilamana beliau
dianggap seorang pejuang dan penyelamat bangsa Melayu dari
kedaifan ilmu yang mereka alami melalui penindasan dasar
pendidikan oleh penjajah, baik di dalam mahupun di luar
negeri.
Pendidikan adalah tunjang
perjuangan dan sumbangan beliau dalam konteks membina sebuah
masyarakat yang bersatu dan sejahtera amat bernilai harganya.
Aminuddin telah menghabiskan
masa hidupnya menabur jasa bakti kepada agama, nusa dan
bangsa melalui usaha-usahanya meninggikan mutu dan darjat
bangsa menerusi pendidikan.
Beberapa siri ucapan beliau
yang masih segar dan terus disebarluaskan oleh Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sehingga hari ini kepada
anak Melayu di seluruh pelosok negara:
- `Kita baru mencapai pengayuh,
orang sudah sampai ke sebarang'.
- `Al-Quran mengingatkan
kita segala rezeki, nafkah kurniaan Tuhan itu tidak datang
menggolek atau jatuh ke riba kalau kita tidak mengusahakannya.'
Beliau juga di dalam Siri
Gerakan Obor mulai 1964 sering menegaskan kepada pelajar-pelajar
Melayu khasnya:
``Orang bertambah kaya, makmur
hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Apakah kita akan
terus menjadi pemerhati saja dan dengan bertambahnya jumlah
kita tertinggal di belakang? Di zaman orang naik jet dan
kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan
berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air kita
sendiri?'
Pelajar Melayulah menjadi
anak emas atau agenda utama perjuangannya. Di bidang ini
jugalah masyarakat akan terus mengingatinya. Mengimbau kembali
beberapa sudut tertentu akan apa yang pernah diperjuangkan
oleh tokoh ini, kita dapat mengesani betapa perkembangan
yang meningkat dalam bidang pelajaran Melayu bermula pada
awal tahun 1960-an adalah sebahagian daripada hasil usaha
Allahyarham.
Pembangunan sekolah-sekolah
menengah kebangsaan di seluruh tanah air adalah tinggalan
utama Allahyarham kepada bangsanya. Begitu juga peperiksaan-peperiksaan
awam seperti LCE, OSC dan MCE yang kini bertukar nama kepada
SRP/PMR, SPM dan STPM adalah antara usaha Aminuddin memperbanyakkan
anak-anak Melayu mencapai taraf pendidikan menengah yang
tinggi. Dalam konteks yang sama, penubuhan`Joint Examination
Board' pada bulan Ogos 1963 di mana Allahyarham adalah pengerusinya
semata-mata bertujuan mencari jalan keluar bagi pelajar
Melayu selepas Sijil Persekolahan dengan perantaraan bahasa
Melayu.
Selain merasa sedih dan bimbang
apabila melihat kedudukan orang Melayu yang begitu buruk,
mundur dan leka kerana di kesampingkan dan dibuai oleh penjajah
dan menyedari kekurangan pelajar Melayu melanjutkan pelajaran
mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi, beliau merasakan
sebuah gabungan yang cukup padu perlu dibuat bagi menggembleng
seluruh tenaga pelajar Melayu di institusi pendidikan ketika
itu dengan harapan lebih banyak program ke arah membantu
sama sendiri bermatlamatkan mencapai kemajuan di bidang
pendidikan serta memperbaiki kedudukan sosial mereka.
Kegagalan penubuhan Malayan
Union sebagai hasil kebangkitan orang-orang Melayu khasnya
dan diikuti dengan penggemblengan tenaga kepimpinan Melayu
melalui UMNO khasnya telah mendorong lahirnya GPMS pada
Ogos 1948, di mana beberapa matlamat yang terpahat adalah
menyatukan pelajar-pelajar Melayu di seluruh Semenanjung
Tanah Melayu, menyedarkan mereka tentang kemunduran orang
Melayu khususnya di bidang pendidikan, memperingatkan pelajar-pelajar
Melayu bahawa maju-mundur, kaya-miskin dan hina-mulia bangsa
itu di tangan mereka sendiri serta menginsafkan mereka betapa
GPMS-lah yang perlu berada di barisan hadapan sebagai jurubicara
dan pejuang peningkatan taraf dan martabat pendidikan pelajar-pelajar
Melayu.
Allahyarham Aminuddin Baki
cukup sinonim dengan perjuangan GPMS ini. Beliau sentiasa
mengibarkan bendera ilmu untukmenyedarkandanmemajukanbangsanya.
Keintimannya terhadap ilmu dan gerakan pelajar itu bertemali
dengan tugas awalnya selaku pendidik. Setelah lulus Sarjana
Muda Sastera dan kemudian memperolehi Ijazah Sastera Dengan
Kepujian tahun1950-1951, beliau berkhidmat sebagai seorang
guru di sekolah Inggeris Sultan Yusof Batu Gajah dan Sekolah
Anderson, Ipoh (September 1951 hingga Julai 1952). Pada
Oktober 1952, beliau telah ditawarkan Biasiswa Queen untuk
melanjutkan pelajaran ke England di London Institute Of
Education, University Of London.
Allahyarham bukan sahaja
mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, bahkan semasa hayatnya
sentiasa bertindak sebagai pengkritik masyarakat. Beliau
mengakui tentang kemiskinan dan kemunduran orang Melayu
di tanah air sendiri. Begitu juga beliau menyedari tentang
kekurangan pelajar-pelajar Melayu yang berpendidikan tinggi.
Keadaan sebegini menurutnya bukan sahaja berpunca dari dasar
penjajahan atau penindasan golongan lain di negeri ini,
tetapi yang lebih penting ialah sikap orang Melayu yang
enggan menyesuaikan diri dan tidak berani merebut peluang
bagi memaju dan mempertingkatkan kemajuan mereka.
Ketika dilantik sebagai pentadbir
dan perancang pendidikan, semangat perjuangannya terus menyala
dan membakar. Kerana kebolehan dan kepakarannya di bidang
pendidikan, beliau telah dilantik menduduki beberapa jawatankuasa
penting bagi merancang dasar pendidikan negara.
Peranan yang dimainkan olehnya
sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Mengkaji Masalah
pelajaran orang Melayu sangatlah besar. Kajian yang dibuat
menerusi Laporan Barnes itu menunjukkan laporan itu jelas
mencerminkan semangat dan aspirasi bangsa Melayu yang telah
diperjuangkan oleh Aminuddin Baki sendiri sebelum itu. Laporan
Barnes menyarankan agar sekolah rendah cuma menggunakan
dua bahasa pengantar, iaitu bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Hal yang sama pernah dicadangkan oleh Allahyarham pada 1953.
Bagi Penyata Razak (1956),
Allahyarham dianggap sebagai arkitek yang bertanggungjawab
menggubalnya. Penyata Razak adalah garis panduan untuk bertindak
yang mengambil kira konteks perubahan dari pemerintahan
kolonial kepada taraf pemerintahan sendiri. Satu perkara
penting yang berulang kali ditegaskan oleh Penyata Razak
adalah berkaitan martabat Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan
dan bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah.
Allahyarham juga terlibat
secara langsung ketika menganggotai Jawatankuasa Laporan
Rahman Talib(1960). Masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu
meneruskan pelajaran ke sekolah menengah telah juga di atasi
melalui syor-syor yang dikemukakan dalam Penyata Aminuddin
Baki 1962. Penyata ini mempunyai implikasi dan makna yang
sangat penting dalam pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan
umumnya.
Setelah berkhidmat sebagai
pegawai Penasihat Pelajaran Kanan Selangor, Allahyarham
Aminuddin Baki dilantik sebagai ketua Penasihat Pelajaran
dalam usia semuda 36 tahun. Dalam melaksanakan tugas dan
tanggungjawabnya, Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin
yang tenang, matang dan berpengalaman bahkan setiap sentiasa
tidak mengira kedudukan dan pangkat seseorang. Sebagai contoh,
jika terdapat pegawai-pegawai yang datang berjumpa untuk
mendapatkan pandangan dan nasihat, beliau akan memberikan
tunjuk ajarnya.
Kini segalanya tinggal kenangan
yang terpahat rapi di dalam lipatan sejarah. Walaupun telah
36 tahun beliau meninggalkan kita, namun obor perjuangannya
yang sentiasa ditiupkan ke setiap telinga bangsa sewajibnya
diteruskan apatah lagi di dalam menangani arus globalisasi
dan gelombang kebangkitan perdana pendidikan negara yang
semakin mencabar ini.
Allahyarham Aminuddin Baki
telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan dedikasi
demi melihat bangsanya terus cemerlang. Beliau sanggup berjuang
demi mengembalikan maruah bangsa dan meletakkan bangsanya
setanding dengan bangsa lain sehinggakan beliau dianggap
sebagai Bapa Pendidikan Moden Malaysia.
Yang pergi tetapkan pergi,
namun kita sebagai penerus kepada kesinambungan memperjuangkan
peningkatan pendidikan bangsa perlu terus cergas, cerdas
dan cakna dengan perkembangan semasa apatah lagi yang berhubung
kait dengan peningkatan maruah bangsa, agama dan negara.
Sudah sampai masanya kita kembali bersatu memperkasakan
akal budi bagi melahirkan generasi ilmuan dengan tekad memperkukuhkan
perjuangan ke arah mempastikan harapan Allahyarham Aminuddin
Baki yang ingin melihat bangsanya berdiri sama rendah dan
duduk sama tinggi dengan bangsa lain dan akhirnya marilah
kita beriltizam untuk mempertingkatkan kecemerlangan tanpa
kita mempedulikan ideologi dan fahaman politik siasah kerana
yang penting kita perlu terus hidup, kita perlu terus berjuang
dan kita perlu terus mempastikan agar kesucian agama, maruah
bangsa dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Marilah kita keluar dari
zon keselesaan dan sama-samalah kita pecahkan gelas yang
menutupi kita selama ini sehingga kita lebih suka mengucapkan
tahniah di atas kejayaan orang lain tanpa sedikitpun tidak
terdetik semangat baru untuk kita tunaskan di dalam diri
agar suatu hari nanti kita mampu menerima ucapan tahniah
daripada orang lain di atas kecemerlangan kita.
Semoga semangat kental Allahyarham
Aminuddin Baki terus bersemarak di dalam diri kita, generasi
berubah ke arah kecemerlangan. Ingatlah pesanan keramat
Aminuddin Baki: Jangan nanti kita bagaikan Pak Kadok --
menang sorak kampung tergadai.
Syed
Anuar Syed Mohamad ialah Setiausaha Agung Gabungan Pelajar
Melayu Semenanjung (GPMS)