bil.74/2002
----------------------------
 

Rumah Guru... Pemberian Kepada Bukan Guru Dipertikaikan

Oleh: ARSHAD KHAN

KEMENTERIAN Pendidikan khususnya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta mengkaji semula peruntukan lima peratus kuota rumah guru kepada kakitangan bukan guru yang bertugas di jabatan.

Menurut Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab (KKGLM), perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia akan menjejaskan peluang guru yang benar-benar memerlukan rumah yang sememangnya terhad.

Timbalan Setiausahanya, Abdul Aziz Abdullah memberitahu, di Shah Alam, Selangor, 10 peratus daripada 100 buah rumah guru diduduki oleh bukan guru.

Perkara ini katanya, perlu dibetulkan segera kerana matlamat asal pembinaan perumahan guru adalah untuk menyelesaikan masalah tempat tinggal guru terutamanya di bandar-bandar besar.

``Jumlah perumahan yang berjaya disediakan adalah amat terhad, dengan keluasan hak ini, peluang guru pastinya menjadi kurang,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

KKGLM menurut beliau tidak menentang kakitangan pendidikan bukan guru tetapi merasakan guru lebih berhak mendudukinya kerana perumahan itu merupakan antara matlamat perjuangan semua kesatuan pendidikan selama ini.

``Semasa bekas Menteri Pendidikan (Najib Tun Razak) menyampaikan berita ini, semua guru di seluruh negara menyambutnya dengan hati yang terbuka dan gembira,'' ujarnya.

Mengikut perancangan kementerian, hampir 70,000 unit rumah kediaman guru yang cukup selesa,luas dan dilengkapi perabot akan siap dibina menjelang tahun 2005.

Projek Perumahan Guru merangkumi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh dan Kelapan, yang dapat menampung kira-kira 25 peratus jumlah guru di seluruh negara.

Langkah itu diambil kementerian bagi memastikan kebajikan guru-guru dijaga dengan sebaik-baiknya melalui penyediaan tempat tinggal yang selesa.

Selain itu, Abdul Aziz mencadangkan kepada kementerian agar menambah jumlah perumahan guru sebagai salah satu langkah penyelesaian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Ismail Yusof menjelaskan bahawa perumahan guru kini dikenali sebagai `Rumah Institusi Pendidikan' dan ia tidak hanya terhad kepada guru.

``Ia terbuka kepada semua warganegara pendidikan, bermula daripada jawatan pembantu tadbir ke atas,'' jelasnya.

Menurutnya, perubahan ini dilakukan atas persetujuan kementerian dengan semua JPN di negara ini.

Beliau menyangkal tanggapan bahawa penetapan kouta dibuat dalam pemberian rumah institusi pendidikan.

``Pemilihan dilakukan oleh jawatan kuasa pemilihan dan rumah diberikan atas dasar keperluan,'' jelasnya.

Selain itu menurutnya, pemberian rumah kepada kakitangan bukan guru secara umumnya tidak lebih daripada lima peratus.

Abdul Aziz selanjutnya memberikan contoh perumahan guru di Shah Alam yang menurutnya hanya berjumlah 100 buah manakala guru yang mengajar di kawasan itu berjumlah hampir 7,000 orang.

``Perumahan guru itu kini diduduki hampir 10 peratus bukan guru dan ini menunjukkan kesukaran baki guru untuk mendapatkan perumahan itu,'' katanya.

PeNdiDik©2000-2002.Emel:pendidikmy@yahoo.com