bil.75/2002
----------------------------


Pencapaian akademik bukan jaminan kerjaya ?


Baru-baru ini beberapa akhbar tempatan telah melaporkan bahawa lebih 30,000 siswazah pelbagai bidang menganggur. Menganggur bererti tiada pekerjaan. Menganggur bererti terkapai-kapai bersama sekeping sijil, diploma ataupun ijazah tanpa dapat memanfaatkannya dengan menceburi dunia kerjaya.

Laporan oleh akhbar itu menunjukkan bahawa bukanlah mudah untuk kita berdepan dengan dunia pekerjaan yang kian mencabar, rumit, dan kompleks keperluannya. Dengan memiliki sekeping sijil, diploma, atau ijazah belum pasti anda dapat meraih pekerjaan. Di samping kelayakan akademik anda juga perlu memiliki keterampilan yang baik, mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman.

Antara kemahiran yang perlu dimantapkan sejak remaja ialah kemahiran berbahasa. Seseorang siswazah yang ingin meraih pekerjaan perlu mahir dalam pelbagai bahasa. Bukan sekadar fasih dan mahir dalam Bahasa Melayu, malah fasih dan mahir dalam Bahasa Inggeris dan satu bahasa ketiga, seperti Bahasa Cina, Bahasa Arab, Bahasa Jepun atau Bahasa Perancis.

Pelbagai cara boleh digunakan untuk memahirkan anda berbahasa antaranya termasuklah membaca novel-novel, akhbar, majalah, menonton rancangan dokumentari dan drama di kaca TV atau mendengar siaran radio yang menggunakan bahasa berkenaan.

Selain belajar dengan membaca, mendengar dan menonton, anda juga boleh meningkatkan usaha bercakap dan berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa berkenaan dengan mematuhi prinsip- prinsip tatabahasa dan nahu yang telah dipelajari.

Perasaan malu perlu dikikis. Misalnya, setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu, bercakaplah dengan rakan sebaya dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan kaedah tatabahasa yang betul. Manakala hari Khamis dan Jumaat, bercakap dalam Bahasa Inggeris. Hari Sabtu dan Ahad pula cuba bertutur dalam bahasa ketiga yang boleh anda pilih sendiri.

Selain bertutur, belajarlah berhubung melalui media tulisan dengan menggunakan bahasa yang betul. Misalnya, tulis surat atau e-mel kepada kawan dalam pelbagai bahasa yang dipelajari dengan menggunakan kaedah tatabahasa yang betul, tulis rencana ke akhbar atau majalah dan sebagainya. Sambil menulis surat, rencana, ataupun karya kreatif seperti sajak dan cerpen, rujuklah tulisan anda kepada guru-guru untuk disemak dan diperbetul. Cara ini boleh memantapkan lagi gaya penulisan anda.

Selain menguasai kemahiran bahasa, remaja juga perlu menguasai kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi adalah antara prasyarat penting dalam dunia pekerjaan dan hal ini biasanya akan diuji ketika temuduga. Kemahiran berkomunikasi yang dimaksudkan ialah kemahiran mendengar, kemahiran memberi penerangan dengan jelas dan lancar, kemahiran menyoal dan beradab ketika berkomunikasi. Isu yang timbul pada masa sekarang ialah kurangnya keterampilan berkomunikasi di kalangan sesetengah remaja. Misalnya, sesetengah remaja terlalu banyak menggunakan bahasa slanga sehingga merosakkan bahasa dan tidak beradab ketika bercakap, hatta terhadap guru dan ibu bapa mereka sendiri.

Kemahiran komunikasi tidak terbatas pada komunikasi lisan. Dari segi keterampilan komunikasi bukan lisan juga penting, misalnya cara berpakaian, cara berdandan, cara berjalan, dan sebagainya. Kenyataan yang berlaku pada hari ini ialah sesetengah golongan remaja kurang mengambil berat soal etika dan adab dalam komunikasi dan kehidupan. Misalnya, satu ketika penulis pernah ditugasi sebagai ahli panel temuduga untuk pengambilan pekerja di sebuah syarikat ternama di negara ini.

Banyak calon yang datang menghadiri temuduga tidak tahu adab-adab menghadiri sesi temuduga. Misalnya, dari segi etika berpakaian, ada yang memakai pakaian terlalu seksi dan tidak sesuai untuk pekerjaan itu, manakala calon lelaki pula ada yang memakai seluar jeans dan lebih lucu, ada yang berseluar pendek sahaja. Begitu juga dari segi akhlak atau adab. Sesetengah calon tidak memberi salam ketika hendak masuk ke bilik temuduga. Dari segi gaya berjalan pula, ada yang berlenggang kangkung ketika hendak masuk seolah-olah berjalan di pasar borong.

Remaja juga perlu menguasai kemahiran- kemahiran lain yang juga penting seperti kepimpinan, membuat keputusan. pengurusan masa, kemahiran matematik yang asas dan berfikir secara kreatif dan kritis. Semua ini dapat dipelajari dan dikuasai jika anda aktif dalam gerak kerja kokurikulum di sekolah, seperti melibatkan diri dalam kepimpinan persatuan pertandingan sukan, bahas dan sebagainya.

Begitu juga dengan melibatkan diri dalam gerak kerja kepimpinan pelajar, seperti menyertai Lembaga Pengawas. Pembimbing Rakan Sebaya dan Pengawas Pusat Sumber. Manakala penglibatan pelajar dalam unit beruniform seperti Kadet Remaja Sekolah (KRS) pula mampu membina disiplin dan jati diri yang kental dan pembinaan diri sebegini merupakan satu aset penting dalam menghadapi dunia kerjaya.

Demikianlah beberapa kemahiran asas yang penting dikuasai oleh seseorang remaja sebelum menyertai dunia kerjaya yang serba mencabar. Selain kemahiran asas yang disebutkan, remaja juga perlu merebut usia remaja mereka dengan menguasai pengetahuan agama yang mampu membina jati diri dan pengetahuan teknologi maklumat yang juga amat diperlukan dewasa ini.

Esa bin Abd. Samad, Siswa, Julai 2000

Dikirim oleh Arba'yah-Selangor
PeNdiDik©2000-2002.Emel:pendidikmy@yahoo.com