bil.76/2002
----------------------------
Kewajaran
Pendidikan Di Kalangan Masyarakat Kita Masih Lemah
Oleh: Anuar
Ahmad
SUDAH dua minggu sekolah sesi
baru dibuka semula. Seperti sesi persekolahan sebelum ini
ibu bapalah orang yang paling sibuk membuat pesiapan persekolahan
anak-anak mereka. Segala persediaan daripada pakaian seragam,
peralatan pembelajaran dan buku-buku teks hinggala kepada
segala bentuk nasihat dan motivasi telah diberikan kepada
anak-anak.
Bagi ibu bapa yang mempunyai
anak-anak di tahap satu sekolah rendah, pengalaman minggu
pertama persekolahan sukar untuk dibayangkan dengan perkataan.
Selain sibuk memastikan anak-anak
kecil selesa di sekolah pada hari-hari pertama di sekolah,
ada ibu bapa yang terpaksa bercuti kerja selama beberapa hari
semata-mata untuk menghantar dan menunggu anak di pintu pagar
sekolah sewaktu pulang.
Para guru juga semakin sibuk
dengan perancangan dan pelaksanaan pengajaran, setelah berminggu
-minggu bercuti, guru kini berada di situasi yang menuntut
kesabaran ditahap yang paling maksima melayan kerenah anak-anak
kita.
Untuk itu, semua orang berhak
mendapat pujian di atas peranan mereka menjayakan pendidikan
anak-anak ini.
Lebih daripada itu, kita bersyukur
di atas keupayaan para guru pula harus kerana berjaya menarik
minat anak-anak untuk terus berada disekolah di minggu pertama
persekolahan tahun ini.
Pihak Kementeriaan Pendidikan
juga berhak mendapat pujian kerana berjaya memastikan segalanya
berjalan lancar.
Bagaimanapun pujian ini bukanlah
pengakhiran kepada pencapaian pendidikan yang boleh dibanggakan
sepenuhnya. Walaupun masyarakat hari ini sudah memahami peri
pentingnya pendidikan, faktor yang membina kewajaran pendidikan
ini masih boleh dipertingkatkan. Kewajaran pendidikan bermaksud
sejauh mana kita, para ibu bapa melihatkan pentingnya pendidikan
kepada anak-anak kita.
Tujuan pendidikan pada asasnya
terbahagi kepada tiga tahap utama iaitu pendidikan untuk pembangunan
individu, pendidikan untuk pembangunan masyarakat dan pendidikan
untuk perkembangan ilmu.
Kebanyakan ibu bapa secara
terang-terangan berpendapat bahawa kewajaran pendidikan bagi
tujuan pembangunan individu adalah matlamat akhir kenapa anak-anak
dihantar kesekolah untuk belajar.
Keputusan cemerlang
Mereka akan memastikan anak-anak
ke sekolah dan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang
kerana ini akan memastikan peluangnya mendapat tempat di universiti
dan seterus mendapat pekerjaan yang baik.
Spektrum pendidikan pada mereka
tidak lebih daripada sekadar untuk mendapat keputusan yang
cemerlang, berdoa agar anak-anak mereka cepat-cepat keluar
daripada sekolah dan berkerja.
Sekolah hanyalah sebagai satu
alat untuk menjadikan kehidupan anak-anak mereka lebih baik
daripada mereka. Selain itu terdapat juga golongan ibubapa
yang menghantar anak-anak ke sekolah dengan alasan kerana
melihat semua anak-anak orang lain ke sekolah, kepentingan
pendidikan kepada mereka ialah memastikan anak-anak berada
di sekolah sebagaimana anak-anak orang lain juga di sekolah.
Mereka tidak begitu menghiraukan
sejauh mana prestasi anak-anak mereka, cukuplah kalau anak-anak
mereka terus berada di sekolah sehingga bersedia untuk mencari
pendapatan sendiri walaupun dalam jumlah yang cukup makan.
Persoalannya mengapa kita bersungguh-sungguh menghantar anak-anak
ke sekolah?
Jika sekadar memastikan anak-anak
boleh membaca, menulis, mengira, menghafal dan lulus peperiksaan
rasanya pengorbanan yang kita lakukan dengan membina sekolah
dan segala kemudahan pendidikan yang melibatkan beribu-ribu
juta ringgit adalah terlalu besar jumlahnya.
Maka itu sebagai ibu bapa kita
semestilah bersedia untuk memikirkan secara lebih mendalam
tentang kewajaran pendidikan kepada anak-anak kita khususnya
untuk membina kewajaran pendidikan untuk pembangunan masyarakat
dan perkembangan ilmu.
Dengan menyekolahkan anak-anak,
anak-anak diharap akan membina keinsanan dan menjadikan mereka
sebahagian daripada ahli masyarakat.
Jika kewajaran untuk kepentingan
individu sahaja dimanafaat sepenuhnya, tidak hairanlah jika
hari ini kita melihat ramai yang terpelajar masih menerima
rasuah, melakukan penipuan, penyelewengan wang dan sebagainya.
Oleh itu bersekolah dan mendapat
pendidikan pada peringkat paling akhirnya adalah untuk membina
keinsanan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Sebagai manusia, kita dianugerahkan
akal oleh Allah S.W.T. tetapi itu sahaja tidak memadai. Akal
ini harus dijana agar membina potensi kemanusiaan kita.
Melalui pendidikan segala ilmu
yang dibentuk secara perlahan-lahan selama ratusan tahun dan
telah dikenal pasti berfaedah kepada manusia akan diajarkan
kepada anak-anak kita.
Misalnya ilmu matetatik disusun
secara lebih sistematik dengan mengambil kira psikologi kanak-kanak
dikenali sebagai mata pelajaran matematik. Begitu juga dengan
mata pelajaran sejarah, bahasa Melayu, Moral, Agama dan sebagainya.
Semua ini disepadukan di bawah satu kurikulum yang kita namakan
KBSR dan KBSM. Makna membina insan ialah dengan akal yang
dianugerahkan dan ilmu yang telah dibangunkan oleh peradadan
terdahulu, anak-anak kita diharap berkemampuan memilih mana
yang baik dan mana yang buruk di dalam kehidupannya.
Sebagai contoh di dalam mata
pelajaran agama Islam dan Moral, para pelajar diajarkan tentang
konsep kebersihan diri. Di bilik darjah anak-anak sekurang
kurangnya telahpun didedahkan kepada beberapa persoalan asas
kebersihan seperti apakah yang dimaksudkan dengan kebersihan
diri?
Bagaimana untuk menjaga kebersihan
diri? Dan apakahakibatnya jika kebersihan diri tidak dijaga?
Maklumat-maklumat ini dan juga
keupayaan akal akan membantu anak-anak menjadikan kebersihan
diri sebagai budaya hidupnya, tanpa perlu diberitahu secara
berulang kali oleh guru dan ibu bapa.
Menghormati orang lain
Banyak contoh-contoh lain yang
boleh diketengahkan seperti membudayaan diri menghormati orang
tua secara rasional, tidak terlalu mementingkan diri sendiri
dan mengamalkan budaya menyelesaikan maslah melalui perundingan
dan bukannya keganasan.
Ini kewajaran pendidikan yang
diharapkan difahami oleh para ibubapa dan guru.
Keupayaan pemikiran seperti
ini akan membina sikap dan budaya tinggi dikalangan anak-anak
kita apabila menereka meningkat remaja.
Bagaimanapun kewajaran tahap
ini seringakali dipinggirkan oleh kebanyakan daripada kita.
Apabila ibubapa membataskan pendidikan semata-mata untuk tujuan
peperiksaan, secara langsung mereka sebagai ahli masyarakat
yang dewasa telah menghakis keupayaan anak-anak untuk belajar
menjadi ahli di dalam masyarakat.
Oleh itu tidak hairanlah apabila
kita sering kali mendengar golongan masyarakat yang dewasa
menyatakan kekesalan tentang sikap biadap tutur kata anak-anak
muda terhadap orang tua, remaja yang lebih suka bergaul sesama
rakan sebaya dan tidak ingin berinteraksi dengan golongan
dewasa.
Anak-anak muda pula mementingkan
diri sendiri semasa menggunakan kemudahan awam, memandu dengan
sesuka hati tanpa memikirkan keselamatan orang lain, serta
pelbagai lagi masalah kelakuan dan sikap anak-anak muda yang
dilakukan terhadap orang lain di dalam masyarakatnya.
Kebiadapan ini bukanlah lahir
bersama sejak dari kandungan ibu, tetapi hasil proses pendidikan
samada disekolah atau pengalaman persekitaran yang diterima
oleh mereka. Ironinya kita lebih suka menyalahkan orang lain
terutama masyarakat dan budaya barat setiap kali isu-isu ini
didedahkan.
Kewajaran pendidikan untuk
perkembangan ilmu pula bermaksud apabila anak-anak kita diberi
peluang untuk menguasai sesuatu ilmu maka kelak beliau akan
menjadi pewaris kepada ilmu tersebut.
Sebagai contoh, apabila mereka
belajar ilmu mempertahankan diri, ilmu kesenian, tarian, nyanyian
atau ilmu sains teknologi, maka kelak merekalah yang akan
mendukungi perkembangan ilmu tersebut. Melalui pendidikan,
sesuatu ilmu itu dapat diwarisi dan dikembangkan oleh anak-anak
kita pada masa hadapan. Kewajaran pendidikan untuk tujuan
perkembangan ilmu walaupun dipersetujui umum sebagai sangat
penting, tetapi kurang ditekankan di dalam sistem pendidikan
kita.
Dengan kata lain kewajaran
ini masih rendah di kalangan para pembina kurikulum, pendidik
dan ibu bapa.
Mereka biasanya akan menghalakan
persoalan sebegini kepada universiti sebagai tempat yang dikatakan
paling sessuai untuk memartabatkan kewajaran bentuk ini.
Andaian ini adalah meleset
dan mesti difikirkan kembali.
Sekolah adalah tempat di mana
minat dan kecenderungan para pelajar dibina di dalam bidang-bidang
tertentu.
Anak-anak yang berminat dengan
sains dan inovasi, perkomputeran, seni dan sastera, hal-hal
kemanusiaan, politik dan kepimpinan serta perubatan mesti
digilap dan dikembangkan bukan sahaja oleh guru di sekolah
tetapi juga oleh ibu bapa di rumah.
Oleh itu kesedaran ini memerlukan
semua pihak meningkatkan keupayaan mereka di dalam melihat
kewajaran pendidikan yang lebih tinggi iaitu bagi perkembangan
ilmu untuk generasi masa depan.
Selain memahami tiga tahap
kewajaran pendidikan masakini, apa yang lebih penting ialah
ibu bapa dan pendidikharus mewajarkan pendidikan ini di dalam
pemikiran dan tingkalaku mereka.
Ini cabaran yang lebih besar
dan tidak ramai yang berjaya mengamalkannya.
Mewajarkan pendidikan bermaksud
menjadikan pendidikan itu sebagai kehidupan sehariannya. Sebagai
contih untuk membina budaya pendidikan yang tinggi, para ibu
bapa harus membina budaya membaca di dalam dirinya. Budaya
membaca bukan lagi menjadi aktiviti masa lapang tetapi sebagai
salah satu keutamaan di dalam aktiviti hariannya sebagai beribadah,
makan, mandi, dan tidur.
Para ibu bapa juga harus bersedia
menjadikan pembelian bahan bacaan sebagai satu keutamaan di
dalam perancangan kewangan bulanan keluarga.
Bahan bacaan terpilih dan berharga
murah seperti surat khabar dan majalah berkaitan hal kemasyarakatan
akan membina kesedaran tentang penting pendidikan kepada anak-anak
bukan hanya sebagai maksud peperiksaan tetapi melampui lebih
daripada itu. Beberapa pengkaji barat membuat kesimpulan bahawa
untuk mewajarkan pendidikan yang sebenar, ibu bapa itu biasanya
datang daripada golongan kelas menengah. Gologan kelas pekerja
biasanya tidak begitu mewajarkan pendidikan untuk tujuan -tujuan
yang lebih tinggi selain daripada untuk tujuan peperiksaan
semata-mata. Para pengkaji ini menggunakan kenyataan ini untuk
membuktikan mengapa pendidikan tidak berkembang pesat di negara-negara
membangun dan mundur kerana negara sebegini mempunyai kelompok
kelas menegah yang kecil. Cadangan mereka ialah selagi mana
sesebuah negara tidak mempunyai kelompok golongan menengah
yang ramai, maka sektor pendidikan akan kurang berjaya membentuk
kewajaran pendidikan yang tinggi, cuma sekadar kilang untuk
menghasilkan para pekerja yang mahir dan separuh mahir.
Inovasi baru
Oleh itu penilaian semula pendidikan
tidak sahaja bermaksud menyuntik inovasi baru di dalam pendidikan
negara tetapi juga memastikan mana-mana asas-asas pendidikan
yang tertinggal dibelakang diperkasakan kembali agar kita
tidak menghadapi isu yang sama berulang kali. Walaupun kita
seringkali membuat kemasan terhadap sistem pendidikan samada
secara kecil-kecilan misalnya menyemak semula kurikulum matapelajaran
tertentu atau kemasan secara besar-besaran seperti memperkenalkan
program P12 dan sekolah bistari, kita sebenar menghadapi satu
masalah asas iaitu kekurangan pemikir pendidikan yang unggul,
bukan sekadar menguasai secara utuh bidang tertentu di dalam
pendidikan seperti psikologi, sosiologi, kurikulum dan sebagainya,
tetapi yang lebih penting memahami sepenuhnya aspirasi masyarakat
negara ini tentang masa depan mereka. Ini satu keperluan dan
pihak berkaitan perlu merancang untuk memperbanyakkan lagi
pemikir pendidikan yang unggul di negara ini.
Anuar Ahmad ialah pensyarah
di dalam bidang sosiologi pendidikan di Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
|