bil.77/2002
----------------------------

Baiki Kelemahan Sekolah Kebangsaan, Contohi Kecemerlangan Sekolah Cina

Oleh: KUZAIMAH IDRIS

KUALA LUMPUR _ Pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) baru-baru ini bahawa terdapat 60,000 pelajar Melayu mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina di seluruh negara, telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan masyarakat.

Timbul pertanyaan mengapa ibu bapa Melayu murid Melayu memilih sekolah aliran Cina dan bukannya sekolah kebangsaan yang bahasa pengantarnya adalah bahasa ibunda anak mereka?.

Adakah sekolah aliran Cina mempunyai kelebihan tersendiri yang mendorong ibu bapa murid Melayu menghantar anak mereka ke sekolah tersebut?.

Mudah-mudahan tindakan memilih sekolah aliran Cina ini bukan merupakan satu trend dan petanda terhakisnya keyakinan terhadap sekolah kebangsaan tetapi cuma pilihan ibu bapa berfikiran liberal dan tidak ada kaitan langsung dengan keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.

Apapun sebabnya, seorang tokoh pendidikan berpendapat sistem pendidikan nasional yang masih ditakuk lama, perlu diubah supaya pelajar Melayu tidak meminggirkan sekolah kebangsaan.

Profesor Tan Sri Dr Awang Had Salleh berkata sistem pendidikan nasional yang diamalkan di sekolah kebangsaan tidak banyak berubah sejak 20 tahun dulu.

Dalam temubual khas dengan Bernama, Dr Awang Had berkata sekolah kebangsaan masih belum dapat menangani beberapa masalah yang dihadapi dengan berkesan.

Ini, katanya, termasuk masalah kekurangan guru yang berkemahiran dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Sekarang ini apa yang kita lihat, lagu yang sama dinyanyikan, ertinya di zaman kita muda-muda dulu pun kita lihat kekurangan itu sampai sekarang pun masih belum diatasi," katanya.

Dr Awang Had berkata ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah aliran Cina yakin sistem pembelajaran di sekolah Cina dapat membantu meningkatkan tahap kecemerlangan anak-anak mereka.

Katanya sistem dan budaya persekolahan di sekolah Cina yang lebih teratur dan mengikut perkembangan semasa dikatakan antara sebab kenapa sesetengah ibu bapa Melayu lebih yakin menghantar anak mereka ke sekolah aliran itu.

Menurut beliau guru-guru di sekolah jenis kebangsaan Cina juga lebih kreatif dalam pengajaran mereka.

Sebaliknya, tambah beliau sekolah kebangsaan pula lebih bergantung kepada sukatan pelajaran dan pekeliling daripada Kementerian Pendidikan semata-mata.

Seorang bapa yang ditemui, Dr Mohamed Daud berkata keputusannya menghantar keenam-enam anaknya ke sekolah Cina merupakan keputusan yang sukar tetapi yang terbaik pernah dilakukannya.

Ini kerana kesemua anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

Anak sulungnya Nik Nur Eliza yang mendapat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran MaLaysia (SPM) akan ke Britain bulan September ini untuk melanjutkan pelajarannya setelah mendapat tawaran melalui British Top University Program.

Anak-anaknya yang lain yang berumur antara 10 dan 18 tahun, turut mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM dengan pencapaian 6A hingga 9A.

Dr Mohamed yang bertugas sebagai Pengarah Unit Perundingan Pusat Perniagaan Universiti Putra Malaysia, berkata bahasa Mandarin merupakan satu daripada bahasa antarabangsa dan kebolehan menguasainya memberi manfaat besar.

Beliau yakin anak-anaknya akan dapat bersaing dengan lebih baik terutama dalam menghadapi cabaran global.

"Kalau kita belajar bahasa Cina (Mandarin) kemudian kita tahu bahasa Inggeris, kita secara ringkasnya dapat berkomunikasi dengan sekurang-kurangnya 80 peratus orang dalam dunia ni," katanya.

Berdasarkan pengamatannya, beliau mendapati anak-anaknya sering diberi kerja rumah yang banyak sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti lain yang tidak berfaedah.

"Boleh kata pagi sampai petang belajar dengan tuisyen dan kerja rumah," katanya.

Selain itu, menurut Dr Mohamed, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di sekolah Cina biasanya merancang aktiviti mereka setiap awal tahun dengan mengutip derma bagi pembangunan sekolah dan membeli kelengkapan lain termasuk komputer.

Seorang lagi anaknya, Nik Mohd Mohaz pula berkata seseorang pelajar dapat mmembina asas Sains dan Matematik yang kukuh apabila mendapat pendidikan di sekolah beraliran Cina.

Katanya ini kerana, di sekolah Cina, matapelajaran Sains dan Matematik diberi lebih penekanan bagi memastikan kecemerlangan pelajarnya.

Nik Mohd Mohaz berkata beliau lebih mementingkan disiplin yang merupakan kelebihan sekolah aliran Cina berbanding sekolah kebangsaan.

Beliau yang akan menduduki SPM tahun ini merupakan pelajar cemerlang berdasarkan pencapaian 6A dalam peperiksaan UPSR dan 9A dalam PMR.

"Saya rasa adalah baik kita belajar di sekolah Cina sebab pelajar di sana lebih serius dan dedikasi, ia akan ada lebih banyak persaingan.

"Saya harap lebih banyak ibu bapa Melayu akan hantar anak mereka ke sekolah Cina sebab saya rasa memang ada banyak kebaikan," katanya.

Seorang lagi anak Dr Mohamed yang sempat ditemubual, Nik Nur Sukma, 16, mempelajari Mandarin sejak di sekolah tadika.

Beliau berkata guru-guru di sekolahnya banyak membawa bahan pembelajaran luar selain daripada buku teks.

Katanya keratan akhbar terkini dan buku-buku latihan menjadi bahan pembelajaran sampingan yang amat berguna membentuk minda pelajar.

Kaunselor dan guru Bahasa Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kembangan Chua Yah In pula berpendapat pembelajaran di sekolah Cina lebih sistematik dan mementingkan kecemerlangan akademik.

Chua berkata ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah Cina kerana mahu mereka menguasai lebih daripada satu bahasa.

"Ibu bapa bangsa Melayu rasakan anak dia kalau dapat menguasai lebih satu bahasa baginya adalah lebih baik untuk masuk ke dunia pekerjaan nanti dan juga sebagai satu cabaran," katanya.

Chua yang mengajar Mandarin di sekolah itu berkata pelajar Melayu di sekolahnya tidak mempunyai masalah daripada segi pertuturan dan penulisan serta mampu menguasai bahasa itu dengan baik.

Ini kerana pelajar Melayu yang mengambil kelas bahasa Mandarin di sekolah itu mempunyai pendedahan sejak dari sekolah rendah lagi.

"Prestasi dia boleh dikatakan setaraf dengan pelajar Cina atau lebih advanced, lebih cemerlang lagi," katanya.

Jika sekalipun tidak ada yang kurang dengan sekolah kebangsaan, kelebihan yang terdapat di sekolah aliran Cina perlu dicontohi dan dilaksanakan di sekolah kebangsaan, untuk menjadikannnya lebih menarik dan mantap.

Sekiranya terlalu banyak pelajar lebih berminat mendapat pendidikan di sekolah Cina, peranan sekolah kebangsaan sebagai ejen perpaduan di negara ini mungkin tidak lagi relevan.

Petikan BERNAMA
PeNdiDik©2000-2002.Emel:pendidikmy@yahoo.com