bil.78/2002
----------------------------
Sanjung
SJKC Berpada-Pada
Oleh: Zalina
Yahaya
Orang Melayu mempercayai bahawa
keturunan Cina pandai berniaga, begitu juga kebanyakan daripada
mereka juga kuat berpegang pada anggapan bahawa sistem pendidikan
di sekolah Cina adalah yang terbaik.
Sekolah Cina mempunyai guru
yang berdedikasi dan berdisiplin tinggi.
Murid yang dilahirkan melalui
sistem pendidikan sekolah Cina jauh lebih baik daripada sekolah
kebangsaan.
Kita juga yakin bahawa pencapaian
mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains di sekolah
Cina, jauh lebih baik daripada sekolah kebangsaan biasa.
Murid-murid yang mendapat pendidikan
di sekolah Cina mampu berinteraksi dalam tiga bahasa - bahasa
Melayu, Inggeris dan Cina.
Pengetua dan guru besar di
sekolah Cina dikatakan mempunyai ramuan tersendiri bagaimana
melahirkan pelajar cemerlang serta bijak mengurus dan mentadbir
sekolah.
Segala kemudahan pendidikan
lengkap di sekolah Cina walaupun bantuan yang diterima daripada
kerajaan sangat minimum.
Sekolah Cina mampu membina
dewan sekolah yang besar serta cantik dan kemudiannya boleh
dijanakan pendapatan melalui penyewaan kepada masyarakat setempat
untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Sekolah Cina juga mempunyai
lembaga pengelola sekolah dan ibu bapa yang sanggup melakukan
apa sahaja demi pendidikan anak-anak.
Pokoknya, kebanyakan kita yakin
dan percaya, semua yang dimiliki sekolah Cina adalah yang
terbaik dan sempurna.
Maka tidak hairanlah jika ada
yang berseloroh, jika kita mahu membuat perbandingan tahap
pendidikan sekolah Cina dan sekolah kebangsaan, tidak perlu
kita menyelak buku laporan atau buku panduan mengajar gurunya.
Cukup sekadar melihat bahagian
hadapan dan dewan sekolah.
Walau di ceruk mana sekalipun
sekolah Cina wujud, sekolah tetap menjadi keutamaan masyarakat
Cina setempat.
Tetapi tidak seperti kebanyakan
sekolah kebangsaan lain yang turut berbangga dengan pintu
gerbangnya, gahnya pintu pagar dan dewan sekolah Cina ini
juga turut melambangkan gahnya pencapaian prestasi pelajar
sekolah-sekolah berkenaan.
Dengan segala sanjungan positif
ini, maka tidak hairanlah jika ada antara kita yang penuh
yakin bahawa jika diberi pilihan dan mempunyai peluang, ibu
bapa Melayu akan menghantar semua anak-anak mereka ke sekolah
Cina untuk mendapat manfaat daripada kelebihan sekolah Cina.
Apabila Kementerian Pendidikan
mendedahkan hanya 24,000 sahaja murid Melayu belajar di sekolah
Cina daripada angka 60,000 yang diberikan oleh Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP), ramai yang sangsi dan tidak mahu
percaya dengan data tersebut.
Terlalu taksub dengan sekolah
Cina, ada antara kita yang begitu yakin bahawa jumlah murid
sekolah Cina yang tidak begitu banyak itu adalah kerana tidak
banyak sekolah Cina yang ada di negara ini.
Ini pastinya menyekat peluang
anak-anak Melayu ke sana.
Terdapat 1,285 buah sekolah
Cina sahaja di negara ini berbanding 5,466 buah sekolah kebangsaan.
Kata mereka, jika Menteri Pendidikan
benar-benar menggunakan kuasanya untuk membenarkan lebih banyak
sekolah Cina dibuka, lebih ramai anak-anak Melayu akan ke
sana daripada ke sekolah kebangsaan yang dilihat serba kekurangan.
Tanpa disedari, kepercayaan
dan keyakinan masyarakat Melayu sendiri sebenarnya memberi
kekuatan kepada masyarakat Cina untuk mempertahankan dan memperluaskan
bilangan sekolah Cina di negara ini.
Maka tidak hairanlah ada beberapa
buah sekolah Cina yang diletakkan di bawah kategori sekolah
kurang murid, lebih rela meneruskan hari-hari persekolahan
yang sunyi dengan dua orang pelajar serta dua orang guru daripada
bergabung dengan sekolah kebangsaan atau diletakkan di bawah
bumbung sekolah wawasan.
Walaupun sudah diberi jaminan
bahawa hak dan identiti mereka di sekolah wawasan tidak akan
tergugat, mereka rela mempertahankan sekolah yang menggunakan
bahasa ibunda mereka sendiri.
Kebimbangan sekolah mereka
akan bertukar menjadi sekolah kebangsaan walaupun setelah
kuasa Menteri Pendidikan untuk menukar sekolah Cina kepada
sekolah kebangsaan ditarik balik di bawah Akta Pendidikan
1996, tidak pernah padam.
Malah isu sekolah dan hak pendidikan
keturunan Cina sentiasa disimpan sebagai `bara' yang akan
ditiup menjadi api apabila diperlukan.
Dalam pilihan raya kecil Indera
Kayangan baru-baru ini, pejabat Perdana Menteri di Putra Jaya
menerima memorandum supaya menukarkan sekolah wawasan di Subang
Jaya sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Sehari sebelum hari pembuangan
undi, pejabat Menteri Pendidikan pula menerima memorandum
daripada DAP yang mahukan Kementerian Pendidikan membuka SJKC
baru sesuai dengan keperluan dan permintaan penduduk setempat.
Isu perpindahan SJKC Damansara
yang sehingga kini masih belum selesai juga terus-terusan
dibangkitkan.
Begitulah bagaimana sanjungan
dan keyakinan penuh kebanyakan daripada orang Melayu terhadap
sekolah Cina menjadikan kita memandang sebelah mata kepada
sekolah kebangsaan yang selama ini sudah berjaya melahirkan
pemimpin-pemimpin yang ada sekarang.
Daripada bersatu tenaga dan
usaha untuk membaiki kelemahan-kelemahan sekolah kebangsaan,
kebanyakan kita mengambil jalan mudah untuk berpaling arah
kepada sekolah Cina.
Kita sekadar menyanjungi kelebihan
sekolah-sekolah Cina dan merendahkan apa yang dimiliki oleh
sekolah kebangsaan tanpa mengambil semangat masyarakat dan
kecintaan masyarakat Cina terhadap pendidikan.
Seperti kata tokoh akademik
terkemuka, Tan Sri Ainuddin Wahid, masyarakat Melayu masih
jauh daripada budaya pentingkan pendidikan.
``Budaya masyarakat Cina, kalau
ibu bapa tidak mendidik anak-anaknya dengan betul, dia akan
dipulaukan oleh masyarakat,'' katanya.
Dalam masyarakat Melayu, kita
akan dipulaukan kerana perbezaan pandangan politik.
Mendidik anak-anak adalah tanggungjawab
ibu bapa serta keluarga dan bukan masyarakat keseluruhan.
Ketika guru-guru di sekolah
kebangsaan merungut dengan kerenah ibu bapa di sekolah kebangsaan
yang begitu liat membayar yuran tahunan persatuan ibu bapa
dan guru (PIBG) dan yuran komputer, PIBG sekolah Cina giat
dengan pelbagai aktiviti mengumpul duit untuk melengkapkan
makmal-makmal komputer di sekolah.
Ketika murid-murid di sekolah
Cina sibuk mendalami bidang teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT), Kementerian Pendidikan masih bergelut dan mengejar
kontraktor-kontraktor bumiputera yang gagal menyiapkan projek
makmal komputer masing-masing.
Ini adalah antara isu-isu dan
kelemahan ketara yang sehingga kini membelenggu pendidikan
di sekolah kebangsaan, selain isu-isu asas lain yang melibatkan
pengajaran dan pembelajaran.
Kita perlu baiki sekolah kebangsaan
terutama di luar bandar.
Lebih penting lagi masyarakat
Melayu terutamanya perlu mengubah persepsinya terhadap pendidikan.
Jadikan pendidikan sebagai
darah daging.
Kita masih mempunyai banyak
ruang dan harapan.
Deklarasi Putra yang dibuat
sempena Kongres Pendidikan Melayu yang dipengerusikan oleh
Tengku Razaleigh Hamzah tahun lalu, diharap tidak hanya tinggal
deklarasi semata-mata.
Tiga deklarasi melibatkan penyelidikan
pendidikan, pembangunan Melayu serta Tabung Pendidikan dan
Pembangunan Melayu sehingga kini harus sudah mempunyai jentera
penggeraknya.
Tabung Pendidikan dan Pembangunan
Melayu terutamanya perlu digerakkan segera supaya kita dapat
membantu sumbangan korporat-korporat Melayu dapat disalurkan
secara sistematik seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat
Cina dalam membiayai dan memajukan pendidikan masyarakat mereka.
Seperti kata Ainuddin, bukan
niat kita mahu menzalimi hak orang lain, tetapi yang penting
ialah kita perlu benar-benar berusaha untuk memastikan hak-hak
kita kekal dan tidak diambil oleh orang lain
|