bil.79/2002
----------------------------

Aspek Disiplin Penentu Kejayaan Pelajar di Sekolah

Oleh Khairina Vasin

Kejayaan sesebuah sekolah sama ada dalam bidang akademik atau kokurikulum bergantung kepada pelbagai faktor. Disiplin di kenal pasti antara aspek penting dalam menentukan kejayaan itu, lebih-lebih lagi untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan di semua peringkat.

Justeru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 3, Bandar Kinrara, Petaling Jaya, di bawah pengurusan pengetuanya, Encik Samingan Simon, sentiasa menerapkan amalan disiplin sihat dalam semua aspek kepada pelajarnya.

"Sekolah bukan sahaja berfungsi sebagai badan pengajar semata-mata, tetapi ia mempunyai tujuan mendidik yang lebih luas. Selain pendedahan pengetahuan dan intelektual kepada pelajar, aspek disiplin merangkumi moral dan sosial pelajar juga diberi penekanan.

"Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi, malah turut memenuhi ciri-ciri lain seperti berdisiplin tinggi, merniliki daya saing, mengamalkan suruhan agama dan tidak mudah menyerah kalah."

Katanya, masalah disiplin pelajar adalah isu lapuk yang semakin menular pada masa kini. Pelajar ponteng sekolah, merokok, peras ugut, penggunaan dadah adalah antara masalah disiplin serius yang sering diperkatakan. Malah, lebih membimbangkan ia semakin menular ke kawasan luar bandar yang jarang dihimpit masalah sedemikian.

Oleh itu, katanya dalam membentuk disiplin pelajar, ia memerlukan kesungguhan dan kekuatan semangat daripada semua pihak termasuk ibu bapa. Pembentukan disiplin hendaklah bermula dari rumah.

"Mendidik pelajar adalah umpama mendidik anak sendiri. Ibu bapa dan guru sama-sama memikul tanggungjawab ini apatah lagi sesebuah sekolah sering kali diukur dengan faktor kecemerlangan yang bertitik tolak daripada faktor disiplin pelajarnya.

"Jika disiplin sesebuah sekolah itu baik bermakna sekolah tersebut juga merupakan sebuah sekolah yang cemerlang sama ada dari segi akademik mahupun kegiatan kokukulum," katanya.

Bagaimanapun, masalah disiplin di kalangan pelajar merupakan masalah yang paling sukar dibanteras berbanding di kalangan guru atau pekerja. Ini adalah kerana pelajar merupakan golongan yang paling mudah terpengaruh dengan alam sekitar.

Justeru, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Murid yang dianggotai oleh Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan guru disiplin adalah langkah terbaik sekolah dalam memastikan pelaksanaan disiplin dan tata cara pelajar lebih teratur dan berkesan.

"Pemantauan disiplin pelajar dilakukan berteraskan buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan kepada semua pengetua dan guru besar di seluruh negara," katanya.

Katanya, etika dan panduan disiplin pelajar merangkumi pelbagai aspek, antaranya etika berpakaian, tingkah laku, sahsiah diri, cara berkomunikasi dan sebagainya.

Selain itu, katanya, peranan guru kaunseling tidak kurang pentingnya sebagai penasihat mahupun tempat berkongsi masalah terutama kepada pelajar yang berhadapan dengan masalah disiplin selain dibantu oleh pengawas sekolah yang dilantik pihak sekolah untuk menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Petikan cikgunet
PeNdiDik©2000-2002.Emel:pendidikmy@yahoo.com