bil.80/2002
----------------------------

Membawa Bekal Jimatkan Perbelanjaan Murid

Otak yang cerdas lahir daripada badan yang sihat. Oleh itu, setiap murid perlu menjaga pemakanan masing-masing supaya seimbang dan mempunyai segala khasiat yang diperlukan untuk pertumbuhan minda dan fizikal mereka.
Membawa bekal merupakan satu langkah yang sangat sesuai untuk murid-murid memastikan keseimbangan dan kebersihan pemakanan mereka berbanding makan makanan yang disediakan di kantin sekolah.
Malahan, membawa bekal juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian murid-murid dan duit saku yang diberikan oleh ibu bapa boleh digunakan membeli keperluan sekolah atau menyimpannya sahaja.
Selain itu, membawa bekal juga merupakan langkah bijak jika makanan yang dijual di kantin sekolah mahal atau tidak menepati selera murid-murid.
Budaya bertukar-tukar makanan ketika makan pada waktu rehat juga boleh mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persahabatan antara murid.
Guru Penolong Kanan I, Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Puan Lee Swee Lin, berkata dengan membawa bekal murid-murid juga tidak perlu membazir masa berbaris terlalu lama atau bersesak-sesak untuk mendapatkan makanan di kantin sekolah.
Katanya, kasih sayang dan perhatian ibu pula akan lebih terserlah dengan menyediakan bekal memandangkan kebiasaannya anak-anak lebih menggemari masakan ibu dan ibu pula lebih mengerti selera dan kehendak anak masing-masing.
“Bagaimanapun, ibu perlu memastikan makanan yang disediakan seimbang dan sesuai. Tiada ertinya jika setiap hari anak-anak hanya dibekalkan biskut atau nasi lemak yang dibeli di tepi jalan,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu juga patut memikirkan hidangan yang berbeza setiap hari supaya anak-anak tidak jemu. Jika roti sekalipun, boleh dipelbagaikan hidangannya dengan menyapu krim, jem atau mentega yang berlainan.
Selain itu, ibu juga perlu memastikan makanan yang dibekalkan merupakan makanan yang sesuai, ringan, berkhasiat dan paling penting tidak cepat basi.
“Ibu yang sibuk bekerja juga masih boleh menyediakan bekalan yang berkhasiat seperti susu segar, buah-buahan atau roti yang disapukan krim dan sebagainya,” katanya
Kiriman buksha@hehe.com
PeNdiDik©2000-2002.Emel:pendidikmy@yahoo.com