Gesaan Bagi
Sistem Pendidikan Disusun Semula
Oleh: Norhayati
Muda
KUALA LUMPUR - Sistem pendidikan
Malaysia sekali lagi dipertikaikan bagi menentukan sama
ada terdapat keperluan untuk disusun semula dengan golongan
akademik menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu.
Naib Canselor Universiti
Malaya Prof Datuk Dr Anuar Zaini, misalnya membuat kenyataan
berani dua minggu lepas, menyatakan mahasiswa tempatan kurang
berpengetahuan.
Ini telah menimbulkan persoalan
mengenai sama ada sistem itu mampu mengeluarkan pekerja
yang berpengetahuan dalam memenuhi pelbagai cabaran terutama
dalam era globalisasi.
Setiausaha Agung Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Datuk N. Siva Subramaniam
mengakui masalah itu dengan menyatakan ramai pelajar di
pelbagai peringkat tidak suka membaca.
Oleh itu mereka gagal memperolehi
lebih banyak maklumat berguna kecuali apa yang diajar oleh
guru, katanya.
"Pelajar perlu sedar. Ketika
negara kita memasuki globalisasi persaingan semakin sengit,
jadi kita perlu mampu mengeluarkan pelajar yang mempunyai
pengetahuan luas," katanya.
Siva berkata sudah tiba masanya
bagi pihak berkuasa relevan untuk menyemak semula sistem
sedia ada bagi menentukan sama ada ia memenuhi keperluan
bagi pekerja berpengetahuan.
"Kami perlu susun semula
sistem kita supaya kita tidak tewas kepada negara-negara
lain," katanya.
Seorang ahli akademik Puan
Sri Dr Fatimah Hamidon berkongsi pendapat Siva dengan menyatakan
bahawa sistem itu perlu diperbaiki bagi memberikan lebih
banyak cabaran kepada pelajar.
Beliau menyatakan bahawa
sudah menjadi satu budaya kepada pelajar hari ini untuk
belajar hanya bagi tujuan untuk lulus peperiksaan.
Beliau berkata oleh yang
demikian, mereka akan hanya membaca bahan-bahan yang diperlukan
bagi kursus mereka, katanya.
"Anda perlu mewujudkan situasi
yang akan memberi motivasi kepada mereka. Jika tiada sebarang
motivasi kenapa mereka perlu berusaha lebih," kata Dr. Fatimah
yang juga merupakan penasihat kepada beberapa institusi
pendidikan swasta.
Beliau berkata terdapat trend
di kalangan penceramah untuk memberikan nota kepada pelajar
dan ini akan membawa kepada kurang pengetahuan.
Ditanya sama ada sikap sedemikian
akan mempengaruhi pelajar apabila mereka menjadi sebahagian
tenaga kerja, Dr. Fatimah berkata ia akan bergantung kepada
diri pelajar itu sendiri.
"Sesetengahnya mahu berjaya
dalam kerjaya mereka manakala yang lainnya hanya mahu cari
kerja dan kemudiannya membina keluarga," katanya.
Pengarah Eksekutif Persekutuan
Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata sejumlah
siswazah tempatan yang baru menamatkan pengajian sememangnya
kekurangan pelbagai kemahiran.
"Terdapat kes yang mengambil
masa dua tahun sebelum mereka benar-benar dapat menyumbang
kepada syarikat. Bayangkan....majikan yang mengambil mereka
bekerja terpaksa menunggu dua tahun sebelum mereka dapat
melihat hasilnya," katanya.
Selain daripada tidak berupaya
menjadi inovatif dalam kerja mereka, kebanyakan siswazah
ini gagal berkomunikasi dengan baik terutama dalam bahasa
Inggeris, katanya.
"Majikan tidak mempunyai
masa untuk mengajar mereka apa yang patut dibuat. Kita beranggapan
mereka tahu membuatnya."
"Bagi syarikat untuk menarik
pelabur, syarikat itu perlu ada, antara lain, pekerja yang
berpengetahuan," katanya.
Shamsuddin berkata semasa
ekonomi baik, majikan bersedia untuk mengambil siswazah
yang baru lulus dan melatih mereka.
"Tetapi dengan situasi ekonomi
sekarang, syarikat-syarikat tidak dapat berbuat demikian
kerana kosnya tinggi untuk melatih pekerja baru," katanya.
Beliau bersetuju bahawa sesuatu
perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem pendidikan sekarang
"yang mempunyai tempoh pembelajaran yang lama" kerana ia
juga dapat memenuhi keperluan majikan.
"Jika kita meneruskan sistem
sedia ada, pada pendapat saya ia merupakan satu pembaziran
kepada sumber negara," katanya.