Menjaga
Buku Teks
Oleh: Noor
Azlina Zainudin
Sesi
persekolahan tahun ini sudah pun bermula sejak seminggu
lalu. Jadi mulai minggu ini, pasti proses pembelajaran sudah
pun bermula di sekolah masing-masing.
Antara bahan pembelajaran yang paling penting di sekolah
ialah buku teks. Buku teks dianggap sebagai sumber rasmi
pembelajaran kerana berdasarkan kandungannya proses pembelajaran
dalam kelas dijalankan.
Buku teks mengandungi pelbagai maklumat dan ilmu pengetahuan
baru yang perlu diketahui oleh murid. Seandainya buku itu
tidak ada atau rosak, pasti murid akan menghadapi masalah
apabila proses pengajaran dan pembelajaran bermula.
Murid yang layak menerima buku teks di bawah Skim Pinjaman
Buku Teks (SPBT) sebahagiannya sudah menerima buku tersebut
sebelum cuti persekolahan akhir tahun lalu, manakala sebahagian
lagi minggu lalu.
Pada tahun ini, seramai 2.52 juta orang murid sekolah rendah
menerima buku
teks di bawah SPBT.
SPBT diberikan kepada murid yang ibu bapa mereka berpendapatan
RM1 500 ke bawah dan murid sekolah jenis kebangsaan yang
ibu bapanya berpendapatan RM1 000 ke bawah.
Bagi mereka yang berkemampuan, buku teks perlu dibeli sendiri.
Bagaimanapun, sama ada membeli sendiri atau diperoleh menerusi
SPBT, murid sewajarnya menjaga keselamatan buku teks supaya
tidak rosak dan tahan lebih lama.
Penjagaan buku teks supaya sentiasa dalam keadaan baik perlu.
Ini kerana buku teks yang sama akan terus digunakan dari
tahun demi tahun sehinggalah kandungannya disemak semula.
Sehubungan itu, murid sepatutnya mengamalkan sikap cintakan
harta benda, termasuk buku teks, sama ada buku itu diperoleh
dengan cara membeli sendiri atau pinjaman.
Antara cara yang boleh dilakukan ialah membalut buku itu
supaya kulit dan kandungannya tidak rosak. Jika dahulu,
kebanyakan murid membalut buku teks menggunakan bahan yang
murah atau kertas terpakai seperti kertas minyak, akhbar,
majalah lama, pembalut hadiah dan sebagainya.
Selain itu, murid juga boleh menggunakan plastik lutsinar
untuk dijadikan pembalut. Tambahan pula, kini terdapat pembalut
buku plastik yang telah siap berpelekat. Ini memudahkan
kerja-kerja membalut buku.
Kepada murid yang menerima buku teks di bawah SPBT, mereka
seharusnya berterima kasih mendapat bantuan itu. Sebagai
tanda terima kasih, buku teks itu perlu dijaga supaya ia
sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan oleh
murid lain pada tahun berikutnya.
Begitu juga dengan murid yang membeli sendiri buku teks.
Langkah yang sama perlu dilakukan sebagai tanda berterima
kasih kepada ibu bapa yang telah mengeluarkan wang yang
banyak untuk membeli buku itu.
Jika murid menjaga buku teks itu dengan baik, pasti ibu
bapa tidak perlu membeli buku yang sama untuk kegunaan anak
pada tahun berikutnya, melainkan kandungan sesuatu buku
itu sudah disemak semula.
Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Lembah Jaya, Puteri
Siti Nurnaquia Mohamad Fadzil, berpendapat dengan membalutnya,
buku teks akan tahan lebih lama dan tidak mudah koyak jika
terkena air.