Tekanan
Kerja...NUTP Cadang Kaunselor Guru Setiap Daerah
Oleh: Marzita
Abdullah
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan menempatkan
seorang kaunselor guru di setiap daerah di negara ini.
Ini bertujuan memastikan
setiap kaunselor `turun padang' bagi meneliti masalah-masalah
yang sering dihadapi oleh guru-guru terutama masalah tekanan
kerja.
Presidennya Tengku Habsah
Tengku Petra berkata, beliau bimbang jika tiada pihak yang
mengambil peduli masalah tersebut, guru-guru terbabit akan
menghadapi tekanan yang lebih besar seperti masalah mental.
Menurut beliau, pihaknya
sering menerima aduan daripada guru-guru yang menghadapi
tekanan kerja seperti masalah pertukaran tempat kerja.
``Kadang-kadang kita menerima
panggilan telefon pada tengah malam daripada guru-guru yang
mengadu tidak tahan dengan bebanan kerja, pertukaran kerja,
masalah kewangan dan keluarga,'' katanya.
Beliau menegaskan walaupun
tiada perangkaan yang dibuat dan bukti mengenai guru yang
menghadapi masalah tersebut tetapi ia memang wujud.
``Perangkaan memang tidak
ada sebab guru besar ataupun pengetua tidak akan membuat
laporan jika guru-guru mereka menghadapi masalah tersebut,''
katanya.
Ini kerana katanya, mereka
(guru besar dan pengetua) tidak mahu memperbesar-besarkan
perkara tersebut yang disifatkan akan memalukan guru-guru
yang terbabit.
Justeru itu, beliau menegaskan
perlunya seorang kaunselor di setiap daerah yang akan melihat
sendiri masalah yang dihadapi oleh guru-guru.
Tengku Habsah berkata, walaupun
tekanan kerja seorang guru dianggap oleh sesetengah pihak
sebagai perkara remeh temeh namun ia boleh menyebabkan gangguan
mental kepada guru tersebut.
Beliau mengambil contoh kejadian
seorang guru di Bukit Semanggol, Perak yang kini menghadapi
masalah mental yang serius berpunca daripada tekanan kerja
setelah diarah untuk bertukar tempat kerja.
``Tiada siapa yang mahu mendengar
masalah yang dihadapi dan bermula dari tekanan ia berlarutan
sehingga dia menghadapi masalah mental dan terpaksa berhenti
kerja,'' katanya.
Tegasnya, walaupun ada pihak
yang menyifatkan masalah berkenaan adalah masalah terpencil
tetapi ia tetap berlaku.
``Daripada satu masalah ia
akan menjadi dua dan seterusnya merebak kerana jumlah guru
sekarang bukannya sedikit,'' katanya.
Menurut beliau, NUTP telah
berkali-kali menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengkaji
semula peraturan sekarang yang hanya menempatkan seorang
kaunselor bagi setiap negeri.
``Seorang kaunselor tidak
boleh melihat apa yang sebenarnya berlaku pada guru-guru
kerana dia mungkin banyak tugas lain,'' katanya.
Contohnya menurut beliau,
di Perak, seorang kaunselor tidak mungkin mampu mengendalikan
masalah 14,000 guru.
``Apa yang terjadi sekarang
ialah kaunselor hanya menunggu laporan daripada guru besar
dan pengetua sahaja tetapi tidak melihat sendiri masalah
tersebut,'' katanya.
Menurut beliau, kaunselor
amat penting bagi guru-guru sebagai tempat untuk meluahkan
perasaan walaupun kaunselor itu tidak mampu menyelesaikan
masalah.
``Mereka hanya mahukan tempat
untuk mengadu...walaupun mereka boleh mengadu kepada NUTP
dan kita bantu yang termampu tetapi adalah lebih baik adanya
kaunselor yang dapat memberi nasihat dan bimbingan mengikut
kepakaran mereka,'' tegasnya.