Manfaatkan Perpustakaan
Murid Wajar Guna Perpustakaan
Oleh Rusnita Pechok
Setiap sekolah mempunyai perpustakaan
yang dilengkapi pelbagai bacaan rujukan. Setiap murid boleh
menggunakan perpustakaan bukan sahaja untuk membaca tetapi
sebagai tempat perbincangan dan membuat kerja rumah.
Sebagai contoh, murid-murid
Sekolah Kebangsaan Keramat 1, Taman Keramat, Selangor, (gambar)
Muhd.dzuan Abd Ghani (kiri),Rozana Roseman (tengah) dan
Mohd Firdaus Hashim sedang membincangkan sesuatu mengenai
buku bacaan pilihan mereka.
Sebagai generasi harapan bangsa dan negara, murid sekolah
rendah perlu menjadikan pembacaan sebagai tabiat hidup,
sekali gus menambah dan memantapkan pengetahuan dalam usaha
muncul sebagai murid cemerlang.
Amalan membaca perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
Usaha itu perlu bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan
dalam pelajaran, bahkan menjadi warga yang celik huruf dan
berpengetahuan.
Sehubungan itu, setiap murid perlu memanfaatkan secara maksimum
penggunaan perpustakaan sekolah masing-masing kerana di
'gedung ilmu' itu terdapat banyak buku pelajaran dan pelbagai
bahan bacaan lain.
Selain waktu yang ditetapkan oleh pihak sekolah, murid-murid
boleh menggunakan perpustakaan pada mana-mana masa senggang,
misalnya sewaktu rehat atau selepas tamat waktu persekolahan.
Selain di sekolah, pelbagai jenis perpustakaan terdapat
di sekitar tempat tinggal murid sama ada di bandar mahupun
luar bandar.
Sebagai contoh, di Kuala Lumpur, ada Perpustakaan Negara
dan pelbagai jenis perpustakaan lain. Di peringkat negeri
pula ada perpustakaan negeri, manakala di luar bandar terdapat
Perpustakaan Desa.
Guru Media Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permata, Hulu Klang,
Selangor, Encik Ahadi Ab Rahman, berkata perpustakaan sekolahnya
mempunyai lebih 6 000 buah buku pelbagai jenis dan tajuk.
Katanya, selain pihak sekolah sendiri yang membeli buku-buku
itu, sebahagiannya adalah sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru dan individu tertentu.
"Setiap hari dua buah kelas sesi pagi dan dua buah
kelas sesi petang dijadualkan masuk ke pusat sumber, khususnya
perpustakaan, selain mereka yang masuk pada waktu rehat
dan tamat sekolah," katanya.
Sementara itu, Guru Penyelaras Pusat Sumber SK Taman Keramat
1, Taman Keramat, Selangor, Puan Siti Azmah Kulilan, berkata
murid-murid sekolahnya menggunakan sepenuhnya kemudahan
perpustakaan sekolah.
"Pada waktu tengah hari, kebanyakan murid masuk ke
perpustakaan, terutamanya untuk membuat kerja rumah sementara
menunggu waktu aktiviti kokurikulum masing-masing,"
katanya.
Selain perpustakaan, SK Taman Keramat 1 juga menyediakan
sudut bacaan di setiap kelas yang disusun mengikut kreativiti
kelas masing-masing.
Sudut bacaan berbentuk perpustakaan mini itu turut menempatkan
pelbagai bahan bacaan memberi kemudahan kepada murid membuat
rujukan dan membaca di dalam kelas.