Implikasi Cuti Rehat Tahunan
Guru
Dalam memberi pertimbangan
terhadap cadangan bagi melaksanakan cuti rehat tahunan guru,
kita berharap semua pihak terlibat dengan perkara ini akan
turut mengambil kira soal kepentingan pendidikan para pelajar.
Kita faham cadangan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) supaya guru diberi cuti rehat tahunan
seperti pegawai kerajaan lain itu bertujuan penambahbaikan
kepada perkhidmatan perguruan.
Menurut cadangan itu, guru
akan bertugas selama lapan jam sehari, sama seperti pegawai
kerajaan.
Namun begitu, semua pihak harus
menerima hakikat bahawa profesion perguruan mempunyai keistimewaan
tersendiri yang tidak serupa dengan pegawai-pegawai kerajaan
yang lain.
Rupa bentuk tugas guru adalah
dari segi hubungannya dengan pelajar-pelajar melalui pengajaran
mengikut sukatan pelajaran yang berjadual.
Kita percaya keberkesanan pengajaran
juga bergantung kepada kesinambungan proses pengajaran bagi
sesuatu tajuk mata pelajaran.
Walaupun secara umumnya, semua
guru berkebolehan menyambung pengajaran rakan-rakan sekerjanya,
seperti yang mana terlihat dalam kes-kes guru ganti kerana
bersalin, tetapi lebih wajar sekiranya guru yang sama meneruskan
pengajarannya bagi sesuatu tajuk.
Justeru, andai kata guru diberikan
cuti rehat tahunan, maka kemungkinannya proses pengajaran
yang berkesinambungan ini akan terjejas.
Kita pasti semua pihak yang
terlibat dalam perkara ini akan mengambil kira implikasi
yang timbul akibat pelaksanaan cuti rehat tahunan untuk
guru.
Dalam pelaksanaan cadangan
ini, diharapkan walaupun guru mempunyai hak untuk bercuti
rehat pada bila-bila masa persekolahan, tetapi permohonannya
mestilah ditimbang secara teliti oleh pengetua atau guru
besar supaya ia tidak menjejaskan kesinambungan proses pengajaran.
Walaupun kebajikan guru dan
penambahbaikan perkhidmatan perguruan merupakan langkah-langkah
perubahan yang dialu-alukan tetapi keutamaan mesti diberikan
kepada matlamat profesion itu, iaitu mendidik pelajar.
Sememangnya kita harus menghargai
pengorbanan dan jasa guru tetapi tidaklah semestinya ia
dibuat dalam bentuk cuti rehat tahunan sekiranya ia boleh
menjejaskan pengajaran.
Dalam cadangan itu juga dinyatakan
bahawa guru terpaksa bertugas pada musim cuti penggal termasuk
membuat persediaan untuk sesi persekolahan yang seterusnya.
Tetapi kita perlu realistik
dalam hal ini kerana tugas guru sebenar adalah pada waktu
persekolahan dan sekiranya tidak diurus dengan baik, berkerja
waktu cuti penggal tidak akan mendatangkan manfaat.
Sememangnya JPA memikirkan
cara terbaik bagi kepentingan kebajikan guru tetapi Kementerian
Pendidikan pula harus meneliti dari segi keuntungan kepada
kemajuan pendidikan negara.
Namun begitu, nikmat sebenar
menjadi seorang guru bukan terletak kepada gaji atau cuti
tetapi adalah sumbangan mereka mendidik generasi rakyat
negara ini.
Di seluruh dunia, sepanjang
zaman, kita percaya akan sentiasa wujud insan-insan guru
yang mempunyai dedikasi tinggi terhadap pendidikan.
Sememangnya kita mengharapkan
mutu profesion guru akan meningkat dengan penambahbaikan
perkhidmatan. Tetapi bagi guru-guru yang berdedikasi, kecemerlangan
pengajaran tidak bergantung kepada cuti rehat tahunan itu.