Ketua Kelas
Perlu Tegas Tapi Lembut
Oleh Noor Azlina Zainudin
Berita Harian - 26/03/02
Selain
pengawas, ketua kelas juga memainkan peranan penting dalam
usaha memastikan murid mematuhi disiplin dan peraturan yang
ditetapkan, terutama ketika berada di dalam kelas dan kawasan
sekolah
Ketua kelas lazimnya dilantik oleh guru dan rakan sekelas
berdasarkan kemampuannya memikul tanggungjawab untuk mengawal
murid lain dalam sesebuah kelas agar proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan dengan sempurna.
Antara tugas dan peranan ketua kelas ialah mengetuai murid
ketika menjalankan sebarang aktiviti dalam kelas, mengawal
disiplin murid ketika ketiadaan guru, menyelia kebersihan
serta keceriaan kelas serta membantu guru mengedar dan memungut
buku latihan.
Sungguhpun demikian, ramai murid yang masih belum jelas
dengan peranan sebenar ketua kelas. Malah, ada yang enggan
mematuhi arahan yang diberikan oleh ketua kelas dengan alasan
sebaya dan berada dalam kelas yang sama.
Tanggapan itu perlu dikikis kerana ketua kelas membuat teguran
dan mengeluarkan arahan yang diamanahkan oleh guru bagi
memastikan peraturan sekolah dipatuhi sepenuhnya.
Bagaimanapun, ketua kelas perlu membuat teguran secara lembut
tetapi tegas dan tidak menggunakan perkataan yang boleh
menyakitkan hati atau menyinggung perasaan murid lain.
Andai kata ada murid yang enggan mematuhi arahan, ketua
kelas perlu melaporkannya kepada guru supaya tindakan selanjutnya
boleh diambil.
Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh murid semasa
ketiadaan guru di dalam kelas ialah membuat bising, keluar
kelas sesuka hati, menconteng papan hitam, membuang sampah
merata-rata dan bermain sesama sendiri.
Oleh itu, mengawal kelas dan memastikan murid lain tidak
melakukan pelbagai kesalahan adalah antara peranan atau
tanggungjawab yang perlu dijalankan oleh ketua kelas.
Selain itu, ketua kelas juga perlu memastikan murid menjalankan
tugas membersih dan menjaga kebersihan kelas setiap hari
bukan sahaja sebelum kelas bermula, malah sepanjang waktu
persekolahan.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, Encik Ahmad
Fuad Said, berkata lazimnya ketua kelas dilantik secara
undian di dalam kelas.
Katanya, murid dalam sesebuah kelas dipertanggungjawabkan
memilih ketua masing-masing dan bukannya guru. Ini kerana
selalunya murid sesebuah kelas itu lebih tahu siapa di kalangan
mereka yang jujur dan boleh menjalankan tugas dengan baik.
“Saya memberi tempoh percubaan selama dua minggu selepas
proses pengundian itu untuk memastikan murid yang dilantik
sebagai ketua kelas benar-benar berwibawa dan mampu menjalankan
tugasnya dengan sempurna.
“Jika tidak, proses pengundian perlu dijalankan semula untuk
memilih murid lain yang lebih layak,” katanya.
Encik Ahmad Fuad berkata, ketua kelas yang dipilih perlu
memiliki tahap disiplin yang tinggi dan sedia menerima tugas
yang diamanahkan kepadanya.
Sementara itu, Ketua Kelas Tahun Lima Amanah, SK Jalan Gurney
(2), Noor Hamizah Ahmad, berpendapat ketua kelas perlu bersikap
tegas, agak garang dan berdisiplin sesuai dengan tugas mereka
sebagai pembantu guru.
“Tugas sebagai ketua kelas amat menyeronokkan kerana saya
dapat menjadi ketua kepada murid lain yang sebaya dan memberi
arahan kepada mereka untuk melaksanakan sesuatu tugasan
yang diamanahkan oleh guru.
“Bagaimanapun, ada juga murid yang suka melawan dan tidak
mahu mendengar arahan yang saya berikan.
Dalam kes begini, saya akan menulis nama murid terbabit
dan kesalahan yang dilakukan. Setelah itu saya laporkan
kepada guru kelas, Puan Arni Ahmad,” katanya.