Isu Pengasingan Pelajar: Menghakis
imej SK Milik Melayu
Oleh: Zalina
Yahaya
Kita
perlu mencari jalan supaya imej sekolah kebangsaan (SK) tidak
dianggap miliki Melayu sahaja.
Kenyataan Menteri Pendidikan,
Tan Sri Musa Mohamad berhubung isu pengasingan pelajar semalam
yang perlu direnungkan sedalam-dalamnya ialah bahawa akar
umbi kepada masalah `pengasingan' pelajar yang dikatakan
wujud di sekolah, khususnya di sekolah kebangsaan (SK) adalah
kekurangan murid bukan Melayu di sekolah kebangsaan (SK).
Kita selalu digambarkan sekolah,
terutamanya sekolah rendah adalah tempat terbaik memupuk
perpaduan.
Ini kerana ketika itu kanak-kanak
ini umpama kain putih bersih yang belum tercemar dengan
pengaruh-pengaruh asing.
Justeru, sekolah rendah dilihat
sebagai tempat paling sesuai bagi kita memupuk asas perpaduan
di kalangan mereka.
Tetapi bagaimanakah harapan
itu dapat direalisasikan jika daripada lebih 2.2 juta murid
SK, hanya 2.1 peratus atau 46,470 daripada mereka adalah
murid Cina manakala hanya 2.78 peratus ataupun 59,432 orang
adalah murid India.
Majoriti murid di SK adalah
murid Melayu.
Kebanyakan murid Cina memilih
sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan murid India pula
selesa di SKJ Tamil (SJKT).
Malah dapatan jawatankuasa
yang diwakili oleh tujuh orang ahli akademik berpengalaman
itu mendapati, SK yang sepatutnya menjadi tempat semaian
terbaik untuk memupuk nilai perpaduan antara kaum di peringkat
kanak-kanak tidaklah begitu berhasil kerana kurangnya penyertaan
bukan Melayu.
Perkara ini berbalik kepada
masalah SK yang selama ini lebih dilihat sebagai sekolah
milik bangsa Melayu dan bukan sebagai sebuah sekolah kebangsaan.
Dengan identiti kebanyakan
sekolah yang ditebalkan dengan ciri-ciri keIslaman, terutamanya
di kawasan luar bandar, ibu-ibu bapa murid-murid Cina dan
India lebih rela menyewakan bas untuk menghantar anak ke
SJK walaupun SK berada di depan rumah.
Justeru, kita amat menghargai
cadangan jawatankuasa bebas ini supaya usaha-usaha memupuk
perpaduan dilakukan bagi mengelakkan salah faham pengasingan
seperti program perpaduan sekolah, kelas tuisyen pelbagai
kaum dan mewujudkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang
mencerminkan komposisi kaum serta kaedah pembentukan jadual
waktu yang seragam.
Bagaimanapun, cadangan-cadangan
ini akan menjadi tidak relevan jika bilangan murid Cina
dan India hanyalah segelintir di SK.
Oleh itu, amaran jawatankuasa
ini supaya sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan martabat
sekolah kebangsaan supaya ia benar-benar melambangkan sebuah
institusi kebangsaan perlu diambil serius.
Malah kerajaan wajib membuat
kajian jitu untuk mencari jalan bagaimana menarik minat
lebih ramai murid bukan Melayu khasnya Cina memasuki SK.
Di tengah keghairahan masyarakat
Cina yang menuntut lebih banyak sekolah Cina dibuka dan
keberatan mereka untuk menerima konsep sekolah wawasan,
usaha mengembalikan kepercayaan masyarakat bukan Melayu
kepada institusi pendidikan kebangsaan perlu dilakukan dengan
serius dan bersungguh-sungguh.
Cukuplah imej keMelayuan ini
wujud di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) atau sekolah
agama yang dikhususkan untuk pelajar bumiputera khususnya
Melayu.
Di SK, pentadbir SK atau Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) yang terlalu taksub untuk meMelayukan
sekolah masing-masing perlu diambil tindakan atau diberikan
amaran keras.
Selain soal `kulit', yang lebih
penting lagi ialah soal `isi' SK yang seharusnya diberikan
suntikan demi suntikan untuk menjadikan SK cemerlang dan
menarik pelajar bukan Melayu ke SK.
Dalam konteks ini, penekanan
kepada guru berkualiti sebagai sumber utama kejayaan sesebuah
sekolah perlu diberi penekanan.
Guru yang terbaik bukan sahaja
milik sekolah-sekolah bandar yang mempunyai Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) yang berpengaruh.
Sementara itu, laporan jawatankuasa
bebas ini juga sebenarnya menuntut satu lagi tindakan di
pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Tindakan yang perlu dilakukan
oleh NUTP ialah perlu memohon maaf secara terbuka bukan
sahaja kepada Kementerian Pendidikan dan 210 buah sekolah
yang diheretnya dalam isu ini, tetapi juga kepada seluruh
rakyat negara ini kerana mengugat kepercayaan ramai mengenai
pendidikan di negara ini.
Bahawa jawatankuasa bebas ini
ditubuhkan semata-mata untuk menyiasat dakwaan kesatuan
ini adalah satu `penghormatan' kerajaan khususnya Kementerian
Pendidikan kepada kesatuan ini.
Justeru, penghormatan yang
diberikan itu eloklah dibalas sebaik mungkin.