Corot...Jangan Ungkit Soal
Genetik
MUKADIMAH
BANYAK sudah yang dilakukan untuk meningkatkan prestasi
pelajar kita dalam mata pelajaran kritikal seperti Sains,
Matematik dan bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, keputusan-keputusan
peperiksaan utama yang sering menjadi kayu ukur kepada usaha
yang dilakukan selama ini, masih tidak menggembirakan.
Walaupun bilangan pelajar yang
mendapat A meningkat setiap tahun, bilangan pelajar yang
mendapat D dan E juga tidak berkurangan, malah semakin bertambah.
Kenapa dan mengapa perkara
ini berlaku sering menjadi polemik setiap kali keputusan
peperiksaan keluar.
Bekas Penasihat Sains di Jabatan
Perdana Menteri dan kini merupakan Fellow Kanan Akademi
Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman memberi
pandangannya kepada Wartawan Utusan, MARZITA ABDULLAH baru-baru
ini.
Keputusan PMR baru-baru
ini menunjukkan ramai pelajar kita sekadar mendapat pangkat
D dan E sahaja dalam mata pelajaran kritikal seperti bahasa
Inggeris, Matematik dan Sains.
Adakah pelajar kita memang
semula jadi lemah dalam mata pelajaran ini.
Sebagai seorang saintis saya
tahu pelajar kita tidak mempunyai sebarang kelemahan. Saya
juga pelajar biasa, orang Melayu biasa dari kampung. Tiada
keistimewaan pada diri saya. Saya sama seperti orang lain.
Gen orang Melayu dengan gen orang lain, serupa sahaja.
Tiada satu bangsa pun di dunia
yang mempunyai gen yang lebih baik daripada orang Melayu.
Maknanya kita semua sama. Namun jika diberi peluang kita
boleh capai kecemerlangan sama seperti orang lain.
Kelemahannya bukan pada budak-budak
kita. Ini sah. Saya percaya betul. Bukan kelemahan orang
Melayu tidak boleh berjaya dalam sains. Perdana Menteri
sendiri mengakuinya.
Adakah sistem pendidikan
kita yang lemah atau berlaku kesilapan dalam sistem itu.
Jika kita sama sahaja dengan
orang lain, jadi kelemahannya mesti ada dalam sistem kita.
Di mana kelemahan itu, saya tidak tahu.
Sepatutnya pelbagai pihak menyelidik
di mana kelemahan adakah ini dalam sistem persekolahan,
proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) atau persekitaran
di rumah.
Kita mungkin tiada persekitaran
yang mendorong anak-anak untuk minat sains. Justeru itu
kita mesti mendalami perkara ini. Kalau dibiarkan berlanjutan,
prospek masa depan negara mungkin akan terjejas.
Kita berazam dalam Wawasan
2020 untuk menjadi negara maju berasaskan ekonomi yang agresif
dan kompetitif. Bidang sains dan teknologi kita mestilah
setanding dengan negara-negara lain.
Kalau tidak beri dorongan dalam
semua bidang kita akan kekurangan dalam bidang tertentu
terutama sains dan teknolog. Jika ini berlaku susahlah masa
depan kita.
Seharusnya dianalisis perkara
ini dan cuba fahami keadaan ini, kerana saya tahu kelemahannya
bukan pada budak-budak kita.
Ada pihak-pihak tertentu
yang menuding kepada pada guru-guru kerana menggunakan pendekatan
P&P yang lapuk.
Kalau kita tahu bahawa betul
ia berlaku, sudah dikenal pasti kenapa tidak ada sesuatu
tindakan untuk mengatasinya.
Sebenarnya perkara ini boleh
diatasi, kita sudah atasi banyak perkara dalam pelbagai
bidang.
Adakah kemerosotan pelajar
dalam bidang ini mungkin disebabkan sikap guru yang tidak
memberi dorongan.
Mungkin. Ini salah satu faktor
yang penting. Jika tiada dorongan memang susah kita untuk
memajukan sains. Guru-guru seharusnya adalah golongan yang
tahu sains. Itu penting. Untuk memajukannya pelajar-pelajar
perlu diberi galakan, dorongan dan peluang.
Dan ini mungkin kelemahan yang
ada dalam sistem kita.
Saya selalu dengar pihak-pihak
tertentu mengatakan bahawa sains ini susah. Sebenarnya ia
tidak susah hanya mencari jalan untuk menarik perhatian
budak-budak ini.
Ada pelajar yang masih teraba-raba
dalam mencari pengkhususan sama ada dalam bidang sastera
dan sains. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini.
Kita perlukan lebih banyak
pelajar yang mengikuti sains. Usaha perlu dibuat untuk mendapat
seramai mungkin pelajar dalam bidang ini.
Kalau pelajar berada dalam
persimpangan kita perlu asah bakat mereka dan beri peluang.
Mereka ini seharusnya diberi
tumpuan lebih kerana kita mempunyai tempat yang banyak di
universiti.
Kalau guru meninggalkan mereka,
sikap sebegini patut ditukar. Orang Melayu sama seperti
orang lain cuma peluang, galakan, dorongan yang tidak diperoleh.
Adakah latar belakang guru-guru
sains sekarang sudah cukup untuk membolehkan mereka mengajar
mata pelajaran sains dan matematik.
Pada pandangan saya yang tidak
terlibat dalam sistem pendidikan secara langsung, ada dua
perkara yang berlaku.
Pertama, mungkin ada guru-guru
yang menjadi guru kerana terpaksa kerana tiada peluang dan
pencapaian yang boleh ke jurusan lain.
Sepatutnya untuk menjadi guru
adalah mereka yang suka menjadi guru, yang ada minat dan
sebati dengan diri untuk menjadi guru.
Kedua, mereka yang dipilih
untuk mengajar sains sama ada tidak cukup pelajaran, tidak
cukup minat dan tidak berupaya memberi dorongan dan galakan
kepada pelajar.
Kalau mereka menjadi guru tetapi
hatinya ke lain ini mungkin akan menyebabkan dia tidak akan
menjalankan tugas dengan seratus peratus tumpuan.
Mereka yang dipilih menjadi
guru sains mestilah mereka secara semula jadi berkeupayaan
dan boleh mendorong dan memberi galakan selain mempunyai
kefahaman dalam bidang itu.
Ada guru yang bersikap statik
dan tidak mengikuti perkembangan semasa sains.
Jika ini berlaku bermakna mereka
tidak bertanggungjawab. Kalau kita sudah mencari guru, sudah
tahu ini tugas kita, kalau kita tidak ikuti perkembangan
ini tidak bertanggungjawab. Ini tidak seharusnya berlaku.
Apabila kita berada dalam sesuatu
jawatan itulah tugas kita, kerja kita, kewajipan kita.
Inilah jihad. Memperbaiki diri
dari semasa ke semasa dalam kerja adalah jihad besar. Lebih
besar daripada jihad berperang.
Bagaimana pula guru yang
hanya menunggu untuk diberi kursus tetapi tidak berusaha
mencari sendiri ilmu untuk mempertingkatkan diri mereka.
Kalau betul ini berlaku, ini
adalah sesuatu yang menyedihkan saya. Ini kerana peluang
untuk memperbaiki keadaan kita banyak, tidak payah pergi
kursus pun tidak apa, dalam Internet pun ada.
Jika kita tiada minat dan berharap
pada kerajaan, saya benar-benar sedih. Ibadat pada Tuhan
bukan sahaja sembahyang atau puasa. Kerja yang kita buat
seharian juga adalah ibadat.
Kalau kita tidak jalankan ibadat
sepenuhnya, tidak khusyuk, kita sudah buat salah.
Banyak pihak di luar bandar
menyifatkan pelajar di bandar lebih berjaya kerana banyak
kemudahan dan ini tidak berlaku di luar bandar kerana banyak
kekurangan kemudahan.
Ini perkara yang sudah lama
berlarutan dan masih wujud lagi sehingga sekarang. Dalam
usaha mengatasi keadaan ini kita perlu perbanyakkan kolej
atau sekolah berasrama penuh (SBP) yang tidak mencukupi
dalam keadaan sekarang.
Kerajaan perlu menubuhkan SBP
supaya pelajar di luar bandar boleh menikmati lebih banyak
kemudahan.
Dan kerajaan patut memperbaiki
keadaan sekolah berasmara yang ada sekarang. Saya difahamkan
ada kelemahan-kelemahan tertentu di SBP sekarang.
Saya rasa pihak-pihak tertentu
perlu meneliti perkara ini. Ini tidak patut dibiarkan, terutama
dari segi kemudahan sekolah. Masa buat dahulu semuanya baik
tetapi sekarang ia dibiarkan, tidak diperbaiki seperti makmal,
masih menggunakan peralatan lama.
Bagaimanapun isu ini akan terus
berpanjangan tetapi yang penting semua pihak kena pertahankan
kualiti dalam usaha mempertingkatkan kuantiti. Kualiti jangan
diabaikan dan pihak tertentu ambil perhatian yang lebih
dalam perkara ini.
Di ASM sendiri adakah pendekatan
yang boleh diguna pakai oleh warga pendidikan kita.
Banyak negara maju masih lagi
memikirkan perkara ini kerana bukan semua budak-budak minat
pada sains tetapi kita memerlukan jumlah yang cukup yang
untuk memajukan sains.
Kita telah mengadakan banyak
pertukaran fikiran, pendapat dengan akademi-akademi sains
dari luar negara.
Salah satu usaha kita ialah
mempertingkatkan P&P.
Pada tahun lalu kita telah
adakan seminar pembelajaran matematik dan sains. Ini adalah
salah satu tumpuan aktiviti yang akan diteruskan untuk mencari
jalan kerjasama meningkatkan P&P