Mengenai Pengajaran Bahasa
Inggeris Di Sekolah
MUKADIMAH
APABILA cadangan supaya diwujudkan semula sekolah aliran
Inggeris dicetuskan oleh penulis ruangan Awang Sulung Mingguan
Malaysia, pelbagai reaksi diterima.
Cadangan itu adalah pembawa semboyan amaran tentang kesan
buruk kegagalan sistem pendidikan melahirkan pelajar yang
menguasai bahasa Inggeris.
Sedangkan, dunia kini terus
mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu
dan bahasa global.
Hasilnya, Jumaat lalu, ekoran
cadangan itu yang mencetuskan perdebatan terbuka, kerajaan
membuat satu keputusan drastik.
Bermula tahun depan, subjek
Sains dan Matematik akan diajar bahasa Inggeris di Tahun
Satu.
Bagaimanapun, bekas Ketua Setiausaha
Negara, Tan Sri Dr. Abdullah Ayub mempunyai pandangan berbeza
dengan keputusan kerajaan itu.
Dalam pertemuan dengan wartawan
RAMLI ABDUL KARIM, beliau mencadangkan subjek Sejarah, Geografi
dan Pengajian Moral diajar dalam bahasa Inggeris kerana
ia membuka perbincangan dan peluang pelajar berhujah.
``Saya tidak setuju subjek
Sains diajar dalam bahasa Inggeris kerana ia kurang pertuturan.
``Mengajar subjek sains dalam
bahasa Inggeris juga membantut dan menguncupkan perkembangan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di bidang itu,'' katanya.
Sependapat dengan keputusan
kerajaan, pemimpin veteran MCA dan bekas menteri kabinet,
Tan Sri Chong Hon Yan mengakui tentang sikap orang Cina
yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris untuk pendidikan
anak-anak.
``Bahasa Melayu bahasa perpaduan
yang melahirkan taat setia dan kecintaan orang Cina kepada
negara.
``Kita patut sedar bahasa Inggeris
lebih awal menjadi bahasa ilmu dan ini diakui dunia.
`Jepun, Jerman dan Perancis
juga telah mula kuasai bahasa Inggeris walaupun dulu cuma
berbangga dengan bahasa ibunda mereka,'' katanya kepada
SAIFULIZAM MOHAMAD yang menemui ramah beliau di rumahnya
di Kuala Lumpur.
Wawancara 1 bersama Tan
Sri Abdullah Ayob, bekas Ketua Setiausaha Negara.
MINGGUAN: Terdapat cadangan
supaya sekolah aliran Inggeris diwujudkan semula. Ini bagi
mengatasi masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris di
kalangan pelajar, khususnya pelajar Melayu. Apakah pendirian
Tan Sri terhadap isu ini?
ABDULLAH: Saya tidak setuju
supaya sekolah aliran Inggeris diwujudkan semula.
Kita telah buat keputusan memansuhkan
sekolah aliran Inggeris pada tahun 1970-an apabila bahasa
Melayu ambil alih peranan bahasa pengantar.
Ini bermakna kini kita cuma
ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
(SRJK) Cina dan SRJK Tamil.
Jadi saya fikir kita tidak
boleh berundur. Bagi saya eloklah kita terus hanya ada ketiga-tiga
aliran ini.
Sebenarnya saya sendiri telah
membangkitkan perkara ini ketika membahas titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong di Dewan Negara pada 10 April lalu.
Saya cadangkan supaya kita
kembali menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
bagi beberapa pengajaran mata pelajaran tertentu.
Ini bermakna, di sekolah kebangsaan,
subjek-subjek tertentu diajar dalam bahasa Inggeris.
Tetapi biarlah pemilihan subjek
yang diajar dalam bahasa Inggeris itu tidak menyebabkan
bahasa Melayu menjadi lemah.
Misalnya subjek Sejarah. Kita
boleh ajar subjek ini dalam bahasa Inggeris. Ia boleh tarik
pelajar supaya berinteraksi dalam bahasa Inggeris.
Ini kerana di bilik darjah
mereka boleh berhujah mengenai sejarah dalam bahasa Inggeris.
Begitu juga subjek Geografi
dan Pengajaran Moral. Pengajarannya tidak menjejaskan perkembangan
bahasa Melayu.
Saya tidak mencadangkan mata
pelajaran sains diajar dalam bahasa Inggeris. Ini kerana
sains itu sendiri berkembang.
Penggunaan bahasa Inggeris
sebagai pengantar akan membantutkan perkembangan bahasa
Melayu dalam bidang sains.
Selama ini bahasa Melayu telah
berjaya berkembang pesat dalam bidang sains.
Ini kerana mata pelajaran itu
diajar dalam bahasa Melayu.
Penjelasan Tan Sri ini nampaknya
memperlihatkan bahawa Tan Sri sendiri berada dalam dilema
antara memperjuangkan bahasa Melayu dan meningkatkan penguasaan
bahasa Inggeris di kalangan generasi muda. Adakah benar
Tan Sri akui dilema ini?
ABDULLAH: Ya. Dilema itu memang
ada. Sebab itu diberi cara penyelesaian yang munasabah seperti
saya sebutkan tadi.
Caranya ialah kita ajar beberapa
mata pelajaran dalam bahasa Inggeris dan bukannya wujudkan
semula sekolah aliran Inggeris.
Dengan cara ini kita boleh
mengeluarkan pelajar yang cekap berbahasa Melayu dan Inggeris.
Bagi saya, kita memang tidak
perlu berbalik ke belakang. Ini sudah tentu merosakkan semula
bahasa Melayu dan perkembangannya sebagai bahasa ilmu.
Cadangan Tan Sri nampaknya
bercanggah dengan pendapat banyak pihak yang mahu mata pelajaran
sains diajar dalam bahasa Inggeris kerana bahan bacaan dan
rujukan lebih banyak dalam bahasa Inggeris. Apa komen Tan
Sri?
ABDULLAH: Maksud saya, itu
buat permulaan saja. Seperti saya jelaskan tadi, pengajaran
mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris akan mengongkong,
menyekat menguncupkan kemajuan perkembangan bahasa Melayu.
Kita memang boleh ajar subjek
sains dalam bahasa Inggeris dan itu mudah saja untuk dilaksanakan.
Saya juga melihat dari segi
peluang pelajar untuk mahir berbahasa.
Jika mata pelajaran sains diajar
dalam bahasa Inggeris, mereka tidak banyak berhujah.
Ini kerana ilmu dalam subjek-subjek
sains lebih banyak guna istilah-istilah saintifik dan formula
daripada perbincangan.
Apa yang kita mahu, pelajar
kita lantang dan pandai berbahasa dan ini boleh dilakukan
jika mereka boleh banyak berhujah.
Macam subjek Matematik, ia
lebih banyak guna angka-angka dan tidak banyak perbincangan
dalam bentuk berhujah. Jadi bagaimana mahu memantapkan kemahiran
dan penguasaan bahasa Inggeris.
Sedangkan, tujuan kita ialah
mahu memahirkan anak-anak kita memahirkan diri bertutur
dan menguasai bahasa Inggeris.
Apabila mereka sudah tahu berbahasa
Inggeris, ini lebih mudah mereka membaca dan faham bahan
bacaan sains yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Tan Sri sendiri pernah belajar
di sekolah aliran Inggeris. Apakah pandangan Tan Sri terhadap
kepentingan bahasa Inggeris?
ABDULLAH: Kita sepatutnya melihat
bahasa sebagai perkakas untuk berkomunikasi dan mendapat
ilmu.
Jadi, kita patut tingkatkan
bahasa Inggeris kerana kelebihan bahasa Inggeris ialah ia
sudah lama digunakan sebagai bahasa ilmu.
Ini tidak bermaksud kita mahu
tinggalkan bahasa Melayu. Tetapi kalau kita hendak memajukan
bangsa, kita mesti perkuatkan bahasa Inggeris.
Saya sendiri dulu terbabit
dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.
Di samping kita menekankan
nasionalisme menerusi bahasa Melayu, tetapi pada masa yang
sama kita tidak ketepikan sama sekali bahasa Inggeris.
Apa yang terjadi sekarang ialah
disebabkan kita telah lupakan dan tidak pentingkan bahasa
Inggeris, maka generasi baru tidak lagi cekap guna bahasa
itu.
Keduanya, soal guru. Kita tidak
cukup guru-guru terlatih yang boleh mengajar bahasa Inggeris
dengan baik.
Masalahnya dengan cadangan
Tan Sri ini mungkin datangnya daripada nasionalis yang masih
ingin mempertahankan bahasa Melayu sebagai pengantar di
sekolah. Apakah pesanan Tan Sri kepada golongan ini?
ABDULLAH: Saya fikir memanglah
mereka ada pandangan sebaliknya. Tetapi cadangan saya ini
hanya menyebabkan kesan minimum kepada bahasa Melayu.
Kerana kita tidak mengubah
aliran sekolah kebangsaan kepada aliran Inggeris. Cuma kita
ubah bahasa pengantar subjek tertentu daripada bahasa Melayu
kepada bahasa Inggeris.
Saya fikir pada masa ini, golongan
nasionalis juga patut terima.
Kerajaan nampaknya menunggu
reaksi rakyat sebelum membuat keputusan berhubung cadangan
mewujudkan sekolah aliran Inggeris. Adakah Tan Sri fikir
rakyat akan memberi maklum balas positif atau sebaliknya?
ABDULLAH: Saya fikir jika kita
bangkitkan isu sekolah aliran Inggeris, mesti ramai yang
akan bantah.
Tetapi jika sekadar mengajar
subjek tertentu dalam bahasa Inggeris, itu mungkin mereka
terima.
Tan Sri adalah antara orang
yang terbabit dalam perjuangan bahasa pada masa lalu. Tidakkah
ketika itu orang Melayu dan kerajaan sendiri tidak memikirkan
kesan keputusan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di semua sekolah menggantikan bahasa Inggeris?
ABDULLAH: Ya. Memang benar
dulu sesetengah tindakan kita tidak dikaji secara mendalam
terlebih dahulu.
Ini kerana, penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya di sekolah bermula
pada tahun 1970-an.
Ia ada kaitan dengan krisis
13 Mei 1969. Selepas itu kita wujudkan Dasar Ekonomi Baru.
Kita kemudian putuskan untuk mansuhkan sekolah aliran Inggeris.
Semua sekolah guna bahasa Melayu sebagai pengantar.
Tetapi kita tidak tukar bahasa
pengantar di SRJK Cina dan Tamil.
Memang ketika itu ekoran krisis
berkenaan kita terpaksa buat keputusan mendadak berhubung
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.
Dalam kita mahu mencari ilmu
baru, kita perlukan bahasa Inggeris. Tetapi soalnya, apakah
identiti bangsa kita, apakah yang Tan Sri sendiri ingin
lihat?
ABDULLAH: Kedua-duanya kita
mahu. Identiti bangsa iaitu bahasa Melayu dan juga maju
dalam ilmu pengetahuan.
Tetapi yang paling penting
ialah penyatuan iaitu menarik kembali anak-anak orang Cina
dan India bersekolah di sekolah kebangsaan.
Kita tahu dulu mereka keluarkan
anak-anak mereka daripada sekolah kebangsaan yang asalnya
beraliran Inggeris.
Sebabnya, bahasa pengantar
ditukar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.
Mereka yang kaya hantar anak
sekolah di England, Australia atau Singapura. Yang lainnya,
hantar ke SRJK Cina atau India.
Yang ironinya ialah kerajaan
mahu bahasa Melayu menjadi bahasa penyatuan rakyat. Tetapi
kesannya ialah sesetengah golongan tidak menganggap demikian.
Jadi, adakah bahasa Inggeris boleh menyatukan rakyat kita?
ABDULLAH: Itu boleh menjadi
salah satu tujuan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah
iaitu menyatukan rakyat.
Tetapi golongan ini hantar
anak ke sekolah aliran Inggeris kerana melihat bahasa Inggeris
boleh digunakan untuk perniagaan.
Selain itu, ia juga membolehkan
mereka hantar anak-anak belajar di luar negara.
Apabila mereka ada penguasaan
dalam bahasa Inggeris, mudahlah mereka mencari kerja. Itulah
tujuan mereka.
Mereka memandang sebaliknya
terhadap bahasa Melayu.
Sebab itu, sekarang institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS) yang lebih pentingkan bahasa
Inggeris dan ada program berkembar dengan universiti asing
dipenuhi oleh anak-anak golongan ini.
Kita orang Melayu sibuk dengan
bahasa Melayu sedangkan mereka ini tidak peduli.
Jika mereka mahu berpolitik,
barulah golongan ini melihat kepentingan bahasa Melayu.
Mereka belajar bahasa Melayu semata-mata mahu ceburi bidang
politik.
Polemik mengenai isu ini sekarang
ialah terdapat masyarakat Melayu terutamanya yang tidak
bersetuju dengan sekolah aliran Inggeris dan mungkin juga
cadangan Tan Sri itu. Adakah kebimbangan mereka itu berasas?
ABDULLAH: Cadangan saya itu
mungkin adalah jalan terbaik. Kalau mewujudkan sekolah aliran
Inggeris memang sukar, malah kerajaan sendiri mungkin akan
menghadapi masalah.
Malah, kalau kita wujudkan
sekolah aliran Inggeris, nanti kita kena fikir pula apa
akan terjadi kepada sekolah kebangsaan yang mana aliran
ini gunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.
Jadi yang terbaik ialah mengajar
subjek tertentu dalam bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan.
Wawancara II dengan Tan
Sri Chong Hon Yan
MINGGUAN: Mengapa kebanyakan
masyarakat Malaysia terutama orang Melayu kurang menguasai
Bahasa Inggeris ?
CHONG: Kebanyakan orang Malaysia
tidak berapa minat membaca terutama bahan-bahan yang berbahasa
Inggeris.
Bagi saya untuk mendapat pengetahuan
kita perlu membaca seluas-luasnya tidak kira dalam apa bahasa
sekalipun.
Bahan-bahan bahasa Inggeris
kita perlu baca dan bahan-bahan dalam Bahasa Malaysia pula
tidak boleh ditinggalkan.
Paling tidak dalam sehari kita
perlu menghabiskan masa antara satu hingga dua jam untuk
membaca seperti novel.
Bagaimana kita hendak fasih
dalam berbahasa Inggeris?
CHONG: Untuk fasih atau menguasai
bahasa Inggeris kita perlu berfikir dalam bahasa itu sendiri.
Apa yang saya maksudkan ialah
dengan berfikir dalam bahasa Inggeris barulah kita fasih
bertutur dalam bahasa ini.
Jikalau kita berfikir dalam
bahasa Melayu kemudian hendak dituturkan dalam bahasa Inggeris
ia tidak berkesan.
Saya juga berpendapat kita
perlu ada keyakinan ketika bertutur dalam bahasa Inggeris.
Kebanyakan pelajar kita sekarang
tidak ada keyakinan walaupun boleh dikatakan semua pelajar
belajar bahasa Inggeris sejak darjah satu lagi.
Pelajar kita hanya tahu teori
sahaja tetapi dari segi praktikalnya tidak ada. Untuk menguasai
sesuatu bahasa kita harus membuang sifat malu dan segan.
Saya percaya tidak ada orang
hendak ketawa kepada kita kerana berbahasa Inggeris gaya
Malaysia.
Cuba kita lihat orang Eropah
bercakap Inggeris mengikut gaya tersendiri.
Ada yang bercakap gaya Perancis,
Jerman, Belanda, Afrika, Pakistan dan Afghanistan.
Dalam hal ini kita tidak perlu
malu. Paling mustahak kita perlu ada keyakinan.
Mungkinkah disebabkan kurangnya
penekanan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah menyebabkan
pelajar tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Bagaimana pula dengan pengalaman Tan Sri?
CHONG: Pada zaman persekolahan
saya, bahasa Inggeris bukan satu mata pelajaran tetapi sebagai
bahasa pengantar.
Jadi semua mata pelajaran diajar
dalam bahasa Inggeris. Semua buku teks dalam bahasa Inggeris.
Oleh itu mahu tidak mahu, kita
terpaksa berfikir dan bertutur dalam bahasa Inggeris.
Adakah Tan Sri fikir dengan
menggunakan semula penghantar bahasa Inggeris boleh menyelesaikan
masalah kelemahan penguasaan bahasa ini di kalangan para
pelajar?
CHONG: Cukuplah kalau saya
cadangkan dua tiga mata pelajaran menggunakan bahasa Inggeris
terutama subjek-subjek yang kritikal dan mustahak seperti
sains, teknologi, matematik dan sebagainya.
Lain-lain subjek boleh diajar
dalam bahasa Melayu seperti sejarah dan geografi.
Ini bukanlah menafikan bahawa
bahasa Melayu tidak penting.
Bagi saya bahasa Melayu juga
telah mencapai satu tahap yang tinggi tetapi hakikatnya
dalam ilmu-ilmu tertentu, bahasa Inggeris lebih ke hadapan.
Saya rasa ia tidak menyentuh
kepentingan bahasa Melayu kerana subjek-subjek lain masih
boleh diajar dalam bahasa Melayu.
Adakah kerajaan perlu mengambil
langkah yang tegas dan berani mengambil risiko dalam membuat
perubahan ini?
CHONG: Ya. Itulah jalan yang
terbaik. Saya amat setuju dengan pendapat saudara. Sekarang
ini kita berhadapan dengan zaman global yang memerlukan
penguasaan bahasa inggeris dengan baik.
Senario telah bertukar kerana
sempadan-sempadan dunia telah dipecahkan. Mindset kita perlu
dibuka dan kita perlu menerima hakikat ini.
Bolehkah Tan Sri buat kesimpulan
betapa pentingnya bahasa Inggeris ini dan perlunya kerajaan
lakukan sesuatu agar penguasaan bahasa Inggeris di kalangan
masyarakat dapat dikembalikan?
CHONG: Saya fasih berbahasa
Inggeris tetapi saya juga fasih membaca dan menulis dalam
bahasa Melayu.
Pada era saya menjadi pegawai
kerajaan dahulu bahasa Inggeris adalah satu kelebihan apatah
lagi ketika saya bertugas sebagai pegawai di Kementerian
Kewangan.
Antara tugas saya ialah pergi
ke luar negara berjumpa dengan pelabur supaya mereka menanam
modal di negara kita.
Jika saya tidak fasih dalam
bahasa Inggeris bagaimana saya hendak berunding dengan mereka.
Dalam konteks ini bahasa Inggeris
adalah penting untuk karier dan negara.
Saya amat berharap kerajaan
membuat sesuatu termasuk mengubah suai sistem pendidikan
agar generasi muda dapat menguasai bahasa Inggeris dengan
baik.
Bolehkah Tan Sri memberi contoh
negara yang rakyatnya mampu menguasai bahasa Inggeris tetapi
dalam masa yang sama mengekalkan memartabatkan bahasa ibunda?
CHONG: Saya berpendapat Jerman
adalah contoh yang terbaik. Rakyat negara itu mampu menguasai
bahasa Inggeris dengan baik tetapi dalam masa yang sama
mereka tetap mengekalkan keistimewaan bahasa ibunda mereka.
Adakah orang Cina boleh menerima
perubahan itu?
CHONG: Saya berpendapat mereka
tidak ada masalah kerana kebanyakan masyarakat Cina tahu
kepentingan bahasa Inggeris apatah lagi dalam era globalisasi
ini.
Mereka yang menguasai lebih
daripada satu bahasa terutama bahasa Inggeris akan mendapat
kelebihan terutama sebagai `global player'.
Bolehkah dikatakan bahawa sistem
pendidikan perlu diubah suai supaya menepati saranan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mahu pelajar
terutama masyarakat Melayu menguasai bahasa Inggeris.
CHONG: Ya. Saya juga berpendapat
sedemikian.
Kalau dulu orang Cina lari
dari sekolah aliran Inggeris kerana sekolah tersebut ditukar
dengan aliran bahasa Melayu. Dengan mengajar beberapa subjek
dengan bahasa Inggeris sebagai pengantar, adakah ini boleh
menarik semula anak-anak orang Cina ke sekolah kebangsaan
?
CHONG: Saya kira langkah ini
boleh mempengaruhi semula masyarakat Cina menghantar anak-anak
mereka ke sekolah kebangsaan asalkan perubahan itu memberi
kelebihan kepada masa depan anak-anak mereka.
Tidakkah Tan Sri melihat cadangan
tadi akan menimbulkan konflik dalam usaha menjadi bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu?
CHONG: Bahasa ilmu tidak ada
batasan. Kita tidak boleh menafikan bahawa bahasa Inggeris
adalah bahasa ilmu. Malah perkara ini juga semakin disedari
dan diakui oleh negara seperti Jepun, Korea Selatan dan
Perancis yang sebelum ini mengutamakan bahasa mereka.
Sekarang kalau kita berjumpa
ahli korporat sekarang dari negara-negara berkenaan semuanya
sudah fasih dalam bahasa Inggeris.
Dulu orang Jepun tidak tahu
berbahasa Inggeris tetapi sekarang sudah berubah.
Dulu masyarakat di negara China
pun kurang mahir dalam bahasa Inggeris tapi sekarang sudah
ramai pelajar China belajar di Amerika Syarikat.
Dengan itu mereka dapat pengetahuan
teknologi di sana.
Namun demikian, saya sendiri
akui bahawa kepentingan bahasa Melayu tidak dinafikan terutama
peranannya sebagai bahasa perpaduan.
Apabila bahasa Melayu menggantikan
bahasa Inggeris sebagai pengantar secara berperingkat-peringkat
dari 1958 hingga 1975, bagaimana pendirian orang Cina ketika
itu ?
CHONG: Saya akui ada orang
Cina yang khuatir melihat perubahan tersebut. Ini kerana
bahasa yang penting bagi mereka ketika itu ialah bahasa
ibunda dan bahasa Inggeris.
Ini supaya anak-anak mendapat
peluang pekerjaan yang baik atau mampu mengendalikan perniagaan
keluarga dengan lebih baik. Kebanyakan ibu bapa Cina ketika
zaman saya bersekolah amat menekankan bahasa Inggeris kerana
dengan menguasai bahasa ini anak-anak mereka mempunyai kelebihan
terutama dalam usaha mendapatkan pekerjaan yang baik seperti
peguam, doktor dan sebagainya.
Apabila berlakunya peralihan
penggunaan bahasa pengantar dari bahasa Inggeris ke bahasa
Melayu kebanyakan orang Cina bimbang.
Ini kerana mereka tidak menggunakan
bahasa Melayu dalam aktiviti perniagaan mereka. Mereka amat
jarang menggunakan bahasa Melayu dalam perniagaan. Namun,
sekarang bahasa Melayu telah menjadi satu bahasa yang diterima
oleh semua masyarakat sama ada orang Melayu, Cina atau India.
Maknanya pada tahun 1950-an
dan 60-an lagi orang Cina telah melihat kepentingan bahasa
Inggeris ini satu aset masa akan datang?
CHONG: Dalam masyarakat Cina
kebanyakan ibu bapa amat mementingkan pelajaran untuk anak-anak
bukan sekadar belajar sahaja tetapi untuk masa depan.
Mereka fikir sekiranya anak-anak
dapat menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Cina cukuplah
untuk berniaga.
Kita juga harus ingat ketika
itu tiada Universiti Malaya (UM) tiada Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) seperti sekarang.
Kalau ada pun universiti di
Singapura dan luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar.
Sekiranya diwujudkan semula
sekolah aliran Inggeris apa bagaimanakah mungkin reaksi
masyarakat Cina?
CHONG: Saya fikir orang Cina
akan kembali khuatir seperti kebimbangan mereka ketika bahasa
Melayu mengambil alih peranan bahasa Inggeris. Ini kerana
mereka sudah selesa dengan keadaan sekarang.