Kesatuan
guru sokong bahasa Inggeris untuk sains, matematik
KUALA LUMPUR, Ahad.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) menyambut
baik penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains
dan matematik bagi mengelakkan “sindrom tidak tahu berbahasa
Inggeris” semakin buruk.
Setiausaha Agungnya, Datuk Siva Subramaniam, berkata penggunaan
bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran itu memang tepat
pada masanya.
“Setiap sesuatu perkara yang baru, pastinya ada pro dan
kontra, tetapi saya berharap ia tidak akan menjadi penyebab
kegagalan perkara ini diteruskan.
“Ini kerana sekiranya kita masih takut atau ragu-ragu melaksanakannya,
sampai bila pun kita tidak dapat melahirkan pelajar yang
fasih berbahasa Inggeris.
“Tidak bersedia dan tidak mampu, di kalangan guru, bukan
masalah kerana mereka juga tahu berbahasa Inggeris cuma
ia tidak digunakan secara maksimum,” katanya ketika dihubungi
di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penggunaan
bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik
tahun satu mulai tahun depan.
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB),
Dr Abdul Rahman Daud, pula menyarankan supaya aktiviti pengukuhan
bahasa Inggeris di sekolah terus dipertingkatkan.
“Saya dapati kebanyakan pelajar lemah bahasa Inggeris disebabkan
sikap serta persekitaran yang tidak menggalakkan mereka
menggunakan bahasa itu.
“Justeru pihak sekolah perlu mewujudkan pengajaran dan persekitaran
yang boleh menggalakkan penggunaan bahasa itu, seperti mengadakan
minggu bahasa Inggeris,” katanya
Sementara itu Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Mohamad Ali Hasan
tidak bersetuju dengan pandangan bahawa penggunaan bahasa
Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik akan mengurangkan
minat murid terhadap subjek berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata pendekatan serta pengajaran menarik,
dapat menambah minat pelajar terhadap mata pelajaran itu.
“Justeru guru perlu kreatif, bukan penggunaan bahasa yang
menjadi masalah kerana pendedahan awal terhadap mata pelajaran
itu menyebabkan murid lebih faham, minat dan tidak “takut”
terhadap sains dan matematik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Bahasa Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata pihaknya
belum menerima sebarang arahan mengenai penerbitan atau
penterjemahan buku dalam dua subek berkenaan.
“Perkara ini masih baru diperkatakan dan kami belum menerima
sebarang arahan,” katanya.
Di JOHOR BAHRU, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains Muar, Hamim Samuri, mahu
Kementerian Pendidikan berusaha mengikis sikap takut kepada
subjek sains dan matematik di kalangan pelajar Melayu sebelum
melaksanakan pengajarannya dalam bahasa Inggeris.
“Ketika ini, kita menghadapi masalah akibat kebimbangan
pelajar Melayu untuk menghadapi mata pelajaran sains dan
matematik sehingga menyebabkan mereka cenderung memilih
aliran sastera.
“Keadaan itu dihadapi walaupun ketika ini dua mata pelajaran
itu diajar menggunakan Bahasa Malaysia. Masalah yang serius
boleh dijangkakan jika ia diajar dalam bahasa Inggeris,"
katanya.
Di KUCHING, Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak
(KGBS), Rosli Sahmat, meminta Pusat Perkembangan Kurikulum
(PPK), Kementerian Pendidikan menggubal sukatan pelajaran
bahasa Inggeris yang lebih mantap bagi mengatasi masalah
penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.
Beliau berkata, sukatan pelajaran sedia ada lebih tertumpu
kepada kemahiran berkomunikasi, berbanding penguasaan tatabahasa
yang sepatutnya diberi lebih keutamaan.