Kaji
semula latihan guru sekolah bestari
Tenaga pengajar di
sekolah, khususnya guru penolong kanan, ketua mata pelajaran,
ketua bidang dan guru cemerlang, perlu dilatih dan arif
dalam bidang teknologi maklumat (IT), strategi pengajaran
dan pembelajaran bestari bagi subjek pengkhususan masing-masing.
Dr Norzaini Azman bersama Dr
Mohammed Sani Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) dalam kertas kerja mereka bertajuk Program Latihan
Guru Sekolah Bestari: Impaknya Terhadap Pengintegrasian
Teknologi Ke Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran,
berkata langkah berkenaan penting dan selaras dengan dasar
Kementerian Pendidikan untuk membestarikan semua sekolah
di Malaysia.
Melalui latihan dan penguasaan
itu, kata mereka, aspek pemantauan, pencerapan serta bimbingan
secara berterusan bagi guru bestari di bawah penyeliaan
masing-masing dapat dibuat dengan sistematik dan lebih berkesan.
Mereka berkata, ini kerana
kajian yang dijalankan oleh sepasukan penyelidik melalui
projek penyelidikan Laluan Pantas/Irpa, Fakulti Pendidikan
UKM, sepanjang 2000/2001 untuk menilai keberkesanan program
latihan guru sekolah bestari dan meninjau impaknya terhadap
pembelajaran, mendapati aspek berkenaan amat lemah dalam
pengurusan sekolah bestari sehingga kini.
Selain itu, kata mereka, pasukan
penyelidik berkenaan juga mencadangkan supaya semua pensyarah
dilatih dalam pengajaran dan pembelajaran bestari dan mereka
kemudian perlu melatih setiap guru di sekolah berhampiran
maktab perguruan masing-masing.
Tambahan pula sehingga Disember
1998, kata mereka, hanya 30 peratus daripada pensyarah di
maktab perguruan seluruh negara mempunyai literasi komputer
(Mohammed Sani, 1999).
Dalam konteks berkenaan, mereka
berkata, latihan itu harus membabitkan semua guru dan bukan
dihadkan kepada empat mata pelajaran saja, iaitu Sains,
Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik, supaya proses
pembestarian sekolah di Malaysia dapat dipercepatkan.
Pensyarah dan juga guru
bestari berpengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran
bestari perlu digalakkan terbabit secara langsung dalam
aspek penulisan serta penyelidikan pedagogi pengajaran dan
pembelajaran bestari.
Sistem persekolahan kini
dan masa depan amat memerlukan pendekatan atau idea baru
yang berkesan dalam aspek pedagogi bestari bagi semua mata
pelajaran. Segala bahan penulisan dan penyelidikan boleh
dimuatkan dalam jurnal, diterbitkan dalam bentuk buku ataupun
dibentangkan dalam seminar pengajaran dan pembelajaran bestari
yang diadakan setiap tahun.
Fakulti Pendidikan di
semua universiti tempatan juga perlu diwajib mengendalikan
kursus bestari untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda masing-masing
kerana setakat ini, hanya maktab perguruan diberikan tanggungjawab
mengendalikan Kursus Latihan Guru Sekolah Bestari,
kata mereka.
Kertas kerja mereka dibentangkan
dalam persidangan antarabangsa The Inaugural UPSI
International Teacher Education Conference yang pertama
kali dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI).
Persidangan tiga hari bermula
semalam itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan,
Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, dan turut dihadiri Naib Canselor
UPSI, Profesor Datuk Ir Dr Mohammad Noor Salleh.
Bagi memantapkan lagi perancangan
dan pelaksanaan program sekolah bestari, Dr Norzaini dan
Dr Mohammed Sani berkata, kurikulum kursus dalam perkhidmatan
(14 minggu) latihan guru sekolah bestari yang digubal serta
dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian
Pendidikan, perlu dikaji semula supaya peserta kursus dapat
meningkatkan keyakinan mereka dalam melaksanakan kurikulum
bestari pada peringkat sekolah.
Kata mereka, antara aspek yang
perlu ditumpukan perhatian ialah latihan kejurulatihan untuk
memastikan guru mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran
dalam mereka bentuk kursus penataran pada peringkat sekolah,
negeri atau daerah supaya mereka sekurang-kurangnya mampu
mengendalikan kursus dalaman di sekolah secara lebih berkesan.
Di samping itu, guru
juga harus cekap dalam pembinaan soalan mengikut aras dan
mampu menilai kemajuan pembelajaran secara berterusan dengan
menggunakan pelbagai kaedah.
Selepas tamat menghadiri
kursus dalam perkhidmatan itu, guru sepatutnya mampu menghasilkan
pakej pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajar di sekolah.
Satu program pembinaan dan penghasilan pakej pembelajaran
perlu diadakan di sekolah dengan sokongan padu pihak pengetua.
Sekolah tidak perlu menunggu
perisian yang dijanjikan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan,
Kementerian Pendidikan, kerana menunggu inilah, masa terbuang
serta pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran bestari
akan terbantut! kata mereka.