bil.95/2002
----------------------------
BAHASA
INGGERIS DALAM SAINS DAN MATEMATIK: IMPERIALISME BAHASA
DALAM KEKALUTAN WIBAWA PEMIKIRAN MELAYU
|
1.
|
Tulisan ini bukan bermaksud untuk
mempertikaikan kepentingan bahasa Inggeris
(malah apa bahasa sekalipun) dalam proses
penjanaan wacana keilmuan. Tidak ada alasan
untuk tidak mempelajari, menguasai dan menggunakan
bahasa Inggeris sebagai alat komunikasi.
Juga sebagai perantara menjambatani tamadun
bagi menggali peradaban dunia. Namun sejak
mutakhir ini, terdapat semacam “kegilaan”
atas nama globalisasi dan perkembangan teknologi
maklumat untuk kembali menobatkan status
peranan bahasa Inggeris dalam urusan seharian
masyarakat Malaysia, sekaligus merendahkan
martabatkan bahasa Melayu. Alasan ketidakmampuan
rakyat Malaysia, khususnya di kalangan orang
Melayu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan
fasih (?) dijadikan isu oleh pihak-pihak
berkepentingan dengan memperalatkan media
arus perdana, bagi menguasai pemikiran (emosi)
orang Melayu, bertujuan untuk menghalalkan
perluasan pengaruh bahasa Inggeris, terutamanya
dalam sistem pendidikan, sehingga telah
mencetuskan cadangan untuk mengembalikan
semula sekolah aliran Inggeris, setelah
hampir 30 tahun termantapnya bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar (penghantar?) dalam
sistem pendidikan.
|
2.
|
Sensitiviti dan sentimen orang
Melayu dijolok serta digerunkan dengan mitos
ketertinggalan dalam ekonomi kerana dikatakan
tidak mahir berbahasa Inggeris (Soalnya
apakah ukuran kemahiran dan kefasihan yang
dijadikan petunjuk penanda aras? Apakah
pola penuturan penutur asli dijadikan model
dalam menentukan kemampuan berbahasa Inggeris
di kalangan orang Melayu?). Emosi orang
Melayu dilambung dengan kebimbangan tersisih
dari arus perdana pembangunan kerana tidak
menguasai bahasa Inggeris. Orang Melayu
ditakutkan dengan kehilangan daya saing
semata-mata kerana tidak berupaya berkomunikasi
dengan fasih dalam bahasa Inggeris. Tegasnya
pelbagai mitos dicernakan bagi membolehkan
bahasa Inggeris kembali menguasai sistem
pendidikan kebangsaan. Walhal ternyata,
negara-negara yang mengambil bahasa Inggeris
sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran
negara, semata-mata kerana nilai sentimen
sejarah kolonial, sedangkan mereka bukan
penutur asli kepada bahasa Inggeris, samada
di Asia, di Afrika atau di Amerika Selatan,
tidak pun mencapai tahap pembangunan yang
sewajarnya. Bahkan negara-negara tersebut
mengalami kemelut krisis pembangunan. Di
Filipina misalnya, bahasa Inggeris telah
menjadi alat yang memisahkan rakyat Filipina
dari sejarah asalnya dan kemudian telah
memisahkan pula rakyat Filipina yang berpendidikan
daripada keseluruhan rakyat Filipina.
Sebaliknya, kepesatan pembangunan ekonomi
Malaysia dicapai setelah bahasa Melayu digunakan
secara meluas dalam sistem pendidikan negara.
Pengalaman Jepun, Korea Selatan, Taiwan
dan Thailand membuktikan bahawa bahasa Ibunda
itulah yang menjadi pemangkin kepada kemajuan
serta keterserlahan ketrampilan sesuatu
bangsa.
|
3.
|
Berdasarkan realiti sosial yang
wujud, cabaran utama terhadap wibawa bahasa
Melayu, bukannya disebabkan oleh kedudukan
bahasa Inggeris dalam masyarakat Malaysia.
Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua ternyata
telah diterima oleh semua pihak. Hakikatnya kedudukan serta fungsi
bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sewajarnya
difahami oleh semua pihak. Rata-rata rakyat
Malaysia mempunyai kemampuan berinteraksi
dalam bahasa Inggeris, berdasarkan keperluan
serta keutamaan situasi. Apa yang menjadi
hiruk pikuk tentang kewajaran mengembalikan
status utama bahasa Inggeris ke dalam masyarakat
Malaysia, berpunca daripada ketidaksabaran
sesetengah elit politik untuk mengejar pembangunan
ekonomi dengan matlamat untuk menjadi negara
industri yang gah. Juga, disebabkan adanya
sesetengah elit politik yang hilang kepercayaan
terhadap wawasan bahasa Melayu dalam mendokong
kemajuan sains dan teknologi, atas cita-citanya
untuk menandingi negera maju dalam serba
serbi kemajuan sains dan teknologi, tanpa
mengambil kira sejarah usaha negara-negara
terbabit dalam memajukan negara mereka sehingga
memakan masa ratusan tahun. Apakah Malaysia
dengan 45 tahun merdeka diharapkan dapat
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan negara-negara tersebut? (Tidakkah
realiti ini akan mengundang bencana kepada
kelangsungan hidup bangsa? Akhirnya menang
sorak kampung tergadai) Harus diingat, di
kalangan elit politik berkuasa, ternyata
pengucapan bahasa Melayu mereka adalah amat
dhaif. Apa yang wujud hakikatnya adalah
ketidakmampuan mereka berbahasa Melayu tinggi,
bukan disebabkan oleh ketidakmampuan bahasa
Melayu sebagai perantara pengucapan. Sebaliknya
golongan ini lebih gah dengan bahasa Inggeris!
Maka yang mencabar bahasa Melayu sebenarnya
adalah golongan elit politik, khususnya
mereka yang terdidik serta hidup dalam persekitaran
zaman penjajahan. Hakikatnya mereka ini
mempunyai nilai sentimental serta nostalgia
kolonialisme. Secara tidak langsung mereka
inilah yang mencetuskan kembali imperialisme
bahasa dengan berselindung di sebalik bahasa
Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan
bahasa teknologi maklumat. Golongan inilah
yang menjadi dalang disebalik penciptaan
metos bahasa bagi memetoskan pemikiran orang
Melayu terhadap bahasa Melayu. Jelasnya,
penghakisan maruah bahasa Melayu pada hakikatnya
adalah berpunca dari pemikiran Imperialisme
bahasa di kalangan elit berkuasa. Rata-rata
elit berkuasa melihat bahasa Melayu hanya
sebagai alat politik untuk tujuan kempen
politik.
|
4.
|
Jadi tumpuan kita ialah bukan peralihan
balik kepada sekolah Inggeris, sebaliknya
untuk mengajar bahasa Inggeris dengan lebih
berkesan”. Ternyata kenyataan ini
lebih bersifat andaian semata-mata, bukan
didorong oleh fakta yang konkrit. Satu kenyataan
yang terbit hasil persekitaran terpisah
dari akal budi bangsa serta tidak mengakar
pada realiti sejarah, juga terputus dari
adab. Unsur-unsur ini memperlihatkan wujudnya
pengaruh pemikiran kolonial di negara ini.
Umumnya, kenyataan ini mempunyai implikasi
tersendiri ke atas realiti bahasa Melayu;
|
|
4.1
|
Secara
tersirat menafikan kemampuan bahasa Melayu
sebagai bahasa saintifik dalam mengungkap
pemikiran operasi Matematik serta Sains,
sebagaimana yang sering diperkatakan oleh
Dr. Mahathir Mohamad. Sedangkan realitinya
bahasa Melayu telah berjaya menerobosi pelbagai
bidang disiplin ilmu matematik dan sains
dengan penyelidikan-penyelidikan yang meyakinkan.
|
|
4.2
|
Wujudnya sindrom pengkerdilan,
pembonsaian serta usaha pencantasan bahasa
Melayu oleh kalangan eliti pemerintah.
|
|
4.3
|
Satu
penafian terancang terhadap kewibawaan Dewan
Bahasa dan Pustaka dalam menyediakan istilah-istilah
Sains dan Matematik. Satu usaha yang dilakukan
sejak begitu lama dengan penggemblengan
seluruh tenaga pakar dalam kedua-dua bidang
tersebut serta tentunya melibatkan perbelanjaan
yang bukan sedikit, pada akhirnya disia-siakan
begitu sahaja. Satu pemikiran yang kurang
beradab terhadap proses pembangunan budaya
bangsa. Realiti ini juga memperlihatkan
penghakisan pengiktirafan oleh elit memerintah
terhadap kepakaran ahli-ahli matematik dan
sains tempatan, khususnya di kalangan bangsa
Melayu.
|
|
4.4
|
Satu pelanggaran nyata terhadap
semangat Akta Pendidikan
1996
(Akta 550).
|
|
|
4.4.1
|
Keputusan untuk menukar bahasa
pengantar subjek matematik dan sains adalah
berasaskan kehendak pihak tertentu, bukannya
atas rujukan nasihat oleh Majlis Penasihat
Pendidikan Kebangsaan sebagaimana yang terkandung
dalam Perkara 10(1), 11(1) dan 11(2) Akta
550 berkaitan. Apakah dalam hal ini Majlis
Tertinggi UMNO telah diberikan kuasa keanggotaan
Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan?
|
|
|
4.4.2
|
Terdapat unsur ketidakpekaan (atau
sememangnya sengaja tidak dipedulikan) akan
kehendak peruntukan 17(1) Akta Pendidikan
1996 (Akta 550) bersabit dengan penggunaan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar
utama di semua institusi pendidikan dalam
Sistem Pendidikan Kebangsaan. Berdasarkan
kepada tafsiran Bahagian 1(2) Akta Pendidikan
1996 (Akta 550), “bahasa kebangsaan”
didefinisikan sebagai bahasa Melayu sebagaimana
yang ditentukan dalam perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan.
|
|
|
4.4.3
|
Aspek
lain memperlihatkan wujudnya tindakan penafian
terhadap Subseksyen 18(2) yang memperihalkan
komponen-komponen mata pelajaran teras Kurikulum
Kebangsaan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan,
antaranya termasuk mata pelajaran sains
dan matematik. Merujuk kepada Perkara 17(1),
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) “Bahasa
kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar
utama di semua institusi pendidikan dalam
Sistem Pendidikan Kebangsaan…”
Berdasarkan semangat Akta Pendidikan 1996
(Akta 550) ini maka kedua-dua mata pelajaran
sains dan matematik hendaklah diajar dengan
menggunakan bahasa Melayu. Cadangan untuk
menukar bahasa pengantar kedua-dua subjek
tersebut jelas merupakan satu penyelewengan
dari kehendak Akta Pendidikan 1996 (Akta
550). Persoalannya apakah tujuan sesuatu
peraturan, undang-undang atau akta digubal,
adakah untuk tidak dipatuhi?
|
|
|
4.4.4
|
Terdapat kecenderungan untuk menurunkan
taraf ekonomi serta pembatasan peranan bahasa
Melayu dalam proses pembentukan budaya kependidikan.
Wujud tanda-tanda untuk menyudutkan bahasa
Melayu dalam bidang-bidang yang berkait
dengan kehidupan tradisional Melayu, pada
masa yang sama menyisihkan bahasa Melayu
dari berperanan membentuk tamadun tinggi
bangsa.
|
5.
|
Hakikatnya penggunaan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar subjek sains dan
matematik, mempunyai impak tersendiri ke
atas pencapaian dalam peperiksaan awam.
Apapun keadaannya, penggunaan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar dalam kedua-dua
subjek tersebut tidak akan menjamin wujudnya
peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di
kalangan para pelajar. Penggunaan bahasa
pengantar dalam penyampaian proses pengajaran
dan pembelajaran sains dan matematik dengan
penguasaan bahasa Inggeris adalah dua aspek
yang berbeza. Harus ditegaskan bahawa;
|
|
5.1
|
Mata
pelajaran Sains dan Matematik umumnya tidak
melibatkan proses komunikasi berbahasa yang
aktif, sebaliknya kedua-dua subjek ini lebih
terarah kepada proses penaakulan, pencerakinan,
pemerian dan ujikaji yang tidak melibatkan
proses penggunaan bahasa secara proaktif.
Situasi ini tentunya bukan jaminan kepada
penguasaan kefasihan berbahasa Inggeris.
Jika diteliti secara khusus, maka subjek-subjek
Sains Sosial lebih berpotensi dalam merangsang
penguasaan penggunaan bahasa Inggeris secara
berkesan, keadaan ini disebabkan kebanyakan subjek sains,
merupakan subjek-subjek yang berkait dengan
proses komunikasi dan penyampian idea yang
konkrit melalui penulisan, juga atas sifat
bahasa Inggeris sebagai kelompok dalam disiplin
sains sosial. Oleh itu, tindakan menjadikan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
Sains dan Matematik, merupakan satu usaha
terancang untuk memandulkan bahasa Melayu.
|
|
5.2
|
Tindakan menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pegantar Sains dan Matematik
secara tidak langsung merupakan satu cubaan
untuk memisahkan pemikiran serta falsafah
Sains dan Matematik sebagai sebahagian dari
sumber budaya Melayu dan penjana minda peradaban
tinggi Melayu. Harus disedari kekreatifan
bahasa Melayu amat bergantung kepada penggunaan
serius dalam disiplin-disiplin ilmu saintifik
yang berfokus sejagat serta merentasi sempadan
pemikiran, kerana dengan ini membolehkan
bahasa Melayu berinteraksi secara aktif dengan
bahasa-bahasa besar dunia dalam konteks
pengasosiasian istilah dan
pembentukan wacana.
Keadaan
ini
sekaligus
memperkukuhkan
|
|
|
tradisi budaya Melayu dalam jaringan
pemikiran tinggi saintifik. Situasi inilah
yang sedang berlaku terhadap bahasa Melayu
kini, khususnya, dengan keupayaannya melahirkan
ramai saintis dan para matematikwan bertaraf
dunia. Merentap bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar Sains dan Matematik, akan meluluhkan
nilai guna bahasa Melayu, seterusnya membantutkan
perspesktif budaya penutur bahasa Melayu.
Keadaan ini memberi kesan psikologi kepada
pembangunan serta kemajuan bangsa Melayu
dalam merekabentuk peradaban tinggi. Harus
ditegaskan kemajuan dan pembangunan yang
dialami di Malaysia kini adalah hasil dari
peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu.
|
Jadual 1 Prestasi pelajar SPM
Bumiputera dalam
mata
pelajaran
Sains
dan Matematik, 1999 dan 2000
|
Subjek
|
Tahun
|
Bil. Calon
|
Gred
(A1-C6)
|
Pencapaian penguasaanpurata
|
Matematik
|
1999
|
194,220
|
33.2%
|
36.0%
|
2000
|
211,268
|
33.6%
|
Matematik Tambahan
|
1999
|
50,020
|
48.1%
|
2000
|
67,065
|
29.2%
|
Fizik
|
1999
|
45,476
|
37.8%
|
41.5%
|
2000
|
49,279
|
41.2%
|
Kimia
|
1999
|
47,185
|
35.1%
|
2000
|
52,247
|
35.1%
|
Biologi
|
1999
|
31,489
|
49.8%
|
2000
|
30,540
|
49.9%
|
6.
|
Prestasi pencapaian pelajar-pelajar
Bumiputera dalam subjek-subjek sains dan
matematik, umumnya tidak begitu memberangsangkan.
Berdasarkan perangkaan Jadual 1, memperjelaskan
kekurangan daya saing para pelajar Bumiputera
dalam kedua-dua subjek sains dan matematik.
Bagi subjek-subjek matematik (matematik
dan matematik tambahan) pencapaian gred
A1 hingga C6, bagi tahun 1999 hingga 2000
adalah pada tahap 36.0%. Manakala bagi subjek
Sains (fizik, kimia dan biologi) prestasi
bagi tahun 1999 hingga 2000, menunjukkan
pencapaian gred A1 hingga C6 adalah dalam
lingkungan 41.5%. Secara keseluruhannya,
prestasi kebolehan pencapaian pelajar-pelajar
Bumiputera dalam kedua-dua disiplin mata
pelajaran Sains dan Matematik adalah di
paras 38.8%, satu pencapaian yang boleh
dianggap di bawah tahap keupayaan daya saing.
Tegasnya dibawah tahap penguasaan minimum.
Keadaan ini berpunca dari realiti sosial
masyarakat Melayu yang kurang dibudayakan
dengan pemikiran sains dan kurang diasosiasikan
dengan praktis matematik. Persoalannya apakah
dengan kedudukan sedia wujud kurang daya
saing dalam kedua-dua mata pelajaran ini,
pelajar Melayu akan terus diperlemahkan
lagi dengan pengajaran kedua-dua mata pelajaran
tersebut dalam bahasa Inggeris? Apakah tidak
mungkin para pelajar Melayu akan terus terbeban
untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran
tersebut. Apakah tidak mungkin para pelajar
Melayu terus kehilangan minat untuk mempelajari
kedua-dua mata pelajaran
|
|
tersebut? Harus di ingat dengan
mengajar kedua-dua subjek tersebut, menggunakan
pengantar bahasa Inggeris, para pelajar
terpaksa berdepan dengan permasalahan a)
menguasai istilah-istilah, konsep-konsep,
formula-formula, falsafah, operasi sains
dan matematik yang lebih kompleks kerana
kedua-dua mata pelajaran tersebut menjadi
terasing dalam realiti sosial Melayu b)
pemahaman dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
berpunca daripada pemindahan kod serta peralihan
isyarat minda yang mengakibatkan para pelajar
terpaksa menggunakan secara proaktif keseluruhan
keupayaan mendengar, melihat, mengingat
serta pelarasan penstoran yang mengakibatkan
berlakunya tekanan serius dalam proses pengkodan
pembelajaran. Sedangkan berpengantarkan
bahasa Melayu pun para pelajar memperlihatkan
unsur-unsur pesimistik terhadap kedua-dua
subjek tersebut. Apakah ada jaminan bahawa
dengan berpengatarkan bahasa Inggeris para
pelajar akan bersikap optimistik terhadap
sains dan matematik? Apakah ada jaminan
bahawa berpengantarkan bahasa Inggeris,
maka prestasi pencapaian para pelajar Melayu
akan terus melonjak melebihi paras pencapaian
minimun serta melampaui garis pencapaian
optimum? Tidakkah berkemungkinan para pelajar
Melayu akan terus terpinggir dan kita kembali
semula ke alam senario era sebelum 1967?
|
|
|
|
|