Guru berkualiti - Kuasai kemahiran
dan pengetahuan
TARIKH 16 Mei setiap tahun
merupakan hari bersejarah yang memberikan pengiktirafan
buat warga pendidik bagi memperingati jasa-jasa dan pengorbanan
mereka dalam dunia pendidikan.
Tema perayaan Hari Guru tahun
ini ialah `Guru berkualiti aspirasi negara' merupakan rentetan
tema-tema lalu yang menjadi pendorong dan motivasi bagi
setiap warga pendidik dalam meneruskan agenda Falsafah Pendidikan
Negara.
Apakah yang dimaksudkan dengan
guru berkualiti? Apakah penekanan yang patut dilakukan dalam
usaha melahirkan guru yang berkualiti dan berdaya saing?
Kenyataan yang dibuat oleh
Holmes Group mengatakan kita tidak boleh meningkatkan kualiti
pendidikan di sekolah tanpa memperbaiki kualiti guru, membuktikan
betapa beratnya tugas dan tanggungjawab seseorang guru bagi
meningkatkan kualiti dan prestasi sesebuah sekolah.
Guru adalah arkitek sosial
yang mempunyai agenda melaksanakan proses pendidikan secara
berkesan bagi melahirkan pelajar yang memiliki jati diri,
berilmu dan bertakwa.
Dalam proses membina agenda
negara ini, guru seharusnya berjiwa besar dan mampan kerana
tugas ini adalah sangat kompleks dan mencabar warga guru.
Tanpa guru yang berkualiti,
adalah sukar untuk menjayakan sebarang pembangunan dan pembentukan
disiplin seperti yang dirancangkan.
Guru-guru juga mesti sedar
betapa pentingnya usaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang
dalam kehidupan yang semakin mencabar ini.
Jadi, hasrat untuk melahirkan
guru yang berkualiti mestilah dilakukan dengan cara yang
bersungguh-sungguh seperti menghantar guru menyertai seminar,
forum, pembentangan kertas kerja dan lain-lain program baik
di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Kementerian Pendidikan juga
seharusnya mempunyai wawasan dan berkeupayaan tinggi dalam
menghasilkan produk-produk guru yang berkemampuan dan berkualiti.
Dengan adanya guru-guru yang
berkualiti, ia merupakan aset yang penting kepada sesebuah
negara dan menjadi aspirasi ke arah melahirkan pelajar yang
cemerlang, menepati hasrat negara bagi mewujudkan sebuah
negara yang maju menjelang 2020.
Guru berkualiti adalah mereka
yang dapat dan mampu menguasai serta mereaisasikan segala
kemahiran, pengetahuan dan kepakaran yang ada pada diri
mereka sebagai alat meningkatkan keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran di sekolah.
Salah satu strategi untuk melahirkan
guru yang berkualiti ialah dengan meningkatkan keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru-guru juga perlu diperkenalkan
dengan teknik-teknik pengajaran dan terkini yang berkesan
serta menarik minat pelajar. Dengan ini, pelajar berasa
seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar,
meningkatkan kemahiran dan aspek kognitif serta manipulasi
mereka serta dapat melakukan aktiviti yang berkaitan dengan
proses pengajaran yang telah dijalani.
Selanjutnya, pelajar lulus
cemerlang dalam peperiksaan yang dijalani.
Ini bermakna, guru perlu memiliki
kompetensi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam
usaha melahirkan pelajar yang memiliki pengetahuan, kemahiran
dan sikap yang diperlukan untuk pembangunan negara.
Kajian diperlukan bagi meninjau
kompetensi guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dalam usaha meningkatkan prestasi pelajar serta meningkatkan
keupayaan mereka menangani cabaran serta perubahan yang
pesat dalam dunia pendidikan negara.
Untuk melahirkan guru berkualiti,
mereka mestilah diberikan peluang seluas-luasnya untuk meningkat
dan mengubah dir mereka ke arah yang lebih positif terhadap
kualiti kerja seperti melanjutkan pelajaran dalam bidang
yang menjadi kepakaran mereka.
Sikap positif terhadap kualiti
kerja ini perlu dibentuk semoga usaha meningkatkan kualiti
akan menjadi budaya kerja.
Dewasa ini, kejutan dan ancaman
perubahan bukan lagi merupakan satu kemungkinan yang masih
jauh. Sebaiknya, ia adalah satu realiti yang nyata.
Semakin hari, kejutan perubahan
mencabar kejituan masyarakat dan negara.
Oleh itu, keperluan kepada
guru berkualiti adalah merupakan pembentukan penting bagi
melahirkan pelajar cemerlang yang menjadi aspirasi negara
kita.
Kiriman:
Mohd. Noor Mohd. Zain
Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Sultan Yahya Petra 1,
Kuala Krai, Kelantan.