30 IPTS Bumiputera Gulung
Tikar
KIRA-kira 30 buah institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS) milik bumiputera dijangka
`gulung tikar' dalam tempoh terdekat ini berikutan masalah
kewangan yang dihadapi oleh institusi berkenaan.
Lebih membimbangkan penutupan
IPTS tersebut dijangka menjejaskan masa depan pendidikan
kira-kira 8,000 pelajar bumiputera yang masih menuntut di
institusi berkenaan.
Presiden Persatuan Kebangsaan
IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Datuk Dr. Ismail Md. Salleh
berkata, kedudukan kewangan yang dihadapi oleh IPTS itu
berada pada tahap `tenat'.
Masalah kewangan itu wujud
setelah sebahagian besar pelajar bumiputera menolak tawaran
kemasukan ke IPTS berkenaan pada sesi ini kerana tidak mampu
membiayai kos sara hidup yang tinggi.
``Pada sesi kali ini sahaja
kira-kira 80 peratus pelajar bumiputera yang mendapat tawaran
ke IPTS terpaksa menolaknya kerana pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM5,000 tidak
mencukupi berbanding kos sara hidup sebenar sebanyak RM9,000,''
katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, `kehilangan' pelajar-pelajar
berkenaan telah menjejaskan sumber utama kewangan IPTS berkenaan
yang bergantung sepenuhnya kepada yuran pengajian pelajar.
Kekurangan sumber kewangan
itu juga katanya, menyebabkan IPTS berkenaan tidak mampu
membayar sewa bangunan dan gaji pensyarah masing-masing.
Masalah itu tambahnya lagi,
ternyata semakin meruncing kerana telah ada beberapa IPTS
yang telah pun menghentikan operasinya.
``Kita tidak tahu berapa jumlahnya,
tetapi memang ada yang telah menghentikan operasi berpunca
daripada masalah kewangan,'' katanya.
Pada masa ini, terdapat 120
IPTS bumiputera di seluruh negara dengan kira-kira 60,000
pelajar bumiputera dan daripada jumlah itu sebanyak 20,000
pelajar mendapat tajaan daripada pelbagai pihak termasuk
PTPTN.
Jumlah keseluruhan IPTS milik
bumiputera dan bukan bumiputera di Malaysia pada masa kini
pula ialah 666 buah dengan jumlah pelajar 232,069 orang.
IPTS mula berkembang di negara
ini sejak Akta Pendidikan IPTS 1996 diluluskan dan sejak
itu pertumbuhannya begitu pesat.
Misalnya pada tahun 1999 dianggarkan
terdapat kira-kira 400 buah IPTS dan dalam tempoh tidak
sampai tiga tahun, jumlah itu melonjak kepada 666 buah.
Mengulas lanjut mengenai masalah
kekurangan pelajar di IPTS bumiputera, Ismail berkata, syarat-syarat
kemasukan yang telah diperketatkan oleh Kementerian Pendidikan
termasuk memperoleh keputusan yang lebih baik turut menjejaskan
kemasukan pelajar itu.
Penutupan IPTS itu juga katanya,
turut berpunca daripada pengguguran program-program pradiploma
yang sebelum ini dijalankan oleh IPTS dengan kerjasama beberapa
institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
``Kerjasama itu merupakan salah
satu punca kewangan IPTS untuk menampung kos-kos lain,''
katanya.
Selain punca kewangan yang
semakin berkurangan, beliau berkata, IPTS berkenaan juga
tidak mampu menanggung kos caj setiap kursus yang terpaksa
dibayar kepada Lembaga Akreditasi Negara (LAN).
``Bagi satu kursus IPTS, pelajar
terpaksa membayar antara RM10,000 sehingga RM15,000 setiap
tiga tahun yang mana ini juga membebankan mereka,'' katanya.
Beliau berkata, kebanyakan
IPTS yang terpaksa ditutup itu mempunyai jumlah pelajar
kurang daripada 500 orang.
``IPTS ini dikendalikan secara
persendirian dan kebanyakannya beroperasi atas keperluan
tanggungjawab sosial,'' katanya.
Beliau berkata, penutupan lebih
banyak IPTS bumiputera akan menjejaskan peluang pelajar-pelajar
bumiputera untuk melanjutkan pengajian dan mengikuti kursus-kursus
jangka pendek.
Ini kerana menurutnya, kursus-kursus
jangka pendek kebanyakannya dijalankan oleh IPTS bumiputera
berbanding IPTS yang dikuasai oleh bukan bumiputera yang
menumpukan program-program kerjasama dengan universiti asing.