Bahasa
Jiwa Bangsa?
Sehinggalah saya terjumpa laman web SuaraAnum.com yang sedikit sebanyak memaksa diri saya memerhati sikap diri ini terhadap bahasa yang sudah lama tidak saya gunakan secara bertulis dan lisan. (Ini tidak termasuk bahasa pasar yang saya gunakan ketika memesan makanan di warung mamak). Saya amat berbangga dengan sikap keMalaysiaan yang amat ketara di kalangan saudara Uthaya serta CK Tan. Masakan boleh kita melupai bahasa yang sudah sebati dengan jiwa dan raga kita selama lebih kurang 17 tahun - dari kecil-kecil lagi kita sudah bertutur menggunakannya walaupun ketika itu tatabahasa kita boleh dipertikaikan. Masih diingati semasa di bangku sekolah lagi - bahasa - tidak kira Bahasa Malaysia ataupun Bahasa Inggeris menjadi subjek kegemaran saya. Mungkin sebahagian besar lahir daripada kefasihan bertutur, selainnya mungkin keinginan menjadi penulis suatu hari nanti. Dorongan yang diterima daripada guru-guru bahasa serta ibu bapa juga antara faktor lainnya. Ingin meraih kejayaan akademik termasuk juga dalam senarai faktor. Itulah yang mempengaruhi saya membaca suratkhabar dan pelbagai majalah dalam bahasa kebangsaan kita, kerana hasilnya ialah beberapa butir A terpampang besar dalam kad laporan tahunan. Kemegahan yang sukar dilafazkan timbul di sanubari. Saya tidak faham mengapa ramai rakan sekelas tidak sukakan matapelajaran Bahasa (Malaysia) dan Bahasa Inggeris. Kebencian terhadap Bahasa Inggeris pernah saya dengar - dan setahu saya, yang fasih bertutur bahasa orang putih dicemuh. Mengada-ngada, kata mereka. Eksyen, kata yang selainnya. Kata-kata pedas sedemikian tidak asing bagi saya ketika di bangku sekolah. Cuma saya berpura-pura tidak mendengarnya. Bukankah mempelajari bahasa lebih senang daripada menghafal formula matematik dan jenis-jenis bahan kimia dalam matapelajaran sains? Semasa di sekolah menengah, saya amat merasai bahang dengki ini kerana bukan sahaja dapat saya menyuarakan pendapat saya dengan mudah dalam Bahasa Inggeris malah Bahasa Malaysia saya kuasai juga. Penyertaan saya dalam kelab Bahasa serta debat antara sekolah meningkatkan lagi penguasaan bahasa. Malangnya, tiada seorangpun yang dengki sebegitu dengki ingin mencabari saya atau ingin mendahului saya. Pernah saya mengarya cerpen menggunakan Bahasa Malaysia. Pernah saya bersajak dan pernah saya meraih A dalam Bahasa Malaysia ketika di peringkat STPM. Ketika berbual dengan rakan Melayu saya suatu petang di asrama kampus, saya merasa amat bangga apabila beliau memuji, "Wah, kalau cuma dengar suara you, ingatkan orang Melayu!" Tetapi zaman berbangga-bangga serta dipuji sudah jauh ditinggalkan kerana sudah lama saya tidak berbual menggunakan Bahasa Malaysia. Ketika menonton Majalah Tiga yang disiar di TV3, barulah timbul nostalgia kerana rancangan ini menjadi kegemaran ketika saya masih belajar. Pisau yang tidak diasah, lama kelamaan tumpul jua apatah lagi bahasa yang bersifat dinamik. Sehingga kini. Apabila direnungi dengan mendalam, benar kata Uthaya. Bukankah kita orang Malaysia? Tanpa lingua franca ini, sukar dapat kita menyelami buah fikiran dan rasa hati masyarakat pelbagai kaum. Tanpa penyatu bangsa ini, saya rasa tidak dapat saya mengembangkan pengalaman hidup saya. Ya, masih saya ingat semasa di Tingkatan Enam, Bahasa Malaysia tiba-tiba menjadi Bahasa Melayu. Adakah pihak-pihak tertentu merasakan ada baiknya untuk mengkhaskan bahasa ini dan mengenepikan yang lain dalam usaha mereka "meMelayukan" bahasa dan menganggapnya karun orang Melayu. Saya juga anak Malaysia. Sekiranya Bahasa Melayu dikatakan bahasa orang Melayu, bahasa apakah diperuntukkan kepada anak-anak Malaysia bukan Melayu yang lain.
|