Bahasa
Jiwa Bangsa
Bahasa Melayu secara khusus ialah salah satu dialek daripada beratus dialek lain yang terdapat di Nusantara (alam Melayu). Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sama ada di Indonesia, Malaysia mahupun di Brunei bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya. Ia dipilih terutama faktor sejarahnya, iaitu bahasa yang sudah dikenali dan digunakan sejak zaman-berzaman. Kita beruntung kerana bahasa Melayu yang tumbuh di alam Melayu ini dapat berkembang subur seperti yang kita lihat sekarang. Walau bagaimanapun, bahasa Melayu tidaklah tumbuh dan berkembang begitu sahaja. Ia mengalami sejarah yang panjang yang perlu kita ketahui terutama oleh generasi muda. Sejarah bahasa bukan sahaja bertujuan merakam peristiwa yang berlaku terhadap bahasa itu sendiri tetapi juga perlu agar kita menghargai, menyayangi, memelihara, mengkaji, dan menggunakannya dengan baik dan sempurna. Buku Sejarah pertumbuhan bahasa Melayu ini cuba memaparkan secara sederhana pertumbuhan bahasa Melayu sejak awal hingga penghujung abad ke-19. Buku ini sengaja mengelak daripada penzamanan kerana agak sukar membezakan satu zaman dengan zaman lain dalam bahasa. Bahasa tumbuh dan berkembang mengikut keadaan masyarakat dan pengaruh yang datang dari luar. Walaupun berlaku perubahan terhadap bahasa, tetapi agak sukar menentukan masa yang tepat terhadap perubahan tersebut.
|