KESEMUA guru Sekolah Wawasan bersetuju dengan penubuhan wadah pendidikan
tiga komponen aliran di dalam satu kawasan.
Kajian kes di Sekolah Wawasan di Telok Sengat, Kota Tinggi Johor oleh
dua pensyarah Fakulti Pendidikan (Pengurusan Pendidikan), Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) mendapati kaedah-kaedah pengajaran guru-guru di Sekolah
Wawasan dalam subjek-subjek tertentu boleh ditingkatkan melalui kerjasama
ketiga-tiga aliran berkenaan.
Kajian Mohd. Izham Mohd. Hamzah dan Jamalullail Abdul Wahab ke atas
22 guru di sekolah berkenaan bertujuan mengenal pasti lapan parameter yang
berkaitan bidang pengajaran dan pembelajaran, serta tanggapan warganya
kepada gagasan sekolah berkenaan.
Kajian dijalankan secara tinjauan. Semua guru di Sekolah Wawasan iaitu
22 orang dijadikan responden kajian.
Lapan tujuan tersebut adalah untuk mengenal pasti:
1. Sejauh mana keperluan penubuhan Sekolah Wawasan daripada persepsi
guru-guru.
2. Matlamat penubuhan Sekolah Wawasan daripada persepsi guru-guru.
3. Sejauh mana keperluan mengadakan kerjasama dalam pembelajaran antara
guru-guru untuk meningkatkan keberkesanan kaedah pengajaran guru dan pencapaian
akademik pelajar di Sekolah Wawasan.
4. Jenis kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran antara guru-guru
untuk meningkatkan keberkesanan kaedah pengajaran guru dan pencapaian akademik
murid di Sekolah Wawasan.
5. Sejauh mana keperluan mengadakan kerjasama dalam pembelajaran antara
para pelajar untuk meningkatkan keberkesanan kaedah pembelajaran dan pencapaian
akademik pelajar di Sekolah Wawasan.
6. Jenis kerjasama dalam pembelajaran antara para pelajar untuk meningkatkan
keberkesanan kaedah pembelajaran dan pencapaian akademik pelajar di Sekolah
Wawasan.
7. Sejauh mana keperluan mengadakan kerjasama dalam bidang kokurikulum
di Sekolah Wawasan.
8. Jenis kerjasama dalam bidang kokurikulum di Sekolah Wawasan.
Menurut kertas kerja itu, Sekolah Wawasan mempunyai beberapa ciri yang
istimewa seperti berikut:
1. Setiap aliran diketuai oleh guru besar dengan salah seorang daripada
mereka bertindak sebagai penyelaras di antara aliran-aliran tersebut.
2. Sekolah berkenaan mempunyai kemudahan bersama seperti padang, kantin,
tandas, bilik guru, perpustakaan, bilik sains, kemahiran hidup, bilik tayangan,
bilik mesyuarat, stor pendidikan jasmani, pejabat dan lain-lain.
3. Pelaksanaan secara bersama aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan
mingguan, kegiatan kokurikulum, temasya sukan tahunan, hari penyampaian
hadiah, hari kantin dan sebagainya.
4. Bahasa rasmi di luar bilik darjah ialah bahasa Melayu.
Kajian tanggapan di kalangan guru-guru terhadap penubuhan Sekolah Wawasan
boleh disimpulkan seperti pada rajah 1.
Kajian mendapati seramai 20 orang guru (90.9 peratus) berpendapat pencapaian
akademik pelajar di tiga aliran itu boleh ditingkatkan melalui kerjasama
pengajaran dan pembelajaran untuk mata pelajaran tertentu.
Jadual lihat (Rajah 2) pula menunjukkan pelbagai jenis kerjasama dalam
pengajaran dan pembelajaran bagi subjek-subjek tertentu mengikut tanggapan
responden.
~Utusan Malaysia 17.11.2000
|