.~Isu:11
Takmilah : Teori Baru Kritikan Sastera Tempatan
                   
                  Teori Takmilah merupakan perkembangan baru dalam dunia
                  kritikan sastera tempatan. Ia menjadi pendekatan alternatif di
                  tengah-tengah keghairahan teori sastera dari Barat yang
                  menguasai dunia sastera tempatan hari ini, berasaskan
                  nilai-nilai estetika daripada al-Quran dan al-hadis.

                  Hasil daripada pengamatan teliti Prof. Madya Dr. Shafei Abu
                  Bakar bersumberkan nilai-nilai estetika ini dan falsafah Islam
                  yang berprinsipkan tauhid, teori sastera ini direalisasikan.

                  Dari aspek penerapannya, takmilah mengarah kepada
                  pemahaman bahawa sesebuah karya sastera merupakan salah
                  satu unsur seni yang menekankan kesempurnaan serta
                  keindahan.

                  Ia secara umumnya didasarkan kepada sekurang-kurangnya
                  tujuh prinsip utama iaitu kesempurnaan dari aspek ketuhanan
                  (kamal), kerasulan (kamil), keislaman (akmal), prinsip ilmu
                  (takamul), kesusasteraan (takmilah), pengkarya (istikmal) dan
                  insan (kamil).

                  Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof.
                  Madya Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan melihat teori takmilah
                  ini memberi sumbangan yang begitu penting dalam asas
                  kritikan sastera tempatan dalam lingkup epistemologi Islam.

                  Menurutnya, secara takmilah, seseorang pengarang dan karya
                  sastera yang sempurna menggabungkan unsur-unsur tersebut
                  membentuk satu karya yang mampu mewadahi khalayak
                  Islamnya sendiri.

                  "Pengindahan dalam sastera untuk mencapai takmilah
                  melibatkan semua aspek yang merangkumi penghasilan
                  sesebuah karya. Ia merangkumi bentuk, isi, tema, struktur,
                  teknik, watak, perwatakan, sudut pandang, nilai, mesej,
                  ideologi dan sebagainya.

                  "Bagi karya-karya berbentuk puisi pula terdapat aspek-aspek
                  khusus yang mencirikan kepuisian yang meliputi estetika,
                  simile, metafora, alegori, personafikasi, simbol, citra, hiperbola,
                  aliterasi, asonasi, pembayang dan maksud,'' katanya.

                  Di sisi lain, seseorang pengarang harus bertanggungjawab
                  menyempurnakan hasil-hasil kreatif mereka dengan nilai-nilai
                  estetika seni selaras dengan kehendak dan
                  kesempurnaan-Nya.

                  Dengan mengambil contoh Puisi Anbiya karya Shamsuddin
                  Jaafar, Mohd. Mokhtar melihat ianya begitu jelas memaparkan
                  nilai-nilai takmilah yang berkait rapat kisah para nabi (ulama
                  penerus ajaran Junjungan Besar).

                  Keagungan Allah juga dipancarkan oleh penyair dalam
                  peristiwa pembinaan kapal ketika Nabi Nuh ditentang oleh
                  pengikut-pengikut yang ingkar terhadap perintah-Nya.

                  Kebesaran dan Keagungan-Nya dipaparkan oleh penyair
                  dengan begitu teliti dan jelas menerusi kisah-kisah ini,
                  termasuk pelbagai peristiwa sekitar Nabi Ibrahim a.s, Nabi
                  Muhammad s.a.w dan lain-lain, sekali gus mengajak manusia
                  merenungi serta menghayati pengajaran daripada kisah-kisah
                  ini.

                  "Jelas, segala yang diungkapkan oleh penyair dalam Puisi
                  Anbiya mengarah kepad orientasi keislaman iaitu berhubung
                  mengenai ketuhanan, akidah nabi dan Rasul. Ini sesuai dengan
                  teori sastera Islam itu sendiri dari segi keindahan penyampaian
                  melalui sastera dan indah dari segi nilai yang menyempurnakan
                  pegangan keislaman serta falsafah tauhidnya.

                  "Segala-galanya dipaparkan semula oleh penyair dalam bentuk
                  puisi untuk 'mentakmilahkan' manusia agar kehidupan manusia
                  akan lebih sempurna,'' tambahnya.

                  Jelasnya, penyair turut menampilkan unsur-unsur keindahan
                  dalam pelbagai aspek termasuklah unsur bunyi yang biasanya
                  berulang dan persamaan bunyi untuk menyempurnakan
                  bentuk, bunyi dan makna yang dianggap indah.

                  Antara lain dalam Puisi Anbiya diperlihatkan menerusi teknik
                  perulangan yang sesungguhnya banyak ditemukan di
                  al-Quran.

                  "Shafei Abu Bakar sesungguhnya berjaya melahirkan satu
                  kerangka teori yang lengkap dan jelas dengan meliputi definisi,
                  konsep, falsafah, prinsip dan dikemukakan contoh-contoh
                  karya yang boleh diaplikasi dengan teori tersebut.

                  "Teori yang dikemukakan ini (takmilah) ternyata telah
                  mendapat tempat kepada peneliti sastera dan pencinta teori.
                  Namun demikian, masa sahaja dapat menentukan sejauh
                  manakah teori ini akan dapat bertahan'' ujarnya.

~Utusan Malaysia 18.11.200 

pendidikmy@yahoo.com
Pendidik