ISU pendidikan menjadi tajuk hangat dalam ketiga-tiga akhbar
utama berbahasa Cina sepanjang minggu lalu dengan
membabitkan Dong Jiao Zhong dan Menteri Pendidikan, Tan Sri
Musa Mohamad.
Musa dipetik Sin Chew Jit Poh edisi Selasa berkata, masyarakat
Cina tidak harus dibebani sejarah sehingga menjadi penghalang
kepada pelaksanaan program Sekolah Wawasan.
Beliau berkata, latar belakang perubahan sistem pendidikan
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina pada 60-an dan
matlamat Laporan Razak 1956 tidak harus dikaitkan dengan
konsep Sekolah Wawasan kerana ia adalah dua perkara berbeza.
Katanya, kerajaan tidak pernah melaksanakan sepenuhnya
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara seperti
tercatat dalam Laporan Razak 1956.
Justeru, beliau berkata, Dong Jiao Zhong dan masyarakat Cina
tidak harus ragu dengan matlamat pelaksanaan Sekolah Wawasan
untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan antara pelbagai
kaum di negara ini.
Musa berkata, tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan satu
bahasa dan pelaksanaan satu aliran sekolah di seluruh Malaysia
ialah satu langkah yang dapat mencapai matlamat
menyatupadukan semua kaum dengan cepat.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak melaksanakan sebahagian
daripada cadangan di dalam Laporan Razak 1956 kerana
masyarakat Cina dan India pada masa itu khuatir yang bahasa
ibunda dan budaya mereka akan hilang.
Beliau berkata, bantahan Dong Jiao Zhong terhadap pelaksanaan
program Sekolah Wawasan adalah akibat mereka tidak percaya
dan curiga.
Semalam, Biro Pendidikan Pemuda Umno dipetik ketiga-tiga
akhbar utama berbahasa Cina berkata, pendirian Dong Jiao Zhong
mencerminkan perasaan cinta yang terlampau kepada tanah air.
Menurut laporan itu, sikap tidak bertolak ansur dan tidak percaya
terhadap polisi yang dilaksanakan kerajaan untuk mengeratkan
hubungan sesama kaum akan menghalang proses pembangunan
negara.
Mereka menyeru Dong Jiao Zhong meneliti konsep pelaksanaan
Sekolah Wawasan kerana perasaan takut mereka yang tidak
berasaskan dan sikap pentingkan diri sendiri akan menyakitkan
hati pihak lain.
Rabu lalu, ketiga-tiga akhbar utama berbahasa Cina melaporkan
identiti serta ciri-ciri keistimewaan semua aliran sekolah akan
dikekalkan dalam pelaksanaan program Sekolah Wawasan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim dipetik
sebagai berkata, sekolah yang menyertai program itu akan
mengekalkan bahasa pengantara, nama sekolah serta
pentadbiran masing-masing termasuk pengurusan kewangan.
Bagaimanapun, mengikut garis panduan itu, semua sekolah dalam
program berkenaan mesti mengadakan perhimpunan
bersama-sama sekali sebulan dengan menggunakan bahasa
Melayu sebagai pengantar.
Selain itu, kantin sekolah yang dikongsi bersama hanya
dibenarkan menjual makanan yang halal untuk orang Melayu dan
dilarang menjual daging lembu.
Hon berkata, jelas sekali sesetengah pihak salah faham terhadap
konsep Sekolah Wawasan sehingga mengelirukan masyarakat
Cina.
Beliau berharap masyarakat Cina boleh bersikap rasional dan
bertimbang rasa dalam menangani isu terbabit.
Katanya, program Sekolah Wawasan hanya akan disertai
beberapa sekolah saja dan masyarakat Cina berhak menyuarakan
pendapat jika ada sebarang kelemahan selepas pelaksanaan
program itu kelak supaya Jabatan Pendidikan boleh membuat
pembetulan.
Beliau berkata, masalah hanya akan timbul selepas program itu
dilaksanakan dan Jabatan Pendidikan sedia membuat pembetulan
pada bila-bila masa saja sehingga rakyat berpuas hati dengan
program itu.
Sementara itu, Pengerusi Jiao Zhong, Ong Chiow Chuen dipetik
berkata, semua sekolah sekarang termasuk Sekolah Rendah dan
Menengah Jenis Kebangsaan Cina mengikut kurikulum yang
ditentukan Jawatankuasa Kurikulum Jabatan Pendidikan termasuk
mengikut dasar serta sistem pendidikan negara untuk memupuk
semangat cintakan negara.
Katanya, sehingga kini, kebanyakan Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Cina (SRJKC) Cina dan sekolah persedirian Cina
adalah disokong oleh masyarakat Cina, justeru mereka akan terus
mempertahankan ‘akar’ mereka untuk menghidupkan pendidikan
Cina.
Isnin lalu, Hon dipetik ketiga-tiga akhbar utama berbahasa Cina
berkata, kekurangan lebih 4,000 tenaga pengajar Cina di Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan pelbagai masalah lain
termasuk peruntukan daripada kerajaan yang masih belum selesai
menyebabkan masyarakat Cina hilang kepercayaan terhadap
kerajaan dan membantah pelaksanaan program Sekolah
Wawasan.
Menurut laporan Sin Chew Jit Poh Khamis lalu, Dong Jiao Zhong
dijangka mengadakan dialog dengan pemimpin Parti Keadilan
Nasional dan Pas semalam untuk membincangkan isu Sekolah
Wawasan.
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Chan Kong Choy dipetik
Nanyang Siang Pau edisi Ahad berkata, Dong Jiao Zhong masih
boleh berbincang dengan MCA berhubung isu Sekolah Wawasan.
Katanya, prinsip Dong Jiao Zhong dan MCA sama iaitu
mengekalkan identiti SRJKC dan sebarang persoalan serta salah
faham boleh diperbetulkan jika kedua-dua pihak bersedia
mengadakan perbincangan.
Berita Harian online
11.11. 2000
|