.~Isu:13
Kemelut di sebalik isu Sekolah Wawasan

                          NAMA Dong Jiao Zong atau gabungan Persekutuan
                          Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina
                          dan Persekutuan Guru-Guru Sekolah Cina, tiba-tiba
                          menjadi sebutan apabila berkeras menolak
                          pelaksanaan Sekolah Wawasan. Ditubuhkan sejak
                          1950-an, Dong Jiao Zong sudah lama dianggap ‘jaguh’
                          dalam memperjuangkan hak dan kepentingan
                          pendidikan Cina di Malaysia. Hari ini badan ini
                          bertanggungjawab menyalur RM1 bilion setahun untuk
                          membiayai 1,284 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
                          Cina (SRJKC) dan 60 sekolah menengah persendirian
                          Cina, di seluruh negara. Apa motif penolakan Sekolah
                          Wawasan yang bermatlamat menyemai perpaduan di
                          antara kaum ini?
                          Wartawan Berita Minggu, ZAINUDIN ISA menemu bual
                          Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha
                          Agung Dong Jiao Zong, Bock Tai Hee, di pejabatnya
                          di Kajang, kelmarin bagi menghurai kemelut di sebalik
                          isu Sekolah Wawasan.

                    SEBAGAI permulaan, boleh
                     saudara terangkan apa fungsi
                     pertubuhan ini?
                     Bagi setiap sekolah rendah dan menengah Cina mereka
                     mempunyai lembaga pengarah dan pengelola masing-masing yang
                     ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kebangsaan. Tetapi lembaga
                     pengarah ini hanya di sekolah Cina saja, tidak ada di sekolah Tamil atau
                     Melayu. Jadi, Dong Zong ialah persatuan badan kebangsaan dan
                     bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jiao Zong pula ialah 
                     persatuan guru-guru, juga ditubuhkan di setiap sekolah, tapi ia 
                     didaftarkan mengikut NGO. Kedua-dua persatuan inilah
                     yang bertanggungjawab sebagai badan yang mengurus dan
                     mentadbir sekolah Cina, mengutip derma, membiayai segala
                     kemudahan dan berbincang dengan kerajaan dalam isu
                    membabitkan pendidikan Cina. Kedua-duanya bekerjasama dan
                     itulah dinamakan Dong Jiao Zong.
                     Jadi, dalam apa-apa isu pendidikan kami ‘in one voice’ (satu
                     suara). Persatuan ini amat berpengaruh dan ‘very powerfull’
                     kerana kami mewakili 1,284 SRJKC dan seluruh guru sekolah Cina
                     di Malaysia. Sejarah kami sudah lama iaitu sebelum merdeka lagi.
                     Jiao Zong ditubuhkan pada 1951 dan Dong Zong, dua tahun
                     kemudian pada 1954.

                    Jadi dalam isu penolakan konsep Sekolah Wawasan ini, ada
                     yang beranggapan persatuan saudara berfikiran terlalu
                     ortodok?
                     Tidak, kami berfikiran terbuka. Kami juga mahu bersama kerajaan
                     supaya pelbagai kaum yang berbeza hidup bersatu padu. Kami
                     menyokong segala usaha kerajaan mewujudkan perpaduan kaum
                     di negara ini. Tetapi, tidak dengan cara mencampurkan satu
                     sekolah dalam satu kawasan.

                    Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir
                     kecewa dengan tindakan persatuan ini. Benarkah kaum
                     Cina di Malaysia mahukan sistem seperti pendidikan di
                     China?
                     Saya kira Perdana Menteri keliru dengan kenyataan itu atau
                     tersilap dipetik oleh akhbar. Kalau kita sebut sekolah Cina mahu
                     menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, itu sudah
                     termaktub dalam Akta Pendidikan. Mengapa kita kata sekolah
                     Cina mahu menggunakan bahasa pengantar, sistem pendidikan
                     dan pembelajaran dalam bahasa Cina. Kalau Perdana Menteri
                     berkata kami mahukan perkara itu, ia bermakna kami mahu sistem
                     pendidikan seperti di China. Ia dua isu yang berbeza. Sistem
                     pendidikan Cina tidak boleh dilaksanakan di Malaysia. Tetapi
                     mengikut laporan akhbar, saya nampak jelas, itu tanggapan yang
                     salah. Ini kerana dalam sistem pendidikan di SRJKC, semua
                     kurikulum diberikan oleh kerajaan. Satu-satunya perbezaan ialah
                     bahasa yang digunakan. Mengapa kita mengatakan sistem di
                     China. Bahasa pengantar berbeza, tapi apa yang dipelajari sama,
                     baik sekolah Melayu, Cina atau Tamil

                    Jadi, isu atau persoalannya sekarang ialah kedudukan
                     bahasa Cina. Apakah melalui konsep Sekolah Wawasan,
                     bahasa Cina akan dihapuskan terus?
                     Sebenarnya, daripada konsep Sekolah Wawasan tidak menyebut
                     menghapuskan bahasa Cina. Tapi, mengapa kerajaan beria-ia
                     melaksanakan konsep berkenaan. Anda sepatutnya tahu dan
                     faham latar belakang dan sejarahnya. Pada 1986, pada masa itu
                     Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Pendidikan,
                     kami bersetuju dengan pelaksanaan Rancangan Intregrasi
                     Murid-Murid Untuk Perpaduan. Sekolah masih sama, tidak
                     berpindah tetapi ia lebih banyak menekankan perlunya lebih
                     banyak aktiviti berbentuk perpaduan dilaksanakan di sekolah yang
                     berbeza aliran. Kenapa kerajaan tidak melaksanakan projek ini
                     pada masa itu, kami tidak tahu. Akhirnya pada 1987, kerajaan
                     tiba-tiba memberhentikan projek ini. Kami tidak tahu kenapa.
                     Sebelum itu pada 1985, kerajaan bercadang melaksanakan
                     Sekolah Integrasi. Ini sama dengan konsep Sekolah Wawasan
                     sekarang iaitu meletakkan sekolah rendah Cina dan Tamil dalam
                     satu kawasan. Kami menolaknya kerana konsepnya
                     mencampurkan ketiga-tiga sekolah dalam satu kawasan. Tapi,
                     kami setuju dengan objektifnya, iaitu mewujudkan perpaduan di
                     kalangan murid sekolah.

                    Maknanya konsep Sekolah Integrasi dulu sama dengan
                     Sekolah Wawasan?
                     Ya. Ia sama, cuma namanya saja berlainan sekarang. Konsep dan
                     matlamatnya sama. Berbeza ialah cara ia dilaksanakan. Kami kata
                     jika matlamat menyatukan murid, mengapa meletakkan
                     ketiga-tiga sekolah dalam satu kawasan. Konsep, fungsi dan
                     pentadbiran sekolah Cina jelas dalam Akta Pendidikan. Kalau
                     sesuatu kawasan itu ramai murid Cina, satu sekolah Cina akan
                     dibina di kawasan terbabit. Kalau ramai murid Melayu, sekolah
                     Melayu akan dibina di situ. Begitu juga di estet, dibina sekolah
                     Tamil. Ini dilaksanakan sejak dulu hingga sekarang. Ia berjalan
                     dengan baik, tiada cacat celanya.
                     Persoalannya mengapa secara tiba-tiba mewujudkan tiga sekolah
                     dalam satu kawasan? Kalau dinamakan untuk perpaduan, kami
                     terima. Tapi apakah kita tidak boleh mencapai sasaran
                     menyatukan kaum tanpa mencampurkan sekolah Cina dan India?

                    Tapi kerajaan memberi jaminan Sekolah Wawasan tidak
                     menghilangkan identiti sekolah Cina, India dan Melayu?
                     Pada 1995, kerajaan mencadangkan konsep Sekolah Wawasan.
                     Ketika itu, saya tegaskan satu kenyataan yang sensitif kepada
                     masyarakat Cina. Semalam (Khamis), Biro Pendidikan Umno dalam
                     satu kenyataan mengenai isu ini mengambil kenyataan saya
                     ketika itu. Saya tegaskan ketika itu dalam usaha mencapai
                     matlamat perpaduan negara, pendidikan memainkan peranan yang
                     amat penting. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berteras
                     Penyata Razak 1953, menyatakan melalui Fasal 4.2, sasaran
                     utamanya ialah mewujudkan satu jenis sekolah seragam, iaitu
                     sekolah Melayu. Jadi, kami tidak menerimanya ketika itu. Jadi,
                     apabila sekali lagi projek Sekolah Wawasan ini ditimbulkan ia
                     sambungan kepada Penyata Razak. Jadi kami tolak kerana
                     akhirnya, mungkin 10 tahun, 20 tahun atau 100 tahun, sekolah
                     Cina dan Tamil akan terhapus.

                    Apakah ada agenda tersembunyi di sebalik konsep Sekolah
                     Wawasan untuk menghapuskan sekolah Cina dan India?
                     Ya. Tapi, ia (agenda) tidak dinyatakan dengan begitu jelas dalam
                     konsep Sekolah Wawasan.

                    Tapi mengapa apabila menyedarinya persatuan tidak
                     bersuara?
                     Kami bersuara. Julai lalu, kerajaan mahu meneruskan konsep
                     Sekolah Wawasan. Kami menerima dokumen yang sama dan
                     matlamat akhirnya masih tidak jelas. Jadi, kami bantah. Pada
                     Ogos, kerajaan menarik semula cadangan itu. Tapi, muncul
                     semula baru-baru ini, konsep dan pelaksanaannya masih sama.
                     Jadi, kami masih wasangka apa di sebalik agenda dengan
                     pelaksanaannya.
                     Perlu diingat, kewujudan sekolah Cina dan Tamil termaktub dalam
                     Akta Pendidikan, bermakna termaktub dalam Perlembagaan. Jadi,
                     kalau sebarang projek untuk menghapuskan sekolah Cina atau
                     Tamil, kami tidak setuju. Apa yang kami khuatir, ia bukan
                     terhapus sekarang, tapi perlahan-lahan.

                     Jika sekolah ini tetap dilaksanakan, apa yang berlaku?
                     Apa yang berlaku Lembaga Pengarah Sekolah Cina akan berubah.
                     Ini kerana hanya sekolah Cina yang mempunyai lembaga
                     pengarah. Jadi, dengan adanya tiga sekolah dalam Sekolah
                     Wawasan, satu jawatankuasa yang diketuai ketiga-tiga guru
                     besar sekolah dan setiap tiga guru setiap sekolah. Sembilan
                     jawatankuasa inilah yang bertanggungjawab mengurus dan
                     mentadbir sekolah. Jadi, apakah fungsi Lembaga Pengarah Cina.
                     Mungkin ia terus wujud, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa,
                     tiada kuasa. Ini gagal diperjelaskan oleh kerajaan.
                     Satu lagi masalah ialah ketika ini sekolah Cina menghadapi
                     kekurangan 4,000 guru. Kerajaan tidak melatih guru Cina dengan
                     mencukupi. Tetapi, sekolah Melayu mempunyai lebihan 20,000
                     guru lepasan maktab setiap tahun sehingga sukar ditempatkan di
                     sekolah. Mengapa ini berlaku? Jika Sekolah Wawasan
                     dilaksanakan, guru Melayu yang berlebihan itu pastinya
                     diserapkan di sekolah Cina. Jadi, secara perlahan-lahan, ia akan
                     mengubah sistem sekolah Cina. Ini yang kami bimbang.

                    Bermakna persatuan ini bimbang murid Cina akan
                     diMelayukan?
                     Ya, tentunya kami takut. Sudah ada contoh di Kota Tinggi,
                     Johor. Pada 1985, sekolah itu dikenali ‘Independent School’
                     (sekolah persendirian), tapi inilah sebenarnya model Sekolah
                     Wawasan, iaitu tiga sekolah dalam satu kawasan. Sekolah Cina
                     itu sekarang, mata pelajaran muzik, pendidikan jasmani dan
                     lukisannya diajar dalam bahasa Melayu. Ia sudah bertukar dan ini
                     yang kami takutkan. Bukannya kami takut tanpa bersebab, tapi ia
                     terbukti proses menukar sekolah Cina kepada Melayu ini
                     sememangnya berlaku. Kami berpendapat yang harus
                     diinteraksikan ialah murid, bukannya sekolah.

                    Jadi isu sekolah wawasan itu ibarat ‘bom jangka’ kepada
                     masyarakat Cina meluahkan tidak puas hati mereka
                     terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan?
                     Ya. Kalau kita tidak melihat sejarah lampau, kita akan kata tiada
                     ada apa-apa dengan pelaksanaan Sekolah Wawasan. Memanglah,
                     objektifnya nyata bagus untuk menyemai perpaduan bermula
                     daripada murid sekolah rendah lagi. Tapi, kalau kita teliti sejarah
                     pendidikan Cina, ada satu ‘ultimate objective’ (matlamat
                     terakhir), iaitu menghapus sekolah Cina. Ia terkandung sama ada
                     dalam Penyata Razak pada 1956, atau Laporan Aziz pada 1960,
                     Laporan Mahathir 1975 dan Dasar Pendidikan Baru 1996.

                     Isu ini sudah beberapa kali dibincang, tapi persatuan
                     saudara masih berkeras. Kalau persatuan tetap menolak
                     dan kerajaan mahu meneruskannya, apa tindakan selepas
                     ini?
                     Kami seperti pertubuhan bukan kerajaan lain, kami cuma mampu
                     menyuarakan pendapat, perasaan dan alasan kami. Kami harap
                     kerajaan yang dipilih rakyat bersedia mendengar suara rakyat.
                     Kalau kerajaan tidak mendengar cakap kami, kami tidak mampu
                     berbuat apa-apa. Satu-satunya cara untuk menunjukkan kuasa
                     kami ialah melalui pilihan raya.

                     Boleh saya katakan ini satu amaran kepada kerajaan?
                     Bukan amaran atau ugutan. Saya hanya menyuarakan perasaan
                     saya dan persatuan kami. Dalam demokrasi rakyat mempunyai
                     hak menyuarakan masalah. Jadi kami sudah menyuarakan apa
                     yang patut dan melalui cara yang betul. Semua dokumen sudah
                     kami beri kepada Menteri Pendidikan dan nampaknya selepas kami
                     menolaknya, mereka juga menutup pintu rundingan dengan kami.
                     Jika kementerian mahu berbincang, kami masih bersikap terbuka.
                     Tapi kerajaan atau kementerian tidak boleh meletakkan sebarang
                     prasyarat untuk duduk di meja perundingan.

                    Akhirnya, apa harapan persatuan ini?
                     Apa lagi yang harus kami lakukan. Kami sudah berusaha
                     memberikan pandangan melalui saluran yang betul. Untuk
                     tindakan terakhir ialah menggunakan kuasa undi kita dalam pilihan
                     raya. Kerajaan harus faham, dalam pilihan raya umum lalu,
                     majoriti orang Cina menyokong kerjaaan Barisan Nasional (BN).
                     Apabila konsep Sekolah Wawasan ini timbul, komuniti Cina sangat
                     marah. Ia menghiris perasaan kami. Jadi, jika ada orang
                     menyatakan pembangkang di sebelah kami, saya ingin tegaskan
                     ia adalah salah. Saya ingin sebutkan majoriti pemimpin dan ahli
                     kami menyertai MCA. Ahli MCA menyokong kami, bukannya
                     menyokong pemimpin mereka, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik. Anda
                     boleh petik kenyataan saya ini. Ini perkara yang betul. Mengapa
                     orang Cina menyokong kerajaan ketika pilihan raya? Kami mahu
                     keamanan, stabiliti dan mudah cari makan di Malaysia.

11 November 2000
Berita Harian Online

pendidikmy@yahoo.com
Pendidik