.~Isu:14
JENAYAH JUVANA: MELAYU TERBANYAK

                     MELAKA: Remaja Melayu di negeri ini didapati mendahului remaja
                     lain dalam melakukan pelbagai kesalahan juvana sejak Januari
                     1998 hingga Oktober tahun ini.

                     Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkata,
                     sepanjang tempoh berkenaan, 193 remaja lelaki dan 32 remaja
                     perempuan Melayu terbabit dalam pelbagai kesalahan juvana.

                     Ini diikuti bangsa Cina yang mencatatkan 62 remaja lelaki serta
                     tiga remaja perempuan dan remaja India pula, iaitu 32 lelaki dan
                     satu perempuan.

                     Menurut jurucakap itu, antara kesalahan yang dilakukan ialah
                     kesalahan harta benda, bersabit dengan harta benda, melanggar
                     ordinan tahanan, memiliki senjata dan tidak terkawal.

                     “Mengikut JKM, jenayah harta benda yang dimaksudkan ialah
                     remaja terbabit dalam kes rompakan atau mencuri manakala
                     bersabit dengan orang pula ialah bergaduh, menggugut dan
                     sebagainya.

                     “Maksud tidak terkawal pula ialah remaja berkenaan terbabit
                     dengan kegiatan seks bebas, lari dari rumah atau sekolah dan
                     kejadian ini kebanyakannya dilaporkan ibu bapa sendiri,” katanya.

                     Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, jumlah remaja Melayu
                     yang terbabit dalam jenayah harta benda ialah 166 orang, diikuti
                     bersabit dengan orang ramai (12), dadah (24), lalulintas (22) dan
                     tidak terkawal (45).

                     Bagi remaja Cina pula, mereka yang terbabit dengan harta benda
                     ialah 29, bersabit dengan orang ramai (tiga), dadah (empat),
                     lalulintas (18) dan tidak terkawal (empat).

                     Untuk remaja Cina pula, jurucakap itu menjelaskan, mereka yang
                     terbabit dengan harta benda ialah 24, bersabit dengan orang
                     ramai (dua), dadah (tiga), lalulintas (dua) dan tidak terkawal
                     (satu).

                     “Selepas melalui proses mahkamah, ada antara mereka
                     dibebaskan dengan ikat jamin keluarga dihantar ke pusat
                     pemulihan akhlak dan ke Sekolah Henry Gurney,” katanya.

                     Mengenai kes wanita dan gadis pula, beliau berkata, sejak Januari
                     1998 hingga Oktober lalu, 21 kes dicatatkan membabitkan gadis
                     bawah umur dan disabitkan di bawah Akta Perlindungan Wanita
                     dan Gadis 1973.

                     Daripada jumlah itu, katanya enam gadis Cina terbabit dalam kes
                     pelacuran (seksyen 7(1)), 13 kes penganiayaan (seksyen 8(1))
                     dan dua permohonan sendiri (seksyen 9(1)).

                    “Dalam kes permohonan sendiri, mangsa mendapatkan bantuan
                     dari JKM untuk menghindarkan mereka dari sindiket tertentu.

                     “Bagaimanapun, kebanyakan yang datang adalah mereka yang
                     hamil,” katanya.

Oleh Rahman Hashim
18 November 2000 
 Harian Metro 

pendidikmy@yahoo.com
Pendidik