.ISU 17
Kesatuan guru bantah PTD jadi pengurus
Utusan Malaysia (17 Februari 2001)

 
KOTA BHARU 16 Feb. - Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KKGDPPM) membantah keras cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) untuk membawa masuk Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) ke dalam sektor perkhidmatan pendidikan.

Naib Presidennya, Md. Bashah Razak berkata, cadangan KPPK itu dikhuatiri akan menjejaskan perjuangan pertubuhan berkenaan dalam meningkatkan taraf profesionalisme dan kebajikan para guru.

Beliau berkata, langkah membawa masuk pegawai PTD untuk mengurus sektor pendidikan negara kononnya disebabkan `ketidakupayaan' Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan para guru adalah tidak benar.

``Tidak wajar pendapat itu dijadikan satu isu untuk membawa masuk pegawai PTD ke dalam sektor pendidikan kerana isu-isu yang timbul boleh diselesaikan secara pendidikan (perbincangan),'' katanya kepada Utusan di sini.

Beliau mengulas cadangan KPPK baru-baru ini supaya pegawai PTD dibawa masuk ke dalam perkhidmatan pendidikan sebagai usaha memantapkan institusi berkenaan.

Md. Bashah berkata, keputusan membantah penglibatan pegawai PTD dalam perkhidmatan pendidikan itu dicapai dalam mesyuarat kesatuan tersebut pada 7 Februari lalu di Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, KKGDPPM yang dianggotai oleh tujuh kesatuan guru mempunyai kira-kira 50,000 ahli di seluruh negara.

Menurut Md. Bashah, campur tangan pegawai PTD di dalam perkhidmatan pendidikan masih tidak diperlukan memandangkan kesatuan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pejabat Pendidikan Negeri (PPN) dan pihak kementerian sendiri masih berupaya untuk menangani sebarang permasalahan yang timbul.

``Kalau pihak PTD masuk sebagaimana cadangan KPPK bermakna perjuangan kita untuk meningkatkan taraf profesionalisme dan juga kebajikan guru akan tertutup atau terabai.

``Ini memandangkan Jabatan Pendidikan tidak terhad di segi masa dan tenaga. Kita tidak terlalu rigid terhadap masa dan tenaga kerana sebagai pendidik kita akan melewati keseluruhan dalam tugas-tugas kita termasuk di segi penjagaan asrama, pemeriksaan buku dan lain-lain untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti setiap institusi pendidikan,'' tegasnya.

Beliau mendesak Kementerian Pendidikan mengadakan perjumpaan khas bagi membincangkan perkara tersebut sebelum sebarang tindakan dibuat.