.ISU 18 |
|
Menjelang 2001 kedudukan guru-guru graduat
PJJ masih terumbang-ambing. Pihak Kementerian Pendidikan masih dengan alasan
penempatan terhad. SPP pula menyepi tentang proses temuduga perlantikan
ke DG3.
Hakikatnya kini kekecewaan kalangan guru-guru berkenaan yang bertungkus lumus, berkorban masa,tenaga dan wang ringgit tanpa mengabaikan tugas rutin mendidik dan melaksanakan aktiviti sekolah makin ketara. Tidak dinafikan ada antaranya yang menanggung tekanan emosi setidaknya sedikit apabila menjadi gurauan rakan setugas tentang PJJ. Walaupun gurauan, keadaan sedemikian boleh membunuh minat guru untuk melanjutkan pelajaran dan menjatuhkan prestasi. PJJ sebenarnya merupakan satu sistem yang bermanfaat untuk kalangan yang berkerjaya meningkatkan profesionalisme mereka tanpa mengabaikan tugas. Malahan Kementerian Pendidikan sendiri memberi kebenaran untuk guru-guru mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan. Persoalannya, kenapa kebenaran diberikan tanpa merujuk kepada unjuran yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan sendiri. Kenyataan pihak Kementerian berhubung masalah penempatan dan lebihan guru terutama opsyen Bahasa Malaysia dan Sastera bukanlah faktor utama pengabaian terhadap guru-guru PJJ. Mungkin pihak berkenaan berpandu kepada rekod-rekod yang disalurkan oleh sekolah melalui PPD ke JPN dan seterusnya ke Kementerian Pendidikan. Kemungkinan berlaku kesilapan terutama berkaitan opsyen dan subjek diajar. Beberapa permasalahan dan persoalan dapat dikesan dalam menangani nasib guru-guru PJJ.Antaranya : 1. Adakah kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan kepada guru-guru untuk mengikuti PJJ berdasarkan unjuran keperluan yang dibuat ? 2. Kemana hilangnya hasrat Kemenerian Pendidikan ke arah guru-guru siswazah di sekolah menengah? 3. Kenapa masih berlaku kekurangan guru di sekolah menengah hinggakan masih ada khidmat guru sandaran tidak terlatih? 4. Di sekolah menengah masih terdapat guru-guru bukan opsyen Bahasa Melayu/Sastera yang mengajar subjek tersebut. 5. Kenyataan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang dalam Berita Harian (14 Februari 2001) jelas menunjukkan kekurangan guru siswazah di Pulau Pinang. 6. Apa sebenarnya mesej tema Hari Guru 2000 "Memartabatkan Profesion Keguruan". Siapa dan apa yang hendak dimartabatkan sebenarnya ? 7. Di sekolah menengah masih kedapatan guru-guru gred DGA6. Proses pertukaran penempatan boleh dilakukan dengan menempatkan guru-guru tersebut di sekolah rendah dan tempat mereka diganti oleh guru-guru sekolah rendah yang bergraduat melalui PJJ. 8. Masih kedapatan siswazah-siswazah yang baru memasuki universiti mengikuti Bacelor Pendidikan dalam pengkhususan Bahasa Malaysia atau Sastera. Sepatutnya kursus tersebut dihentikan seketika kerana ini akan menambah lebihan guru opsyen berkenaan seperti digambarkan oleh Kementerian Pendidikan. 9. Apakah perubahan Menteri Pendidikan menyebabkan dasar dan usaha menteri sebelumnya tidak perlu diteruskan? 10.Sejauhmana peranan KPPK dan Kesatuan-kesatuan guru yang lain memperjuangkan nasib guru-guru PJJ berbanding kenaikan gaji dan pangkat. 11.SPP juga perlu mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung proses perlantikan yang melibatkan guru-guru PJJ memandangkan guru-guru bergraduat sepenuh masa telah pun ditemuduga dan dilantik serta ditempatkan. Adakah terdapat perbezaan kelas antara ijazah yang diperolehi melalui PJJ dan sepenuh masa. Walaubagaimanapun sekalung tahniah kepada guru-guru graduan PJJ yang berjaya mendapat keputusan setanding graduan sepenuh masa biarpun berkorban kasih keluarga,masa,tenaga dan wang.Namun dalam masa yang sama mampu meneruskan komitmen sebagai pelajar dan guru yang bertanggungjawab terhadap rutin utama di sekolah. Biarpun masih menunggu "Bulan jatuh ke riba" usaha guru-guru ini setidak-tidaknya telah menjadi titik tolak ke arah "Memartabatkan Profesion Keguruan". |