.ISU 19
Sukarkah untuk cemerlang dalam sains dan matematik?
Dipetik dari  sekolah.com

 
Matematik dan sains, sejak sekian lama dianggap sebagai subjek yang sukar. Keadaan bertambah sukar apabila ada andaian bahawa subjek ini hanya sesuai untuk mereka yang pintar dan cerdas. Kononnya ia hanya sesuai kepada segelintir pelajar. Malah tidak kurang yang beranggapan inilah antara subjek yang memudahkan untuk mereka gagal. Inilah juga mitos yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain hingga menyebabkan ia seolah-olah satu fobia yang menggerunkan.

Persoalannya adakah benar subjek sains dan matematik sahaja yang sukar? Bukankah subjek lain seperti Sejarah, Geografi, Sastera, Bahasa Melayu dan sebagainya juga sukar. Sejarah dengan pelbagai faktanya, memerlukan pelajar memahami perkara lampau yang telah pun dilalui. Bukan sahaja perlu mengetahui tokoh, tetapi juga terpaksa menghafal tarikhnya dengan tepat. Bukankah ini juga sukar? Bahasa Melayu juga, walaupun menjadi bahasa pertuturan, tetapi dengan peraturan tabahasanya, ramai pelajar yang kecundang. Bukankah ini juga subjek yang sukar?

Secara logiknya, subjek lain juga tidak kurang sukarnya dengan sains dan matematik. Masalah timbul apabila pelajar telah memupuk di dalam minda bahawa sains dan matematik sukar, tetapi tidak subjek lain. Ini menyebabkan kurangnya usaha untuk mengulangkaji secara mendalam bagi subjek sains dan matematik. Bayang-bayang kegagalan sudah direncanakan terlebih awal, dan jika lulus pun ia sekadar “secukup makan”. Istilah psikologi mengungkapkan perkara ini sebagai “self-fulfilling prophecy” (nujuman penyempurnaan kendiri). Disebabkan sudah ada sangkaan awal terhadap perkara tertentu, sama ada mudah atau sukar, suka atau benci, pada akhirnya kelakuan kita menjuruskan ke arah sangkaan tersebut. Misalnya, apabila kita menganggap bahawa individu tertentu sebagai sombong, maka pada akhirnya layanan kita terhadap individu tersebut juga bersifat ke arah itu seperti tidak bertegur sapa, kurang mesra dan sebagainya. Sesuatu yang belum terjadi pada awalnya, tetapi akibat sangkaan sahaja menyebabkan orang yang dianggap sombong benar-benar sombong kerana beliau juga pastinya tidak akan cuba bertegur sapa dengan kita.

Begitu jugalah apabila kita mengandaikan bahawa subjek Bahasa Melayu sebagai mudah. Akhirnya, kita akan bersungguh-sungguh berusaha untuk merealisasikan andaian kita tadi. Mengapa andaian seperti ini tidak pula dilakukan ke atas subjek sains dan matematik. Anggaplah sains dan matematik sebagai sesuatu yang cukup mudah. Sekadar angka dan formula. Dengan cara ini, kita sudah mengatasi halangan pertama bagi mencapai kejayaan iaitu halangan psikologi.

Langkah selanjutnya ialah untuk mencapai andaian awal kita tadi iaitu subjek ini mudah dengan memperbanyakkan ulangkaji. Setiap kali kita berhadapan dengan kesulitan untuk menyelesaikan permasalahan, jangan difikirkan bahawa ia sebagai sukar. Sebaliknya berfikirlah secara positif dan terbuka. Anggaplah ia sebagai subjek yang mudah. Selalulah berbincang dengan guru atau rakan-rakan tentang topik tertentu yang kurang dikuasai. Tidak mustahil, dengan cara ini, subjek yang selama ini dianggap sebagai sukar boleh menjadi mudah.

Percayalah, subjek sains dan matematik bukanlah sesuatu yang sukar. Ia menjadi sukar kerana kita mendapat maklumat yang salah mengenai subjek ini. Kita mudah terpedaya dengan pandangan dari mereka yang sebenarnya juga gagal menguasai subjek ini dengan baik. Cubalah bertanya dari mereka yang cemerlang. Adakah subjek ini sukar. Juga sesekali renungilah, jika benar subjek ini sukar tentulah tidak akan ada orang yang bergelar jurutera, ahli sains, pakar kimia dan sebagainya. Kesukaran sebenar bergantung kepada diri sendiri. Maka, tukarlah persepsi yang menakutkan ini agar kita tidak turut sama menjadi seperti “Luncai dengan labu-labunya”!. Percayalah, semua pelajar boleh berjaya dengan cemerlang.