.ISU 20 |
|
Hampir 50,000 pelajar gagal bahasa Melayu!
Itulah salah satu topik yang terpapar di ruang forum pendidik Sekolah.com
yang dihantar oleh salah seorang ahli. Keputusan menunjukkan 12.8% atau
49,966 daripada 389,471 calon Sijil Pelajaran Malaysia 2000 telah gagal
memperoleh sijil kerana tidak lulus Bahasa Melayu. Ini tentulah satu keputusan
yang luar biasa dan mengecewakan setelah 43 tahun negara merdeka. Sewajarnya
dalam tempoh ini, usaha mendaulatkan bahasa Melayu telah pun mencapai hasil
yang memberangsangkan.
Tetapi, nampaknya tidak! Lebih malang, termasuk dalam senarai yang gagal itu ialah pelajar Melayu sendiri. Kita sebenarnya tidak perlu berasa terkejut apabila keadaan ini berlaku. Inilah jawapan kepada kesilapan kita sendiri. Setiap pihak mempunyai sumbangannya dalam hal ini, termasuklah pembuat dasar, ahli-ahli bahasa, budayawan, ahli politik, golongan korporat serta masyarakat keseluruhannya. Ketika kita melalui kotaraya besar Kuala Lumpur atau Georgetown misalnya, cubalah hitung berapa banyak papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan tepat. “Kedai Kopi Lim” ditulis sebagai “Lim Kedai Kopi”. Papan tanda itu pula dibuat secara ala kadar dengan mendahulukan tulisan Inggeris atau bahasa yang lain. Bahkan ada yang langsung tidak menggunakan bahasa Melayu keseluruhannya. Siapakah yang bertanggungjawab memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku? Suasana dan perbincangan perniagaan juga selalunya sering menganaktirikan bahasa Melayu. Kononnya bahawa penggunaan bahasa Melayu akan menghilangkan keyakinan pelanggan. Idea palsu mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam kelompok niaga juga sudah lama tersemat dalam diri masyarakat kita. Maka selalulah mereka yang kurang mahir berbahasa Inggeris seringkali gagal dalam temuduga pekerjaan walaupun penemuduga itu merupakan seorang anak Melayu dan syarikat itu juga kepunyaan Melayu. Siapakah yang menebarkan idea palsu seumpama ini jika bukan tanggapan kita sendiri. Mahir berbahasa Inggeris bukanlah pra-syarat kejayaan sesebuah organisasi. Tidak ada satu bukti pun yang dapat menjelaskan bahawa organisasi yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu akan gagal. Di kalangan ahli politik pula, tersembunyi
pelbagai agenda yang tidak dapat dijangka. Tindakan-tindakan yang mereka
cetuskan juga adakala sangat menyedihkan. Beberapa tahun yang lalu, ketika
negara kita dilanda oleh “kegawatan politik”, maka tercetuslah idea untuk
menghapuskan bahasa baku yang telah pun diimplementasikan selama lebih
daripada 10 tahun. Hasilnya bahasa baku sudah tidak wujud lagi di sekolah
Mengapa dengan mudahnya mereka yang memiliki kekuasaan melakukan sesuatu yang luar biasa, walaupun ia sebenarnya tidak menguntungkan apa-apa terhadap pengembangan bahasa Melayu? Bukankah lebih baik kita mencari jalan bagaimana ia dapat diperbaiki. Pastilah kita semua tahu bukan itu jawapannya. Hanya ahli politik yang dapat menjawabnya. Terlalu longgarkah dasar bahasa kita sehingga dengan mudahnya ia dipinda di sana sini? Walaupun ketika itu ramai pencinta bahasa meluahkan rasa kecewa mereka, siapakah yang memberikan sedikit ruang kepada mereka untuk memberikan hujah secara akademik. Hasilnya, penggunaan bahasa baku yang memberikan kesan yang positif terhadap potensi bahasa Melayu itu sendiri telah terkubur begitu sahaja. Sejak kebelakangan ini pula, kedengaran suara-suara yang cuba meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kita akui bahasa Inggeris perlu diberi keutamaan. Namun, bukan bermakna apabila kita ingin menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Melayu terbiar begitu sahaja. Itu satu tanggapan yang salah dan juga tidak selaras dengan matlamat kita. Setelah penjajah pulang, kita seharusnya memastikan bahawa kita dapat hidup sebagai rakyat merdeka. Kemerdekaan bermakna kita tidak bergantung kepada mereka. Tetapi, ini tidak berlaku dalam budaya kita. Hasilnya, ketika kita ghairah mengagungkan bahasa luar, kita terlupa akan bahasa sendiri. Maka dasar pengukuhan terhadap bahasa Melayu kelihatannya berlagu longlai dan mendapat sambutan yang sangat menyedihkan. Jangan disalahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka sekiranya kempen-kempen yang dijalankan tidak mendapat sambutan sekiranya pembuat dasar sendiri sering melagukan keenakan berbahasa Inggeris. Oleh itu, sudah tiba masanya kita menilai semula kesilapan kita. Kita tidak mahu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Ketika kita begitu ghairah memastikan semua pelajar kita cekap berbahasa Inggeris (seboleh-bolehnya lebih Inggeris daripada Inggeris), mereka bukan sahaja gagal menguasai bahasa Inggeris, tetapi sudah juga tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul. Jika hal seumpama ini berlaku, maka yang paling malang ialah diri kita sendiri. Percayalah, kita dapat mendaulatkan bahasa Melayu dalam arus gloibalisasi ini dan bukannya kerana bimbangkan globalisasi, bahasa Melayu mula diragui. Semuanya ada di tangan kita sendiri. Tanpa bahasa, apa lagi yang kita miliki? |