.ISU 21
UKM tutup Jabatan Persuratan Melayu
Dipetik dari  Berita Harian

 
Jabatan Persuratan Melayu (JPM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan 25 tahun lalu, akan ditutup tidak lama lagi berikutan program penstrukturan semula universiti itu.

Mengikut penstrukturan semula itu, yang diluluskan oleh Senat UKM kelmarin, status JPM, dari sebuah jabatan, diturunkan kepada hanya satu program – Program Pengajian Melayu – di bawah Pusat Pengajian Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan.

Pusat Pengajian Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan yang akan diperkenalkan itu, merangkumi JPM, Jabatan Linguistik serta Fakulti Pengajian Bahasa yang didominasi pengajian bahasa dan kesusasteraan Inggeris.

Dengan perubahan itu, Program Pengajian Melayu hanya akan menawarkan 14 kursus, berbanding 51 kursus yang ditawarkan oleh JPM sejak 25 tahun lalu.

Sejak penubuhannya, JPM, dengan kepakarannya dalam bidang sastera Melayu moden, tradisional, kebudayaan dan kesenian, menjadi pakar rujuk, terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara dan Muzium Negara serta pusat pengajian di luar negara.

Sumber memberitahu Berita Harian, mesyuarat Senat UKM, Rabu lalu memutuskan untuk menggabungkan tiga fakulti – Sains Sosial dan Kemanusiaan; Sains Pembangunan; dan Fakulti Pengajian Bahasa – di bawah lima pusat pengajian.

Tiga fakulti itu, sama ada diletakkan di bawah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran; Pusat Media dan Komunikasi; Pusat Sejarah, Politik dan Strategi; atau Pusat Pengajian Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan.

Sumber itu berkata, langkah terbaru UKM itu bukan saja bertentangan dengan aspirasi pembentukan universiti berkenaan, tetapi juga menentang arus dalam pengajian Melayu pada persada antarabangsa.

“Apakah wajar ketika Universiti Bristol di Britain dan Universiti Cornell di Amerika Syarikat membentuk JPM masing-masing, kita yang sudah mempunyai jabatan itu menutupnya pula.

“UKM seolah-olah malu dengan nama Melayu sehingga menutup JPM sedangkan jabatan itu memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan dalam bidang berkenaan.

“Jabatan itu bukan saja melahirkan pemegang ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah, tetapi turut menjadi pakar rujuk kepada organisasi dalam dan luar negara,” katanya.

Menurut sumber itu, pengajian Melayu di UKM sepatutnya diperkasakan dengan menggabungkannya bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) serta Jabatan Linguistik, dalam penstrukturan semula itu.

“Fungsi Atma sama sekali tidak lengkap tanpa JPM kerana institut berkenaan hanya mengeluarkan graduan peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah selain melakukan penyelidikan,” katanya.

Sumber itu berkata, penutupan jabatan itu menyebabkan golongan yang mahu meneruskan agenda kebudayaan dan kesusasteraan kebangsaan di negara ini tidak lagi mempunyai tapak beroperasi.

“Tindakan UKM itu adalah satu penghinaan dan menyebabkan hilangnya kepemimpinan dalam persuratan Melayu dan tidak ada lagi badan yang boleh menganjurkan persidangan kesusasteraan dan kesenian Melayu.

“Penstrukturan semula UKM sepatutnya memberi tempat lebih mulia kepada persuratan Melayu kerana peranannya sangat penting dalam pendidikan negara dan pembentukan bangsa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua JPM, Prof Madya Dr Solehah Ishak, ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

Oleh Salbiah Ani (BH 24.03.2001)