.ISU 22
Pilih aliran - Kaji punca bukan Melayu enggan ke sekolah kebangsaan
Dipetik dari  Utusan Malaysia

 
SATU kajian terperinci mengenai sebab kaum Cina dan India tidak berminat untuk ke sekolah kebangsaan perlu dilakukan bagi menyelesaikan dilema yang dihadapi oleh sekolah berkenaan.

Kajian itu juga mesti menjelaskan apakah faktor-faktor yang boleh menarik kaum Cina dan India ke sekolah kebangsaan dan apakah keistimewaan sekolah jenis kebangsaan berbanding sekolah kebangsaan.

Pensyarah di Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Rohaty Mohd. Majzub berkata, penelitian terhadap sebab-sebab kekhuatiran dan curiga kaum Cina dan India terhadap sekolah kebangsaan juga perlu dilakukan.

Beliau berkata, kajian itu boleh dilakukan oleh pensyarah di fakulti pendidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jelasnya, hanya selepas kajian itu dilakukan dan diumumkan kepada masyarakat maka barulah tindakan boleh diambil bagi menyelesaikan dilema itu.

``Kena ada kajian terperinci dan IPTA boleh melakukannya menerusi fakulti pendidikan,'' katanya kepada Pendidikan.

Beliau mengulas isu kaum Cina dan India yang tidak berminat untuk ke sekolah kebangsaan.

Laporan itu memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat wakil rakyat Barisan Nasional di bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, Dr. Rohaty berkata, secara umumnya terdapat beberapa sebab mengapa kaum Cina dan India tidak berminat untuk ke sekolah kebangsaan.

Menurutnya, kemungkinan kaum Cina dan India sudah lama berada dalam sistem pendidikan mengikut aliran masing-masing dan sebarang perubahan terhadap sistem itu akan menimbulkan tekanan kepada mereka.

Malah katanya, identiti yang wujud pada sekolah jenis kebangsaan itu memenuhi keperluan kaum itu sendiri yang meliputi soal bangsa, budaya dan bahasa.

``Sekolah jenis kebangsaan memberi peluang kepada mereka untuk mengekalkan ketiga-tiga perkara itu dan sudah tentu mereka tidak mahu ia terhakis,'' katanya.

Selain itu, katanya, sekolah jenis kebangsaan juga menjadikan kaum Cina dan India memiliki rasa kepunyaan, kekitaan dan imej yang menebal.

Beliau juga berkata, syak wasangka, was-was, curiga dan bimbang kehilangan identiti kaum masing-masing menyebabkan mereka tidak berminat untuk ke sekolah kebangsaan.

Dari segi budaya belajar pula, Dr. Rohaty menjelaskan bahawa setiap kaum mempunyai cara, gaya dan ciri-ciri tertentu dalam soal pembelajaran.

Sebagai contoh, katanya, sekolah jenis kebangsaan Cina memberi fokus pada satu-satu sistem tertentu dan matlamatnya juga berbeza.

``Ada cara-cara tertentu dan unik dalam soal mengajar dan belajar seperti mungkin guru sekolah itu memberi tumpuan yang lebih pada mata pelajaran Matematik,'' ujarnya.

Oleh: ROHANA MAN (UM 24.03.2001)