.ISU 23
Guna bahasa Melayu ajar Sejarah
Dipetik dari  Utusan Malaysia

 
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan agar pengajaran mata pelajaran Sejarah dan Moral di sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ketua Pengarahnya, A. Aziz Deraman berkata, langkah itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan ia sebagai bahasa penyatuan sejak peringkat sekolah rendah.

Beliau menambah, langkah berkenaan akan memantapkan lagi penguasaan bahasa itu di kalangan murid terbabit yang sekarang mempelajarinya menerusi satu mata pelajaran sahaja iaitu Bahasa Melayu.

``Pengantar (sedia ada) bagi vernakular Cina dan Tamil itu teruskanlah.

``Tetapi mata pelajaran utama yang memberikan kita faham terhadap bangsa dan sejarah negara serta nilai-nilai murni boleh diajar dalam bahasa Melayu,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara DBP dan Long-Trans Education Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Aziz meminta pentadbir Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil supaya tidak mencurigai cadangan terbabit kerana ia bukan gantian kepada cadangan sekolah satu aliran.

``Ini bukan alternatif kepada sekolah satu aliran, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan sistem pelbagai aliran sedia ada dengan memasukkan unsur baru bagi memantapkan penguasaan bahasa Melayu,'' jelasnya.

Baru-baru ini pelbagai pihak termasuk pemimpin parti komponen Barisan Nasional menentang cadangan mewujudkan sekolah satu aliran dengan alasan ia akan menggugat bahasa dan kebudayaan kaum Cina dan India.

Tambah Aziz, satu jawatankuasa kerja yang dianggotai oleh kumpulan pemikir haruslah dibentuk oleh Kementerian Pendidikan bagi mengkaji cadangan DBP itu.

``Kumpulan pemikir ini haruslah dianggotai oleh pegawai kanan Kementerian Pendidikan, tokoh ilmuwan dan akademik serta pakar psikologi,''jelasnya. 

Aziz menegaskan, langkah DBP mengemukakan cadangan itu bukan bermakna sistem pelbagai aliran sekarang gagal meningkatkan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar pelbagai kaum.

``Peratus kelulusan mata pelajaran bahasa Melayu di kalangan pelajar Cina dan India dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang adalah amat membanggakan,'' katanya.

Beliau juga mencadangkan agar jawatankuasa terbabit mengkaji kemungkinan tidak membenarkan pengajaran bahasa Arab, Perancis dan Jerman di peringkat sekolah rendah.

``Dengan tidak mengajar bahasa berkenaan di peringkat itu, ia membolehkan murid memberi tumpuan bagi mempelajari bahasa ibunda masing-masing seperti Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

``Ini juga menyenangkan mereka mempelajari bahasa sains dan teknologi iaitu bahasa Inggeris,'' katanya. 

Beliau berharap segala keputusan yang diputuskan oleh jawatankuasa itu akan dijadikan sebagai pelan dasar pendidikan negara yang baru. 

Oleh: NIZAM YATIM (UM 24.03.2001)