.ISU 25
Guru digesa tingkat kemampuan pedagogi
Dari Berita Harian

 
GURU harus membudayakan diri dengan amalan penyelidikan bagi meningkatkan kefahaman serta kemampuan mereka dalam bidang pedagogi, seterusnya membantu pendidikan negara menjadi lebih berkualiti dan cemerlang.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan, Abu Bakar Bachik, berkata ini sejajar dengan pendapat bahawa peningkatan proses pengajaran dan pembelajaran serta profesionalisme pendidik bergantung kepada tindakan mereka menyelidik atau mengkaji pengajaran sendiri.

Beliau berkata, penyelidikan itu yang dikenali sebagai ‘penyelidikan dilakukan oleh pelaksana ataupun practitioner research’, merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan seseorang berfokuskan kepada suatu aspek tugas hariannya.

Dalam konteks pendidikan, katanya, keprihatinan utama penyelidik ialah ke arah memahami kesan amalan atau tindakan sendiri sebagai seorang guru terhadap pembelajaran pelajar mereka.

Menurutnya, langkah itu bertujuan membawa perubahan dan inovasi dalam amalan bilik darjah serta polisi yang menjadi pegangan institusi guru berkenaan, terutama mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Lebih khusus lagi, penyelidikan itu menjurus kepada pengkajian mengenai pengajaran dan pembelajaran atau faktor yang secara langsung mempengaruhi proses berkenaan.

“Di samping itu, ia juga menggunakan pendekatan penyelidikan tindakan dan mengguna pakai kaedah pertanyaan serta cara melaporkan dapatan, yang bersifat eklektik, pragmatik dan mudah difahami guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap utama sempena perasmian Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) bertema ‘Pembestarian Ke Arah Kecemerlangan Pendidikan’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Guru, Dawam Kahat.

Menurut Abu Bakar, ‘practitioner research’ merupakan bidang yang semakin penting dalam konteks keguruan, sama ada dari aspek pembangunan profesionalisme berterusan seseorang guru, mahupun berhubung dengan pembangunan ilmu pedagogi.

Bagi melahirkan pengajaran berkualiti, inovatif, berkesan dan sempurna, katanya, seseorang pendidik perlu membudayakan diri mereka dengan amalan penyelidikan.

Menurutnya, hasil penyelidikan harus dianggap sebagai wadah yang dapat memaparkan perkembangan ilmu pengetahuan dalam suatu disiplin di samping usaha untuk menampakkan kemajuan diri guru sebagai staf profesional yang sedia berperanan secara sistematik dan membaiki amalan seharian.

“Justeru, adalah wajar pendidik menjalankan penyelidikan dan membuat refleksi yang kritis dengan tujuan menjadikan pengajaran mereka lebih berkualiti tanpa mengetepikan keperluan pelajar.

“Guru atau pensyarah mesti bersedia menjadi pengamal yang reflektif. Jika membuat refleksi ke atas setiap pengajaran dan pembelajaran dilalui, mereka pasti mampu melakukan perubahan, pembetulan mahu pun penambahbaikan dalam aspek berkaitan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

“Budaya penyelidikan seperti ini akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sekali gus membawa inovasi dalam proses berkenaan. Sehubungan itu, kepentingan penyelidikan dan pembangunan ke arah membawa perubahan serta inovasi pendidikan menjadi semakin nyata,” katanya.

Abu Bakar berkata, amalan penyelidikan memang perlu sekiranya guru menginginkan proses pengajaran mereka sentiasa berkembang, bersifat inovatif, ‘memorable’, ‘motivational’ dan bermakna kepada pelajar.

Justeru, beliau berkata, seseorang pendidik harus mempunyai pengetahuan mendalam mengenai disiplin dan pedagoginya selain terbabit secara aktif untuk memajukan pembelajaran di kalangan anak didik mereka.

Sebagai pendidik, katanya, guru atau pensyarah patut boleh mereka bentuk kurikulum tambahan berkaitan pembelajaran mengikut keperluan serta dapat mencipta dan mengaplikasikan strategi pengajaran yang memenuhi kehendak pembelajaran.

Selain itu, menurutnya, guru dan pensyarah juga harus mampu menggunakan prosedur serta kriteria menilai lebih sensitif dan juga ‘rigorous’ yang dapat membentuk pelajar menampilkan komitmen tinggi untuk belajar.

“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa budaya penyelidikan untuk menanam sikap budaya ilmu perlu diterapkan di institusi pendidikan,” katanya.

“Aktiviti penyelidikan perlu diperbanyakkan kerana penyelidikan adalah suatu disiplin yang melatih dan membolehkan pensyarah serta guru memberi hujah jitu dan padat dalam membicara isu semasa pendidikan,” katanya.