.ISU 26
Filem pengaruhi kelakuan remaja 
Dari Berita Harian

 
ADEGAN mengghairahkan dalam sesebuah filem bukan saja merangsang orang dewasa, malah kanak-kanak yang berumur 5 tahun juga merasai kesan dari segi emosi. Akibat daripada perkembangan kognitif yang kurang, mereka mahu mencuba apa yang dilihat dalam filem tanpa mengetahui atau dapat membezakan yang mana buruk dan baik. Ini kerana kanak-kanak dan remaja masih berfikiran kurang matang, pemahaman kurang jelas dan tiada pengalaman mengenai hubungan seksual dan proses seksualiti, sekali gus mendorong mereka melakukan ‘perkara yang sering dilihat’ demi memenuhi dorongan seksual semula jadi. Dalam bahagian ketiga isu ini, wartawan Berita Harian, HATIPAH AHMAD dan KHAIRUL ANWAR RAHMAT, menelitinya dari sudut psikologi kanak-kanak.

FILEM sememangnya memberi kesan yang besar dalam mempengaruhi emosi manusia, malah ia mempengaruhi perubahan kelakuan penonton, terutama remaja dan kanak-kanak. 

Antara sebabnya ialah kerana filem ditayangkan hampir setiap hari di stesen televisyen tempatan dan menjadi satu-satunya sumber hiburan ringan yang paling mudah didapati dan difahami. 

Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Psikologi, selaku pegawai kaunseling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Siti Mahani Muhazir, berkata walaupun kerajaan menapis unsur seks dan tahyul dalam filem yang ditayangkan di televisyen, tetapi masyarakat masih boleh menonton unsur negatif berkenaan melalui video cakera padat (VCD). 

Katanya, beberapa unsur negatif membabitkan perlakuan seksual seperti hero bercumbu, berpelukan atau menari dengan gaya mengasyikkan bersama pasangannya dalam filem dapat mempengaruhi emosi orang dewasa hingga berasa seronok atau terangsang. 

“Sedang orang dewasa boleh terangsang, bayangkanlah jika seorang kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif (pemikiran) yang kurang dari segi fizikal dan mental dapat mengatasi cabaran sebegitu dalam medium masa kini. 

“Akibat daripada perkembangan kognitif yang kurang, ia boleh menggalakkan kanak-kanak dan remaja mempraktikkan apa yang dilihat di persekitaran tanpa mengetahui atau dapat membezakan yang mana buruk dan baik,” katanya. 

Siti Mahani berkata, pemikiran kurang matang, pemahaman kurang jelas dan tiada pengalaman mengenai hubungan seksual dan proses seksualiti mendorong mereka melakukan perkara yang sering dilihat demi memenuhi dorongan seksual semula jadi.

Menurutnya, dalam proses perkembangan libido kanak-kanak (peringkat lima hingga enam tahun ketika mereka sudah mengetahui perbezaan dan fungsi jantina) sudah dapat merasakan keseronokan dan terangsang dari segi emosi apabila melihat sesuatu adegan berunsur seks seperti bercium antara pasangan. 

Ini kerana katanya, manusia akan melalui beberapa proses perubahan dan perkembangan emosi serta fizikal. Peringkat perubahan paling kritikal iaitu proses keremajaan ketika kanak-kanak itu sudah mengalami akil baligh dan seterusnya akan mengalami perubahan psikobiologikal dan sosial secara mendadak. Menurutnya, pada peringkat transitional (perpindahan) alam kanak-kanak kepada remaja iaitu di antara umur 13 hingga 17 tahun, emosi seseorang remaja dipenuhi dengan khayalan.

“Hanya dengan filem, remaja dapat memenuhi keperluan emosi dan imaginasi mereka kerana filem sedemikian sering memaparkan adegan khayalan yang mungkin tidak dapat dilakukan atau diperolehi di alam sebenar. Ketika proses ini, imaginasi mereka berada pada tahap yang tinggi dan mereka mudah terpengaruh dengan adegan negatif. 

“Sesuatu yang baru akan dianggap sebagai satu cabaran yang mendesak diri mencubanya,” katanya. Ini termasuk remaja yang sedang mengalami proses ke arah kedewasaan dan ingin mengalami pengalaman bercinta dan mengenali pasangan. 

Menerusi beberapa adegan romantik dalam filem Hindi, remaja lelaki percaya bahawa ‘seseorang lelaki akan terbukti kelelakiannya jika melakukan aksi hero dalam filem itu, contohnya berdua-duaan dan bermadu kasih dengan pasangannya.

Begitu juga kepada remaja perempuan yang berpendapat ‘kewanitaan saya akan terserlah jika saya beraksi seperti heroine dan memakai pakaian seksi.’ 

Adegan sebegini yang memaparkan minat lelaki terhadap perempuan disebabkan oleh keseksian dan kecantikannya akan menjadi pengaruh utama perkembangan emosi remaja. 

Ditanya mengapa unsur negatif dalam filem seperti budaya hidup moden, bebas, bersekedudukan dan perhubungan di luar batasan sering menjadi ikutan masyarakat, Siti Mahani berkata, ia sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan pola interaksi dengan keluarga yang semakin berkurangan. 

Katanya, ibu bapa sebenarnya mempunyai pengaruh yang kuat dalam membentuk peribadi dan perkembangan seksualiti anak-anak. Mereka seharusnya menjadi panduan dan perlu berbincang atau berkongsi pandangan dengan anak-anak mengenai masalah. 

Menurutnya, sistem kekeluargaan sekarang perlu memberi interaksi positif mengenai pendidikan seks. Anak-anak perlu diberitahu mengenai perubahan diri mereka dari segi emosi dan fizikal, sebagai contoh mengapa mereka datang haid. 

“Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perkara seks masih lagi dianggap sebagai pantang larang oleh ibu bapa sehingga menyebabkan anak-anak terpaksa mendapatkan filem sebagai sumber utama dalam mendapatkan maklumat mengenai seks,” katanya. 

Menurutnya, filem juga mengandungi beberapa elemen tertentu seperti adegan mengghairahkan atau meresahkan walaupun adegan itu sebenarnya memberikan pengetahuan. Adegan sebegitu dapat mempengaruhi keperluan psikologikal dan emosional seseorang. 

Katanya, antara elemen popular yang ada dalam filem selalunya sealiran dengan keperluan individu ialah adegan kasih sayang, merangsang harga diri, mengatasi kesunyian dan melepaskan diri daripada kebosanan. 

“Malangnya, elemen popular sebegini kebanyakannya dipaparkan untuk tontonan melalui perhubungan yang tidak sihat jika dilihat dari perspektif agama dan adat,” katanya. 

Walaupun elemen popular sedemikian ada kebaikannya, namun yang menontonnya tidak semua berfikiran matang. Bagi kebanyakan remaja yang tidak memahami dan kurang dewasa, mereka gagal menilai mesej sebenar yang ingin disampaikan dalam filem itu. 

Antara contoh elemen popular ialah adegan yang menunjukkan sifat kelelakian dan kewanitaan tulen. Kebanyakan remaja yang mempunyai tahap pemikiran yang kurang matang mahu menunjukkan sifat kelelakian dan kewanitaan melalui hubungan seksual. Menurutnya, mereka beranggapan bahawa kerapatan, kemesraan emosi dan kasih sayang dapat ditunjukkan melalui hubungan seks. 

Mereka cuba membuktikan bahawa keseronokan dalam menerokai seks terhadap pasangan masing-masing dapat diperolehi seperti dalam filem walaupun hakikatnya ia dibatasi agama.