.ISU 27 |
|
KEUTAMAAN yang tinggi
akan terus diberi kepada pendidikan dengan meningkatkan pelaburan memandangkan
ia adalah penting bagi membangunkan kemampuan untuk mencipta, menyesuai
dan menyebar pengetahuan baru.
Sehubungan itu, kurikulum sekolah akan dikaji semula untuk memupuk kemahiran berfikir dan menjana daya cipta serta pembelajaran kendiri di kalangan pelajar khususnya pada peringkat rendah dan menengah. Menurut laporan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga 2001-2010 (RRJP3) yang dibentangkan di Parlimen, semalam, memandangkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) adalah alat penting bagi membantu memperolehi pengetahuan baru, sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan untuk membolehkan lebih banyak mata pelajaran diajar menggunakan teknologi interaktif multimedia dan pengajaran menerusi laman web. Sebahagian besar sekolah termasuk sekolah di luar bandar dan di kawasan terpencil akan dihubungkan menerusi intranet dan Internet menjelang tahun 2010. Bagi memastikan kurikulum sentiasa sesuai dengan keperluan industri, satu mekanisme akan dibentuk untuk menjalin hubungan antara sekolah dan industri dan memasukkan komponen pembelajaran yang berasaskan kerja. Industri akan digalak untuk menerima pelajar sekolah menengah atas atau kolej untuk menyertai latihan penempatan atau pratikal ketika cuti sekolah atau kolej. Menurut laporan RRJP3 itu lagi, bagi menangani kekurangan bilangan pelajar aliran sains yang layak masuk ke universiti, beberapa langkah diambil termasuk mempergiatkan penggunaan kaedah pembelajaran kontekstual, menaik taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti dan bilangan guru serta melaksanakan langkah untuk mendorong pelajar memasuki aliran sains manakala pada peringkat sekolah rendah, pengajaran mata pelajaran sains akan diajar pada tahap yang lebih awal. Untuk mengatasi jurang prestasi antara pelajar bandar dan luar bandar pula, keutamaan akan terus diberi bagi menyediakan kemudahan sewajarnya untuk membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar mendapat peluang pendidikan yang berkualiti. Bagi memenuhi keperluan tenaga manusia dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, peratusan penduduk dan tenaga buruh yang lebih besar perlu mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi terutama pada peringkat pendidikan tertiari. Langkah akan diambil untuk memperbaiki kadar peralihan pelajar daripada peringkat menengah rendah ke menengah tinggi serta kadar terus bersekolah dan tamat persekolahan pada peringkat menengah tinggi supaya kadar penyertaan pada peringkat pendidikan tertiari dapat dipertingkatkan. Oleh itu, penekanan akan terus diberi bagi meningkatkan kapasiti pendidikan tertiari supaya enrolmen bagi kumpulan umur 17-23 tahun mencapai 40.0 peratus dan sekurang-kurangnya 35.0 peratus daripada tenaga buruh mempunyai pendidikan tertiari menjelang akhir tempoh RRJP3. Menurut laporan itu lagi, tumpuan yang lebih juga akan diberikan kepada bidang sains dan teknologi memandangkan terdapatnya keperluan mendesak untuk meningkatkan penawaran tenaga manusia dalam bidang itu. Dalam hubungan itu, kurikulum dan program ijazah di universiti akan dikaji semula bagi memastikan ia berorientasikan pasaran, mengambil kira jangkaan arah aliran pada masa hadapan dan memudahkan penyerapan teknologi baru. Sektor swasta pula akan digalak untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam menyediakan pendidikan pada peringkat tertiari bagi menampung dan melengkapkan usaha kerajaan serta menjadi pemangkin bagi membangunkan sektor pendidikan dan latihan sebagai sebuah industri dan sumber pendapatan tukaran asing. Insentif akan diberi kepada institusi swasta yang menawarkan kursus dalam bidang teknikal dan perubatan. Langkah lain termasuk melonggarkan peraturan imigresen dan meningkatkan fleksibiliti dalam pengambilan tenaga pengajar asing bagi memudahkan perluasan dan penubuhan institusi swasta yang baru. Memandangkan peranan guru adalah penting, lebih ramai guru sekolah rendah dijangka memperolehi ijazah dan sebahagiannya mungkin memiliki ijazah sarjana serta kelayakan dalam bidang psikologi kanak-kanak dalam tempoh RRJP3. Ini bagi memastikan guru mempunyai tahap kecekapan mengajar yang tinggi kerana sekolah rendah menyediakan asas bagi membentuk keupayaan belajar dan penyerapan pengetahuan di kalangan pelajar. Laporan RRJP3 turut menyebut kerajaan akan memulakan usaha untuk menggalak dan melaksanakan program pembelajaran sepanjang hayat. Melalui usaha itu, selain menyediakan lebih banyak kiosk IT dan pusat siber di luar bandar, institusi kewangan juga akan digalak menyediakan pinjaman mudah kepada pekerja untuk meneruskan pendidikan manakala majikan pula digalak mempromosi pembelajaran sepanjang hayat melalui program latihan dan latihan semula bagi melengkapkan pekerja mereka dengan kemahiran dan pengetahuan baru supaya mereka dapat memenuhi keperluan kemajuan teknologi. Lebih banyak pelaburan dalam pembangunan tenaga manusia akan diperuntukkan terutamanya dalam latihan dan latihan semula untuk meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa. Oleh kerana perubahan teknologi yang pesat dalam tempoh RRJP3 akan memberi kesan kepada cara pengurusan kerja dan meningkatkan permintaan terhadap tenaga manusia yang mempunyai pelbagai kemahiran dengan asas akademik yang kukuh, berpengetahuan dan mempunyai kemahiran mengendalikan tugas dengan cekap, institusi latihan kemahiran akan memberi penekanan kepada membangunkan kecekapan sosial dan pembelajaran serta memperkukuhkan asas akademik pelatih dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Menurut laporan itu lagi, penggunaan pendekatan dual training melalui skim perantisan akan ditingkatkan dalam tempoh RRJP3. Jenis dan tahap program latihan serta kursus yang dilaksanakan oleh institusi latihan awam akan dikaji semula secara berkala bagi memastikan ia selaras dengan perubahan teknologi serta meningkatkan keberkesanan kos. Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan penawaran tenaga pengajar yang berkelayakan bagi mencapai nisbah tenaga pengajar kepada pelajar iaitu 1:17. Institusi latihan awam terutama pusat latihan lanjutan akan menjalankan program latihan tenaga pengajar untuk melengkapi program di Pusat Latihan Tenaga Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST). Pengaliran maklumat yang bebas kesan daripada perkembangan dunia yang semakin tidak bersempadan akan memberi cabaran kepada usaha penyemaian nilai positif khususnya di kalangan generasi muda. Sehubungan itu, satu kurikulum baru yang menggabungkan pendidikan sivik dengan pendidikan agama atau moral akan diajar di sekolah rendah dan menengah bagi memupuk nilai positif seperti disiplin, gigih untuk mencapai kecemerlangan, setia dan cinta kepada negara, bersatu padu, kewarganegaraan yang baik serta menghormati pemimpin dan golongan yang lebih tua. Di samping itu, aktiviti kokurikulum bagi membina keperibadian dan membangunkan kualiti kepemimpinan akan diberi penekanan di sekolah dan institusi pendidikan tinggi. |