.ISU 31
Isu PTD: KGMMB hantar bantahan rasmi
Berita Harian

 
 
KESATUAN Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mengemukakan memorandum kepada Kementerian Pendidikan sebagai bantahan rasmi terhadap cadangan penempatan lebih ramai pegawai tadbir diplomatik (PTD) dalam perkhidmatan pendidikan khususnya di sekolah.

Presiden KGMMB, Dr Abdul Rahman Daud, berkata memorandum berkenaan sudah diserahkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Abdul Rafie Mahat, melalui Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Abdul Raof Hussin, dalam mesyuarat permuafakatan pendidikan yang diadakan di Ipoh pada 19 Mac lalu.

Beliau yang juga Presiden Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan berkata, usul oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Semenanjung Malaysia itu jelas menunjukkan kes ‘mala fide’.

Menurutnya, tindakan KPPK yang terus mempertahankan cadangan itu walaupun tidak dipersetujui ramai guru, ternyata bercanggah dengan etika dan tatasusila profesion keguruan.

Malah, katanya, saranan KPPK supaya lebih ramai PTD ditempatkan dalam perkhidmatan pendidikan atas alasan mengatasi kelemahan pengendalian sedia ada, secara langsung menjatuhkan reputasi rakan sejawat.

“Isu yang dikemukakan oleh KPPK merupakan kes terpencil dan bersifat individu. Ia adalah masalah kelemahan sistem,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Selepas KPPK menyuarakan cadangan berkenaan sejak beberapa bulan lalu, pelbagai pihak, terutama pertubuhan guru tempatan, memberikan respon dan pendirian masing-masing yang kebanyakannya tidak bersetuju.

Bagaimanapun Setiausaha Agung KPPK, Siva Subramaniam, menegaskan bahawa cadangan itu adalah wajar dan Majlis Exco kesatuan itu tetap berpegang kepada keputusan untuk mempertahankan usul berkenaan.

Menurut Siva, ini kerana majlis berkenaan sudah pun membincang, meneliti dan memperhalusi secara terperinci terhadap kepentingan serta rasional cadangan itu.

Siva berkata, usul itu langsung tidak menjurus ke arah mengakibatkan pengetua atau guru besar kehilangan fungsi mereka di sekolah mahupun menyekat peluang perjawatan di kalangan pendidik.

Sebaliknya, beliau berkata, cadangan itu bertujuan menyelesaikan pelbagai masalah berlaku dalam perkhidmatan pendidikan negara kerana kelemahan yang sudah berlarutan itu mengakibatkan guru berasa kecewa, tertekan dan tidak berpuas hati sehingga menjejaskan tumpuan terhadap tugas di sekolah.

Bagi mengatasi kelemahan berkenaan, usul KPPK supaya diwujudkan jawatan Timbalan Pengarah Pendidikan (Perkhidmatan) di semua jabatan pendidikan negeri (JPN), Bahagian Pentadbiran Perkhidmatan di JPN diketuai oleh PTD, serta satu jawatan baru Kerani Kanan (Perkhidmatan) di sekolah mempunyai lebih 50 guru.

Mengulas lebih lanjut, Dr Abdul Rahman berkata, cadangan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Pengarah Pendidikan (Perkhidmatan) hanya akan mengusutkan lagi pengurusan pendidikan apabila pengisian jawatan dibuat dari kalangan berbeza latar belakang profesion.

Menurutnya, latar belakang PTD tidak dapat memenuhi permintaan pengurusan pendidikan yang memerlukan ilmu khusus dalam bidang pendidikan, bukan ilmu pengurusan secara am.

Tambahan pula, katanya, PTD tidak mampu mewakili pengarah dalam menangani isu berkaitan kurikulum, hal ehwal pelajar dan kokurikulum, selain menutup peluang kenaikan pangkat di kalangan golongan profesional pendidikan.

Sehubungan itu, katanya, cadangan balas KGMMB ialah pegawai kanan perkhidmatan pendidikan mestilah dari kalangan pegawai terlatih serta berpengalaman dalam bidang berkenaan. Lagipun, PTD tidak terikat dengan etika keguruan sekali gus tidak boleh diterima langsung untuk menerajui organisasi pendidikan. 

Mengenai cadangan supaya jawatan Ketua Sektor (Perkhidmatan) diisi oleh PTD pula, beliau berkata:

“PTD tidak memahami sepenuhnya sensitiviti perkhidmatan pendidikan. Mereka akan menambahkan masalah dalam pengurusan membuat penilaian prestasi guru kerana tugas utama guru (80 peratus) ialah pengajaran dan pembelajaran sedangkan pegawai PTD tidak terdedah ataupun tidak mempunyai latar belakang sebagai pendidik atau guru.

“Pegawai perkhidmatan pendidikan harus dikekalkan sebagai Ketua Sektor Perkhidmatan Pendidikan di JPN, manakala sebarang jawatan pengurusan pendidikan yang sedang disandang oleh PTD dikendalikan semula oleh profesional pendidikan.”

Dr Abdul Rahman turut memberi penjelasan bahawa isu seperti masalah kelewatan bangunan siap atau ketibaan perabot sekolah, asalnya berpunca daripada kelemahan jabatan yang diterajui oleh PTD seperti dalam berurusan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kewangan.

Dalam konteks berkenaan, menurutnya, JPN dan pihak sekolah tidak wajar dipersalahkan sehingga menjejaskan kredibiliti mereka. Justeru, cadangan balas KGMMB ialah struktur organisasi Unit Perancangan dan Bekalan sedia ada di JPN dikekalkan tetapi struktur organisasi Bahagian Pembangunan dan Bekalan diselaraskan dengan struktur Unit Perancangan dan Bekalan di JPN.

Mengulas mengenai usul mewujudkan jawatan Pegawai Eksekutif di sekolah mempunyai lebih 50 guru pula, beliau berkata, KGMMB menyokong langkah itu yang akan memudahkan pengawasan pihak sekolah dalam mewujudkan perkhidmatan lebih berkesan.

“Bagaimanapun, disaran supaya cadangan itu diperluaskan dalam bidang lain seperti penyelenggaraan stor dan pusat sumber, pembantu tadbir, juruteknik atau pembantu juruteknik, serta pembantu makmal,” katanya.