.ISU 34 |
|
SETIAP kali perayaan Hari Guru disambut pada 16 Mei,
salah satu acara kemuncak yang menjadi simbol penghargaan kepada jasa pendidik
dan bekas pendidik ialah penganugerahan Tokoh Guru Kebangsaan.
Anugerah yang diperkenalkan pada 1972 itu juga menjadi lambang pengiktirafan kerajaan terhadap pengorbanan, kewibawaan serta sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan. Bagi melambangkan kemurnian jasa guru dan mencerminkan ia seteguh emas, pingat yang dianugerah direka khas dengan ciri menarik berwarna keemasan dengan nilai kira-kira RM2,000. Sehingga tahun lalu, seramai 102 pendidik dan bekas pendidik sudah di anugerahkan pingat tersebut semenjak 1975 berdasarkan kriteria khusus yang ditetapkan. Antara kriteria itu ialah calon mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di bilik darjah, sumbangan cemerlang kepada profesion keguruan dan pendidikan, pembabitan aktif dalam kegiatan luar bilik darjah serta khidmat masyarakat, di samping kecemerlangan dalam bidang lain. Dari segi syarat pemilihan calon Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan pula, mereka hendaklah merupakan warganegara Malaysia yang dilahirkan di negara ini; seboleh-bolehnya dipilih daripada kalangan tokoh yang sudah dianugerahkan gelaran Tokoh Guru pada peringkat negeri; berumur 50 tahun atau lebih, sama ada berkhidmat atau sudah bersara, tidak termasuk persaraan pilihan kecuali atas sebab kesihatan; sedang atau sudah berkhidmat sebagai guru, pengetua, guru besar, pensyarah atau pentadbir dalam perkhidmatan pendidikan. Selain itu, pemilihan calon juga boleh dibuat ke atas tokoh yang sudah meninggal dunia, manakala kesatuan perkhidmatan keguruan pula berpeluang membuat pencalonan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Setakat ini, tahun paling ramai menerima anugerah ialah pada Hari Guru
1977, iaitu seramai tujuh orang.
Tahun lalu, Tokoh Guru Kebangsaan dianugerahkan kepada Tawi Yaakub, 80, yang sudah berkhidmat lebih 35 tahun dalam bidang pendidikan; Cheong Yong Kwong, 65 (31 tahun); Nik Faizah Mustapha, 59 (31 tahun); Abd Ghani Wahab, 66 (32 tahun); dan Dr Seenivasagam Muthukumar Ponniah, 74 (34 tahun). Lima lagi penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan bakal diumumkan tahun ini di majlis perasmian Hari Guru di Dewan Seri Negeri, Melaka, yang dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Seterusnya, penganugerahan lain yang turut mendapat perhatian di majlis itu nanti ialah Anugerah Sekolah Harapan Negara, Anugerah Guru Inovatif serta Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas. Anugerah Sekolah Harapan Negara mengiktiraf model sekolah contoh dalam konteks semasa yang dapat dimanfaatkan oleh sekolah lain untuk menilai secara ikhtisas terhadap pencapaian dan cabaran dialami oleh pendidik sekolah berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan. Penganugerahan itu bertujuan memupuk, mengembang dan menyuburkan perasaan perpaduan di kalangan guru bagi mencapai tahap profesion keguruan yang tinggi dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka. Anugerah berkenaan dibahagikan kepada kategori Sekolah Menengah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar serta Sekolah Rendah Luar Bandar. Sementara itu, antara objektif penyampaian Anugerah Guru Inovatif pula ialah mengenal pasti guru atau kumpulan guru yang melahirkan idea serta usaha kreatif dan inovatif dalam melaksanakan kurikulum pada peringkat sekolah, di samping menyediakan saluran khas untuk mereka menampilkan kemampuan serta inisiatif berkenaan. Bagi penganugerahan itu, pemenang dibahagikan kepada Johan Keseluruhan, Kategori Individu (Sekolah Rendah), Kategori Individu (Sekolah Menengah), dan Kategori Kumpulan. |