.ISU 35 |
|
SUBANG JAYA 6 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mungkin membuka kuota bagi pelajar bumiputera
yang gagal diisi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk dipenuhkan
oleh pelajar bukan bumiputera.
Beliau berkata, tindakan tersebut mungkin dilakukan kerana pelajar bumiputera telah diberikan peluang untuk mengisinya tetapi mereka nampaknya seolah-olah tidak berminat untuk mengambil peluang itu. Tegasnya, pelajar bumiputera mesti menerima kenyataan bahawa jika mereka tidak berminat untuk menggunakan peluang tersebut, maka mereka juga tidak berhak menghalang orang lain menggunakan peluang itu. ``Mereka (pelajar bumiputera) tak berminat maka mereka tak berhak untuk halang orang lain yang berminat untuk menggunakan peluang ini,'' katanya. Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan pameran Dinosaurs Alive anjuran Technology MAE Sdn. Bhd. dan Meda Inc. Berhad di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob semalam yang menyatakan tempat bumiputera di IPTA yang tidak diisi seharusnya diberi kepada pelajar bukan bumiputera yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam pada itu Dr. Mahathir mengingatkan, sistem kuota yang diamalkan sekarang hanya akan dihapuskan jika rakyat beranggapan ia tidak baik untuk negara dan memilih untuk menghapuskan terus sistem tersebut. ``Kita buat ini (sistem kuota) kerana kepentingan rakyat, jika mereka berpendapat dasar ini tidak baik, tidak mahu kuota, kerajaan boleh hapuskan kuota, tetapi kerajaan akan akur kehendak rakyat (sahaja),'' katanya. Akhbar tempatan baru-baru ini turut melaporkan, sebanyak 7,168 tempat di bawah kuota bumiputera di IPTA tidak dapat diisi oleh mereka yang layak sedangkan terdapat kira-kira 500 pelajar bukan bumiputera cemerlang yang tidak mendapat tempat. Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh menerima pandangan tidak adil beberapa pihak bahawa tempat itu tidak boleh diberikan kepada pelajar bukan bumiputera kerana ia akan menguntungkan mereka. ``Kita sudah banyak beri peluang, 43 tahun sudah buka peluang ini kepada mereka (bumiputera), adakan universiti dan macam-macam. ``Tetapi mereka tak berminat, mereka nak sekat orang lain pula, (seperti) jangan ada universiti swasta kerana akan menguntungkan orang lain. Ini saya fikir tidak adil,'' katanya. Menurut Perdana Menteri, pelajar bumiputera seharusnya lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan tidak mengamalkan sikap menentang kemajuan kaum lain. ``Kalau kita nak belajar kita kena belajarlah, jangan belajar cuma nak sekat orang lain, itu tak kenalah,'' katanya. Dr. Mahathir berkata, Malaysia akan menghadapi masalah kerana cerdik pandai bukan bumiputera akan ditarik oleh negara lain yang berminat menggunakan kebolehan mereka yang boleh menyumbang kepada negara-negara tersebut. ``Kalau kita sekat orang berkebolehan daripada dapat pelajaran yang
berguna kepada negara, kita akan ada brain drain,'' tegas Perdana
Menteri.
|