Isu 37....

 

Pendidik
Cikgu.PJJ
Artikel
Forum
Jalinan
RakanWeb
Perihal
MASYARAKAT SOKONG GURU DEDIKASI SERTA INOVATIF
Utusan Malaysia

PERGURUAN bukan sekadar kerjaya atau profesion. Walaupun seseorang guru memperoleh gaji seperti lain-lain kerjaya dan profesion, tetapi perguruan adalah lebih daripada suatu pekerjaan.

Sebagai profesion, guru mempunyai nilai dan etikanya tersendiri. Mereka juga terlatih dan sentiasa mempertingkatkan kemahiran masing-masing berdasarkan perkembangan masyarakat yang berubah mengikut zaman.

Sudah tentu pendekatan terhadap pendidikan pada zaman ini tidak serupa dengan era terdahulu. Tetapi peranan guru sebagai pendidik tetap serupa dan mereka menjadi pencorak masyarakat masa depan.

Walaupun guru merupakan manusia biasa yang mempunyai masalah dan harapan seperti orang lain, tetapi profesion perguruan menjadikan mereka istimewa.

Kita percaya keistimewaan terletak pada idealisme pendidikan yang dituntut daripada guru. Seseorang guru boleh menganggap profesion mereka hanya sebagai kerjaya biasa. Mereka mengajar seperti yang diarahkan dan kemudian pulang seperti orang lain juga. Ini bukan suatu yang istimewa.

Tetapi yang istimewanya terletak pada guru-guru yang dedikasi dan inovatif. Merekalah yang membuat perbezaannya dalam profesion perguruan. Dengan mempertahankan idealisme pendidikan, guru-guru ini merupakan wira masyarakat yang kita tidak sedari. 

Keistimewaan kedudukan guru inilah yang diperingatkan dalam sambutan Hari Guru negara ini pada setiap 16 Mei.

Sesungguhnya penghargaan kepada guru harus dilakukan bukan saja oleh pelajar di sekolah tetapi juga oleh masyarakat. Ini kerana masa depan anak-anak masyarakat berada di tangan guru. Guru mencorakkan generasi baru yang akan mewarisi apa saja peninggalan ibu bapa mereka.

Sememangnya dengan peranan, tanggungjawab dan pengorbanan guru, wajar mereka diberi ganjaran yang setimpal.

Namun begitu, kita percaya tidak ada ganjaran atau bayaran yang dapat menandingi sumbangan guru yang dedikasi dan inovatif. Hanya kepuasan melihat kejayaan anak-anak masyarakat dalam hidup, bukan saja mengenai pelajaran merupakan ganjaran sebenar bagi guru.

Penghargaan masyarakat terhadap guru pula bukan terletak pada kata-kata sanjungan atau cenderamata yang dikirimkan sempena Hari Guru melalui anak-anak mereka.

Bagi kita, penghargaan sebenar terletak pada sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh masyarakat kepada guru dalam menjalankan tugas mereka.

Sememangnya sepanjang waktu memikul tugas, guru akan melalui pelbagai cabaran yang kadangkala boleh menghakiskan keyakinan mereka terhadap idealisme pendidikan.

Di sinilah, masyarakat terutamanya ibu bapa yang mempunyai hubungan langsung dengan guru memberi sokongan dengan mengukuhkan kembali keyakinan kita semua terhadap idealisme pendidikan.

Dengan memberi perhatian berat dan berpanjangan kepada perkembangan pendidikan dalam erti kata yang luas, anggota masyarakat akan dapat membantu tugas mereka.

Ibu bapa pula dengan sentiasa meningkatkan mutu pelajaran anak-anak mereka semasa di rumah akan membantu guru untuk mencapai matlamat pendidikan. 

Kita berpendapat guru yang dedikasi dan inovatif akan mudah wujud apabila ibu bapa turut berperanan aktif mencari jalan memperbaiki kedudukan pendidikan anak-anak mereka.

Masyarakat secara umumnya, disertai dengan komitmen kerajaan terhadap pendidikan akan melahirkan guru yang kita semua inginkan untuk bukan saja anak-anak kita tetapi bagi generasi akan datang.

 
PeNdiDik©2000-2001.Emel:pendidikmy@yahoo.com