TEMA Hari Guru tahun ini - Memartabatkan Profesion Perguruan Tanggungjawab
Bersama adalah usaha untuk menyemarakkan kembali kerjaya perguruan yang
dianggap semakin hilang kewibawaannya.
Pelbagai peristiwa yang menyelubungi dunia pendidikan - daripada kes
pelajar bergaduh sesama sendiri sehingga kaedah pengajaran membaca, menulis
dan mengira (3M) yang didakwa tidak berkesan - merupakan cabaran hebat
sehingga kredibiliti guru semakin dipertikaikan.
Natijahnya, kerjaya guru diperlekehkan sebagai tidak menarik, tidak
berdaya saing dan semakin dijauhi para remaja yang cenderung memilih cita-cita
yang dianggap lebih mencabar dan berpendapatan lumayan.
Tema Hari Guru tahun ini tidaklah begitu retorik tetapi mengandungi
makna yang cukup tersirat. Mesejnya cukup ringkas tetapi tidak mudah untuk
dilaksanakan, kerana ia menuntut keprihatinan dan tanggungjawab semua pihak.
Martabat ertinya kedudukan atau darjat. Jika mengikut definisi ini,
ia bermakna semua golongan masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama
meningkatkan maruah atau martabat profesion perguruan itu.
Sebagai seorang guru, apakah kayu ukur yang paling ideal supaya martabat
yang hendak ditingkatkan tidak tersasar, bukan saja memberikan kesan kepada
pengamal tetapi juga meyakinkan para pelanggan yang terdiri daripada pelajar
untuk menempuh jalan sebagai insan yang kamil?
Jika penilaiannya adalah sen dan ringgit, hari ini tentulah keadaan
sudah jauh lebih baik daripada guru era 50-an yang cuma berpendapatan sekitar
RM58.60.
Walaupun banyak perjuangan guru yang didakwa belum selesai, namun usaha-usaha
untuk membaiki taraf guru secara fizikal sentiasa ada dan tidak pernah
dipinggirkan sama sekali.
Secara tidak langsung, boleh dikatakan usaha memartabatkan guru sentiasa
ada walaupun barangkali pihak terbabit melihatnya sebagai usaha yang sangat
perlahan dan tidak menampakkan kemajuan.
Namun begitu, untuk memartabatkan guru dari segi spiritual adalah usaha
yang tidak harus dipikul golongan terbabit saja. Sebaliknya ia usaha bersepadu,
yang membabitkan semua pihak tanpa prejudis sedikit pun.
Jika tidak, guru akan dianggap sebagai `tukang ajar' saja. Maka nilai
murni yang sepatutnya dibawa bersama dalam aspek pembelajaran dan pengajaran
(P&P) tentu saja akan terpinggir.
Tokoh Guru Kebangsaan 2000, Nik Faizah Mustapha, 59, berkata, guru sepatutnya
berperanan lebih daripada seorang `tukang ajar'.
Ketika dihubungi Utusan baru-baru ini, anak kelahiran Kota Bharu,
Kelantan ini mengakui peranan guru hari ini tidak sama seperti guru dahulu.
Wanita pertama yang pernah diangkat sebagai Ketua Jemaah Nazir Sekolah,
Kementerian Pendidikan Malaysia ini mengakui, guru dahulu dihormati seluruh
masyarakat berbanding guru hari ini.
Mengimbas kisah silam sebagai anak kepada pasangan guru, Nik Faizah
berkata, keluarganya beroleh `keistimewaan' walaupun pada zaman penjajahan
Jepun yang terkenal dengan sikap keras mereka.
``Anda bayangkan betapa penjajah Jepun yang dikatakan kejam itu begitu
menghormati golongan guru. Mereka memberikan kedudukan yang tinggi kepada
guru,'' katanya.
Buktinya, kata Nik Faizah, keluarga mereka tidak pernah diapa-apakan
penjajah dari Negara Matahari Terbit itu.
Malah katanya, pada zaman pendudukan Jepun di kampungnya di Kota Bharu,
Kelantan pada awal 40-an, beliau yang masih kecil `dimewahkan' dengan bekalan
susu tepung yang menjadi barang kawalan ketika itu.
Susu tepung itu akhirnya diagih-agihkan kepada penduduk kampung yang
lebih memerlukan, katanya.
Kisah Nik Faizah ini bukan sekadar kenangan kehidupan era peperangan.
Tetapi lebih daripada itu, ia merupakan manifestasi penghormatan kepada
golongan guru yang tidak pernah berubah sejak zaman berzaman.
Jika penjajah sendiri mengangkat martabat guru sebegitu tinggi, maka
bagaimana pula peranan masyarakat hari ini yang berada dalam negara serba
bertamadun?
Sayangnya, masyarakat hari ini seakan-akan memandang sebelah mata kepada
profesion perguruan. Jika pelajar gagal peperiksaan, bertumbuk sesama sendiri
atau tidak berdisiplin, maka guru orang pertama yang dituding.
``Mengapa guru selalu dipertikaikan?'' Soal Nik Faizah, dalam nada kesal.
Beliau memberi analogi, seseorang berjumpa doktor kerana penyakit yang
dihidapinya.
Doktor memberi ubat berserta arahan supaya menghabiskan ubat mengikut
jadual dan si pesakit mematuhi arahan itu tanpa cuai sedikit pun.
Justeru katanya, jika masyarakat boleh meletakkan sepenuh kepercayaan
kepada doktor dan tidak pernah mengabaikan arahan, kenapa masyarakat tidak
boleh meletakkan tahap kepercayaan yang sama kepada golongan guru?
Bagaimanapun bekas guru dan pengetua di Sekolah Menengah (SM) Zainab,
Kota Bharu; SM Aminuddin Baki dan SM Jalan Stony di Kuala Lumpur ini, tidak
menafikan ada sebilangan kecil guru yang kurang bertanggungjawab.
Beliau kesal kerana tindakan segelintir yang tidak bertanggungjawab
ini menyebabkan maruah guru keseluruhannya tercemar apabila kesalahan yang
dilakukan oleh sebahagian kecil ini diperbesar-besarkan.
``Mengapa digembar-gemburkan? Sedangkan kita tidak kurang guru yang
benar-benar berdedikasi,'' katanya lagi.
Beliau yang pernah bertugas sebagai pengetua di Maktab Ilmu Khas turut
menyeru masyarakat supaya membuka mata dan melihat peranan yang telah dimainkan
guru dengan fikiran terbuka.
Dalam pertandingan yang melibatkan pelajar sama ada di peringkat sekolah
mahupun di peringkat kebangsaan, katanya, guru-guru yang lebih sibuk daripada
orang lain semata-mata mahu memberikan semangat kepada pelajar yang mengambil
bahagian.
Sedangkan ibu bapa, tambahnya lagi, tidak ramai yang mengambil berat
dan melepaskan tugas itu kepada sekolah dan guru bulat-bulat.
Beliau turut menyuarakan keluhan guru mengenai sikap ibu bapa yang tidak
mengambil berat masalah anak atau terlalu memanjakan anak sehingga hilang
hormat kepada guru di sekolah.
Hal ini katanya, berpunca kerana ada segelintir ibu bapa yang tidak
mengambil peranan mendidik anak-anak di rumah. Ataupun katanya, ada ibu
bapa merasakan diri mereka lebih pandai daripada guru di sekolah dan tidak
pernah menghormati guru lagi.
``Sepatutnya semakin pandai seseorang, dia semakin merendah diri. Atau
jika ibu bapa merasakan dirinya lebih cerdik, berusahalah sendiri mendidik
anak-anak,' katanya lagi, dalam nada sinis.
Cabaran guru hari ini tidak setakat mendidik pelajar tetapi lebih daripada
itu. Namun katanya disebabkan sikap pelajar yang sukar dikawal atau ibu
bapa yang tidak langsung bertindak menyokong, guru hari ini sekadar menjadi
guru untuk memastikan pelajar lulus peperiksaan saja.
Selain itu, beliau tidak menafikan masalah-masalah dalaman yang dihadapi
golongan guru turut menjadi kekangan yang boleh menjejaskan prestasi mereka.
Sambil menyifatkan pelajar sebagai pelanggan sementara kerajaan adalah
majikan, kata Nik Faizah, guru adalah pekerja yang selalu tersepit antara
kedua-duanya.
Dalam usaha untuk memuaskan hati pelanggan, pekerja kerap kali terhalang
oleh masalah-masalah yang tidak terduga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa Konvensyen Majlis
Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) di Universiti Utara
Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, ada mengatakan,
``Ini bukan soal gaji dan lain-lain, tetapi soal minat. Jika seorang
guru benar-benar ingin berbakti kepada masyarakatnya maka soal ini tidak
akan timbul.''
Benar, minat mengatasi segala-galanya. Tetapi ada ketikanya, minat saja
tidak memadai.
Umpamanya, kata Nik Faizah, guru-guru yang ditugaskan di kawasan pedalaman,
sering kali terpinggir kebajikan mereka kerana tidak disediakan kemudahan
asas seperti rumah guru yang selesa.
Walaupun tidak menafikan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan
tersebut, namun secara purata, kata Nik Faizah, ia masih boleh diperbaiki
dan ditambah demi keselesaan.
``Ini bukan soal wang. Tetapi yang penting adalah sedikit keselesaan
agar guru dapat mengajar dengan sempurna. Kalau setiap hari, hidup menumpang,
tentulah tak kena,'' katanya.
Dalam pada itu, Nik Faizah yang kini merupakan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan
Pendidikan Malaysia, turut mengingatkan para guru supaya jangan terlalu
mengharapkan balasan.
Memadai jika anak murid mengingati mereka sebagai orang yang memperkenalkan
mereka kepada tatacara kehidupan yang membentuk diri dalam acuan yang tidak
lari daripada norma-norma yang dikehendaki, maka di situlah terletaknya
kepuasan seorang guru.
Oleh SALINA IBRAHIM (WARTAWAN UTUSAN) |